Skip to main content

Transliterasi Bahasa Arab: Mengapa Masih Banyak Salah?

Dalam dunia akademik, media, dan komunikasi digital hari ini, kesilapan dalam menulis transliterasi bahasa Arab semakin menjadi lumrah. Jika artikel sebelum ini, ‘Jawi dan Transliterasi Bahasa Arab: Masih Relevankah dalam Era Digital?’ membincangkan kepentingan transliterasi dalam konteks moden, artikel ini menyelami mengapa kesilapan tersebut masih berleluasa dan bagaimana kita boleh memperbaikinya. Dari nama tokoh, istilah keagamaan, hingga kata pinjaman, ejaan yang salah dan tidak mengikut piawaian terus berulang, bukan sahaja mengelirukan, malah menjejaskan kredibiliti ilmu dan identiti bahasa.

 

Transliterasi Bahasa Arab

 

1.    Masalah Utama: Ketiadaan Huruf dan Diakritik yang Stabil 

Bahasa Arab tidak mempunyai huruf seperti P, G, C, lalu kata pinjaman seperti ‘Professor’ atau ‘Google’ sering dipaksa dieja dengan huruf Arab sedia ada menjadi (بروبيسور/بروفيسور) dan (جوجل). menghasilkan ejaan yang salah dan mengelirukan. Sebenarnya, kata-kata ini sepatutnya dieja menggunakan huruf Jawi Pā (ﭪ) dan Gā’ (ݢ) menjadi ڤروفيسور dan ݢوݢل, bukan dieja dengan huruf Arab yang mengubah sebutan asal. Lebih parah, huruf dengan diakritik (macron) dan titik di bawah (dot below) seperti ā,ī, ū & ṣ, ḍ, ṭ, ẓ, ḥ sering ‘hilang’ atau tidak stabil dalam teks digital.

TABLE 1

 

TABLE 2

Contoh nyata yang sering terjadi:

•    Ḥadīth (حديث) sering ditulis sebagai hadis atau hadith; menghilangkan sebutan “ḥ” (ح) yang betul.
•    Qiblaћ (قبلة) sering dieja sebagai kiblat; mengubah huruf “qāf” (ق) menjadi “kaf”.
•    Qalbu (قلب) yang memberi makna ‘hati’ sering ditulis sebagai kalbu (anjing); mengubah “qāf” (ق) menjadi “kaf”.
•    Qaryaћ (قرية) sering dieja sebagai kariah; mengubah “qāf” menjadi “kaf”.
•    Islām (إسلام) sering ditulis tanpa macron (ā); menghilangkan sebutan panjang “ā” menjadi pendek.
•    Madīnah (مدينة) sering dieja sebagai Madinah; menghilangkan sebutan panjang “ī”.

Setiap perubahan kecil ini bukan sekadar ‘ejaan lain’, tetapi ia boleh mengubah sebutan asal, makna, dan etimologi kata. Apabila kesalahan ini berulang dalam media, buku teks, dan komunikasi rasmi, generasi muda akan menganggap ejaan salah itu sebagai betul, lalu sebutan asal bahasa Arab terus terhakis. 

2.     Ketidakseragaman: Setiap Orang Ada Sistem Sendiri

Tanpa piawaian standard, transliterasi Arab-Rumi menjadi kucar-kacir. Sistem Library of Congress, sistem akademik Timur Tengah, dan sistem tidak formal di media sosial semuanya berbeza. Akibatnya, pelajar keliru, penyelidik pening, dan masyarakat umum tidak tahu mana yang betul. Kajian turut menunjukkan bahawa ketidakseragaman ini menyukarkan proses katalog, terjemahan, dan penyelidikan berasaskan teks Arab.

Apatah lagi, dalam persekitaran digital, huruf tebal seperti huruf Ṣ - Ṣād (ص), Ḍ - Ḍād (ض), Ṭ- Tā’ (ط), Ẓ- Ẓā’ (ظ) dan Ḥā’ (ح) sering tidak disokong oleh fon dan papan kekunci yang ada di pasaran. Kesemua huruf tersebut menjadi tidak stabil apabila dipaparkan di laman web dan aplikasi telefon. Ini menyebabkan pengguna ‘menggantikan’ huruf-huruf tersebut dengan huruf Rumi biasa (S (س), D (د), T (ت), Z (ز) dan H (هـ); satu kompromi yang merosakkan ketepatan bahasa.

3.     Implikasi: Dari Pendidikan Hingga Penyelidikan

Kesalahan transliterasi bukan sekadar kesilapan teknikal. Dalam pendidikan, ia menyebabkan salah sebut berterusan dan menghalang penguasaan bahasa yang tepat. Dalam penyelidikan, ia menjejaskan ketepatan dan kebolehpercayaan hasil kajian, terutama dalam bidang keislaman, linguistik, dan kajian Timur Tengah. Nama tokoh, tempat, dan istilah khusus yang salah eja boleh mencacatkan kredibiliti karya akademik.

4.     Penyelesaian: Kembali Kepada Jawi dan Teknologi Digital

Salah satu penyelesaian yang sering diabaikan ialah penggunaan tulisan Jawi. Jawi bukan sekadar warisan, tetapi sistem tulisan yang sudah mempunyai huruf tambahan untuk bahasa Arab di zaman moden ini yang dipenuhi dengan pelbagai kata pinjaman asing. Huruf Jawi seperti P (ﭪ), G (ݢ), dan C (چ) memang sesuai untuk menulis kata pinjaman dengan tepat. Malah, inovasi seperti AsarFonts/ JawiAT telah membuktikan bahawa Jawi boleh distabilkan dalam persekitaran digital dengan kod Unicode yang seragam.

Gambar Rajah 1

Gambar Rajah 1: Salah satu kertas kajian antarabangsa yang dibentangkan oleh penulis berkaitan Jawi dan transliterasi bahasa Arab

5.     Peranan Universiti dan Kerajaan

Universiti dan kerajaan perlu memainkan peranan lebih aktif dengan:

•    Menyelaraskan piawaian transliterasi bahasa Arab untuk kegunaan masyarakat dan akademik;
•    Mengintegrasikan pengajaran Jāwī dan transliterasi bahasa Arab dalam kurikulum Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Bahasa Melayu;
•    Menyokong pembangunan font dan papan kekunci digital yang stabil untuk aksara Jāwī dan transliterasi bahasa Arab; dan
•    Meningkatkan kesedaran melalui kempen penulisan yang betul di media dan platform awam.

Transliterasi bahasa Arab yang tepat bukan sekadar ‘betulkan ejaan’, ia adalah soal integriti ilmu, penghormatan budaya, dan kejelasan komunikasi. Dalam era digital yang menuntut ketepatan, kita tidak boleh lagi memandang mudah kesilapan yang berulang. Dengan kembali kepada khazanah Jawi dan memanfaatkan teknologi, kita boleh perbaiki keadaan sebelum kesilapan kecil menjadi kesalahan besar dalam sejarah intelektual kita.

PENGHARGAAN

Penulisan rencana ini disokong oleh pembiayaan berikut:

1.    Geran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) – CDU250213: Kajian Penerimaan dan Pelaksanaan Jawi dan Transliterasi Bahasa Arab Digital dalam kalangan Masyarakat Malaysia.
2.    Geran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)  CDU250125: Pemerkasaan Kompetensi Pendidik melalui Penggunaan Teknologi Jawi Digital.

asar

Oleh: Dr. Asar Abdul Karim
E-mel: asar@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri