Terima Kasih atas Budimu Guru
Tidak dinafikan tugas pendidik seperti cikgu dan pensyarah amat mencabar pada masa kini. Peri pentingnya pendidikan digalas oleh manusia kecil berjiwa besar seperti mereka, maka tidak hairanlah sesetengah konteks kajian menggunakan ‘guru’ bagi merujuk kepada cikgu, pensyarah, ustaz, ustazah dan pendidik-pendidik lain yang menyampaikan ilmu, memberdayakan intelek dan menginspirasikan kehidupan dengan landasan pengetahuan.
Guru adalah ibu bapa kedua di sekolah atau di institusi pengajian yang berperanan menasihati, mendidik dan membentuk keperibadian pelajar. Bagi peringkat persekolahan, pelajar banyak menghabiskan masa iaitu lima hari seminggu di sekolah. Justeru, karakter dan sikap pelajar amat dikenali oleh para guru. Jika kita lelah menjaga tiga anak di rumah, bayangkan seorang guru menjaga puluhan, malah ratusan pelajar di sekolah. Ini ditambah lagi dengan pelbagai tugasan yang perlu mereka laksanakan daripada tugas-tugas perkeranian, tugas dalam kemenjadian pelajar sehingga program tahunan sekolah yang adakalanya dilakukan secara mega dan memerlukan perancangan rapi berbulan-bulan. Tidak hairanlah ramai guru memilih untuk berundur dari dunia pendidikan dengan memilih persaraan awal.
Melalui kajian Organisation for Economic Co-Operation and Development (OECD), guru dikatakan merasa kerja mereka tidak dihargai dan mereka dipandang sebagai tidak penting dalam masyarakat. Kajian turut menyatakan bahawa profesion ini terdedah dengan kritikan dan penilaian oleh orang awam, pemegang taruh, pembuat dasar, ibu bapa, pemimpin dan pelajar serta menyebabkan kerjaya guru dengan mudahnya dikritik sama ada secara konstruktif atau hentaman oleh pelbagai pihak. Contohnya, kedudukan Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang merosot dalam ketiga-tiga domain literasi seterusnya mencetuskan ‘PISA Panik’ dalam kalangan pembuat dasar, ibu bapa dan orang awam. Guru turut terpalit dalam merasakan beban kemerosotan ini kerana mereka merasa bertanggungjawab atas pencapaian pelajar. Namun begitu, guru juga dijulang tinggi apabila mampu untuk mengasah bakat pelajar hingga ke peringkat antarabangsa, menyediakan kelas yang kondusif dan interaktif untuk pelajar, serta menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menarik dan berkesan.
Guru yang menekuni tugasnya demi mendidik anak bangsa supaya dapat menguasai 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)- (Gambar Ihsan: Cikgu Khairul Afif)
Situasi yang hampir sama turut dirasai oleh pensyarah yang mendidik anak remaja sehingga tiada limitasi peringkat umur. Pelbagai tuntutan yang perlu dilunasi selain PdP seperti penyelidikan, kemasyarakatan, pentadbiran dan beberapa bakul Key Perfomance Indicator (KPI) yang lain. Pensyarah merupakan pemain dalam menentukan reputasi universiti iaitu kajian dan penyelidikan mereka memberi impak secara langsung ke atas kedudukan atau ‘ranking’. Ia menuntut komitmen jitu dari pensyarah sehingga mereka dikatakan ‘work life balance’ dalam kehidupan. Tangga gaji pensyarah juga adalah skim paling lama iaitu lebih kurang 12 tahun tidak diperbaharui berbanding dengan penjawat awam yang lain. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat pensyarah untuk melihat anak didik mereka berjuang hingga ke akhir garisan dan menggenggam segulung sijil serta melihat anak didik mereka berketerampilan sebagai pemimpin.
Pelbagai cabaran getir dari semua sudut adalah suatu hakikat membentuk anak bangsa yang penuh onak dan duri. Tidak hairanlah dalam kesibukan kita semua, terdapat satu hari khas bagi memperingati jasa guru, didikan guru dan pengorbanan mereka. Tarikh 16 Mei merupakan tarikh keramat yang diperuntukkan khusus untuk memperingati cikgu. Walaupun Hari Guru sinonim dengan sambutan memperingati cikgu, namun sesiapa pun yang bergelar pendidik, turut merasa bangga dan dihargai pada hari tersebut.
Budaya berterima kasih kepada guru turut mengakar dalam sanubari insan yang pernah menerima ilmu, maka tidak hairanlah insan selain guru turut menerima ucapan tersebut. Antara tema yang pernah dibawakan adalah ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ pada tahun 2009, 2010, 2016 dan 2017 manakala pada tahun 2020 dan 2021 tema hari guru ialah ‘Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu’. Pada tahun 2024 ini, dengan mengangkat semangat celik ICT dan peranan guru yang mebudayakan generasi digital, ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI” dipilih untuk ditelusuri oleh semua lapisan masyarakat. Tema ini memberikan satu perspektif bahawa perkembangan dunia digital pada hari ini sangat pantas dan kompleks, maka peranan guru dilihat signifikan dalam memperkasa pelajar dari aspek pengetahuan berkaitan dunia digital.
Dengan kepantasan teknologi, guru beralih arah dari pengajaran dan pembelajaran tradisional yang menggunakan kaedah ‘chalk and talk’ kepada layar hijau (green screen). Pelbagai pembelajaran interaktif diaplikasikan di dalam kelas dan bersifat lebih fleksibel serta terbuka seperti ‘gamified learning’, pembelajaran berpusatkan pelajar dan pembelajaran berasaskan masalah (problem-based learning). Ternyata guru mudah untuk beradaptasi dan menjadi ‘jauhari digital’ dalam memastikan pelajar tidak ketinggalan dan menerapkan pengetahuan atas daya usaha guru yang berjiwa besar. Tidak hanya pemerkasaan dalam aspek digital semata-mata, malahan bagi Malaysia yang beraspirasi sebagai negara maju, aspek akhlak, adab, kerohanian turut dititik beratkan.
Pemikiran kita sebagai manusia biasa tidak terjangkau dengan tugas guru yang kelihatan payah, namun guru adalah sebuah panggilan keramat yang mengupayakan manusia. Ucaplah terima kasih kepada semua para pendidik terutamanya guru-guru kita, waima cikgu yang mengajarkan kalian mengaji sekalipun. Tidak terbalas ihsan dan budi mereka dalam membangunkan generasi celik ilmu demi masa depan yang sejahtera.
Nota Kaki: Penggunaan ‘Guru’ dalam artikel ini merujuk kepada semua pendidik termasuk pensyarah, dan cikgu merujuk kepada guru yang berada dalam sistem pendidikan awal, rendah dan menengah.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: hadijah@umpsa.edu.my
- 412 views