Tingkatan 6 dan Matrikulasi di bawah KPT: Peranan Strategik UMPSA Memperkukuh Ekosistem Pendidikan Tinggi
Keputusan Kerajaan meletakkan program Tingkatan 6 dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula tahun hadapan, disokong dengan peruntukan RM100 juta bagi naik taraf fasiliti, merupakan satu langkah reformasi penting dalam landskap pendidikan negara. Langkah ini bukan sekadar penstrukturan semula pentadbiran, tetapi mencerminkan hasrat kerajaan untuk membina laluan pendidikan yang lebih tersusun, bersepadu dan berkualiti daripada peringkat prauniversiti ke pendidikan tinggi. Penyelarasan Tingkatan 6 di bawah KPT akan meletakkan program ini setara dengan laluan prauniversiti lain seperti program asasi dan diploma. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Tingkatan 6 dalam landskap pendidikan tinggi, malah meningkatkan keyakinan pelajar dan ibu bapa terhadap laluan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai pilihan utama, bukannya alternatif sekunder.
Dalam konteks ini, universiti awam (UA) berteraskan teknikal seperti Universiti Malaysia Pahang Al‑Sultan Abdullah (UMPSA) mempunyai peranan strategik untuk menyokong aspirasi tersebut, khususnya dalam memastikan kesinambungan akademik, kesiapsiagaan pelajar dan kebolehpasaran graduan pada masa hadapan. Usaha memperkukuh laluan pendidikan prauniversiti ke pendidikan tinggi negara terus diperkasakan apabila Mesyuarat Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Bil. 1/2025 (Ke-169) yang bersidang pada 9 April 2025 telah bersetuju supaya UMPSA bersama MPM menyediakan kertas cadangan berkaitan pindahan mata kredit (artikulasi) STPM ke program Tahun Satu di UA. Keputusan ini bertepatan dengan pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terhadap keyakinan tinggi kepakaran akademik dan pengalaman tadbir urus (UA khususnya UMPSA dalam pembangunan kurikulum, penilaian pembelajaran dan penyelarasan laluan pendidikan yang lebih bersepadu serta berorientasikan masa hadapan.
Di bawah tadbir urus KPT, kurikulum Tingkatan 6 berpotensi diperkasakan melalui penjajaran yang lebih rapat dengan standard universiti. Pendekatan pembelajaran berasaskan hasil (Outcome-Based Education), pemikiran analitikal, penulisan akademik dan asas penyelidikan dapat diterapkan secara lebih sistematik. Ini akan melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga matang dari sudut intelektual.
Inisiatif pindahan mata kredit STPM ini bertujuan memberi pengiktirafan yang lebih sistematik dan adil terhadap pencapaian akademik pelajar STPM apabila mereka melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di UA. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan pengulangan kandungan pembelajaran, malah berpotensi memendekkan tempoh pengajian dan meningkatkan motivasi serta kebolehpasaran graduan. Peranan UMPSA dalam penyediaan kertas cadangan ini amat signifikan, khususnya dalam menilai kesetaraan hasil pembelajaran, kesesuaian silibus STPM dengan keperluan program Tahun Satu universiti, serta mekanisme pelaksanaan yang selaras dengan kerangka kelayakan dan standard akademik nasional. Kajian ini yang telah bermula sejak tahun 2025 merupakan perancangan awal KPT dalam merealisasikan agenda Tingkatan 6 diletakkan sepenuhnya di bawah KPT dengan lebih sistematik dan teratur.
Antara cabaran utama pelajar lepasan prauniversiti ialah penyesuaian kepada budaya pembelajaran universiti. Melalui penyelarasan di bawah KPT, pelajar Tingkatan 6 dapat didedahkan lebih awal kepada suasana akademik pendidikan tinggi, termasuk pembelajaran kendiri, perbincangan ilmiah dan tugasan beraras tinggi. Kesannya, peralihan ke universiti menjadi lebih lancar dan berkesan. Model pembangunan pelajar di bawah KPT memberi penekanan kepada keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah. Pelajar Tingkatan 6 berpeluang dibentuk dengan nilai kepimpinan, integriti akademik, kemahiran komunikasi serta keupayaan berfikir secara kritikal. Elemen ini amat penting dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing dan bertanggungjawab. Penyelarasan ini turut membuka ruang kolaborasi yang lebih luas antara pusat-pusat pengajian Tingkatan 6 bersama UA. Pelajar berpotensi mendapat akses kepada kemudahan terpilih seperti perpustakaan, makmal, program bimbingan akademik dan pendedahan awal kepada bidang pengajian dan kerjaya seterusnya dapat membuat pemilihan bidang yang tepat bagi kemasukan ke universiti awam. Pendekatan ini menjadikan Tingkatan 6 lebih relevan dan berorientasikan masa hadapan.
Salah satu kesan utama penyelarasan ini ialah peningkatan imej dan daya tarikan Tingkatan 6. Dengan sokongan dasar dan struktur pendidikan tinggi, Tingkatan 6 mampu muncul sebagai laluan elit yang melahirkan pelajar berdisiplin, berdaya tahan dan berkualiti tinggi. Persepsi masyarakat terhadap STPM juga dapat diperbetulkan selaras dengan tahap kesukaran dan standard akademiknya yang tinggi. Cadangan ini sejajar dengan hasrat negara untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti, mengoptimumkan bakat tempatan dan membangunkan sistem pendidikan yang inklusif serta berdaya saing di peringkat global. Tingkatan 6 yang diperkasakan berupaya menjadi salah satu pemacu utama kepada pencapaian aspirasi tersebut.
Kesimpulannya, apabila Tingkatan 6 dan Matrikulasi diselaraskan di bawah KPT, ekosistem prauniversiti akan lebih hampir dengan struktur, budaya dan jangkaan pembelajaran di universiti. UMPSA boleh memainkan peranan sebagai rakan strategik KPT dengan membantu membangunkan program sokongan seperti bengkel persediaan akademik, pengukuhan asas STEM, serta pendedahan awal kepada kaedah pembelajaran universiti. Inisiatif ini dapat mengurangkan jurang peralihan pelajar apabila melangkah ke alam pengajian tinggi. Sebagai universiti teknikal dan berorientasikan industri, UMPSA memiliki kekuatan dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi, Sains Gunaan dan TVET. Kepakaran ini boleh dimanfaatkan untuk menyokong penambahbaikan kurikulum prauniversiti agar lebih selari dengan keperluan pendidikan tinggi dan pasaran kerja masa hadapan. Penglibatan akademia universiti dalam perbincangan kurikulum akan memastikan kandungan Tingkatan 6 dan Matrikulasi lebih relevan, kontemporari dan berimpak tinggi.

Disediakan Oleh: Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Bin Sulaiman
E-mel: ahmadziad@umpsa.edu.my
Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 75 views
Reports by: