TVET Diperhebat
Pendigitalan TVET
Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya saing ekonomi negara, terutamanya dalam menghadapi cabaran Era Revolusi Industri 4.0 dan keperluan pascapandemik. Malaysian Technical University Network (MTUN), melalui Pelan Hala Tuju TVET Termaju 2030, menetapkan enam teras utama untuk mencapai matlamat ini, termasuk Kecemerlangan Akademik dan Pengantarabangsaan, Kelestarian Teknologi dan Jaringan Industri, dan Keunggulan Bakat.
Sebagai salah satu universiti di bawah MTUN, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memainkan peranan proaktif dalam merealisasikan aspirasi ini dengan memacu kejayaan melalui pendekatan pendidikan fleksibel. Fokus UMPSA terhadap inovasi pengajaran dan pembelajaran diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif e-Pembelajaran, yang diselaraskan oleh Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (PSPe) di bawah Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA). Antara kejayaan utama UMPSA adalah pembangunan Micro-Credential bersama rakan-rakan industri terkemuka seperti AirAsia Drone, AeroDyne, dan MTDC, serta penyediaan kelas hibrid HyFlex EduSpot yang lengkap dengan teknologi canggih untuk mendukung pembelajaran secara imersif.
UMPSA juga turut menekankan kepada aspek pengantarabangsaan dengan penglibatan dalam Global Classroom, pemindahan kredit kursus melalui program akreditasi stackable MC dan persediaan ke arah Pendidikan Jarak Jauh Terbuka (ODL). Menerusi inisiatif ini, UMPSA bukan sahaja mendukung aspirasi MTUN tetapi turut menjadi peneraju dalam melahirkan graduan inovatif yang berdaya saing di peringkat global. Ini sekali gus memperkukuh kedudukan TVET sebagai pemacu pembangunan negara menjelang tahun 2030. UMPSA mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif pendidikan fleksibel yang tidak hanya memenuhi keperluan pembelajaran moden tetapi juga mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih kaya dan interaktif. Antara inisiatif utama yang dilaksanakan di UMPSA adalah:
1. Micro-Credential dan Pemindahan Kredit (MC).
Micro-Credential (MC) merupakan pendekatan inovatif dalam pendidikan tinggi yang menawarkan modul pembelajaran jangka pendek dan khusus. Setiap modul MC dirancang untuk memberikan pelajar pengetahuan atau kemahiran tertentu yang boleh diiktiraf secara profesional, tanpa perlu mengikuti program akademik sepenuh masa. MC juga boleh ditawarkan secara stand alone iaitu sebagai kursus individu untuk keperluan tertentu atau diintegrasikan ke dalam program akademik melalui sistem pemindahan kredit. Melalui akreditasi yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), modul MC yang ditawarkan memenuhi piawaian kualiti dan kesesuaian dengan keperluan industri. Pelajar yang menyelesaikan modul MC layak menerima sijil pengiktirafan yang boleh digunakan untuk meningkatkan kerjaya mereka atau memajukan pendidikan formal. Pendekatan ini memperluaskan akses kepada pendidikan terutama untuk golongan pekerja, profesional, atau mereka yang ingin memperoleh kemahiran baharu secara fleksibel. UMPSA telah mengambil langkah proaktif dalam membangunkan modul MC bersama pihak industri seperti AirAsia Drone, AeroDyne, dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC). Kerjasama ini adalah bagi memastikan modul yang dihasilkan memenuhi keperluan teknologi semasa dan permintaan pasaran. Pendekatan kolaboratif ini menjadikan MC bukan sahaja relevan dari segi akademik, tetapi juga diterima pakai oleh industri, memberikan pelajar nilai tambah yang signifikan dalam kerjaya mereka. Melalui pemindahan kredit, pelajar yang melengkapkan modul MC ini berpeluang untuk mengintegrasikan pencapaian mereka ke dalam program akademik formal di UMPSA. Ini bukan sahaja mempercepatkan laluan pembelajaran, tetapi juga mempromosikan pendekatan pendidikan fleksibel yang memberi manfaat kepada pelajar dari pelbagai latar belakang.
2. Global Classroom UMPSA
UMPSA terus melangkah ke hadapan dalam mengukuhkan peranannya di peringkat antarabangsa melalui inisiatif Global Classroom yang menggabungkan pembelajaran dalam talian dengan kerjasama institusi pendidikan luar negara. Inisiatif ini membuka peluang kepada pelajar-pelajar dan pensyarah UMPSA untuk meneroka perspektif global, bekerjasama dengan rakan dari pelbagai negara, serta memahami dinamik industri secara menyeluruh. Sehingga kini, UMPSA telah menjalinkan kolaborasi dengan beberapa negara utama termasuk Indonesia, China, Jerman, India, Thailand, Jepun, Korea Selatan, Nigeria, Australia, Amerika Syarikat, dan United Kingdom. Inisiatif ini ternyata memberikan impak besar dalam membina jaringan lintas budaya. Pelajar UMPSA kini berpeluang mempelajari kepelbagaian budaya global, berkomunikasi secara efektif dengan rakan sejawat antarabangsa dan mempersiapkan diri mereka untuk bersaing dalam pasaran kerja global. Di samping itu, inisiatif ini turut menyokong agenda MTUN dalam usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke Malaysia menjelang tahun 2030. Dengan jalinan kerjasama ini, UMPSA berharap dapat memainkan peranan penting sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang relevan di peringkat global. Melalui usaha seperti ini, UMPSA bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara tetapi juga memastikan graduannya dilengkapi dengan kemahiran global yang diperlukan dalam Era Industri 4.0.
3. Teknologi Realiti Maya (VR) dan Realiti Tambahan (AR)
UMPSA terus menerajui inovasi pembelajaran dengan mengintegrasikan teknologi Realiti Maya (VR) dan Realiti Tambahan (AR) untuk mencipta pengalaman pendidikan yang lebih mendalam dan interaktif. Melalui Immersive Lab yang dilengkapi dengan teknologi terkini, pelajar dapat mengalami simulasi persekitaran kerja sebenar, terutamanya dalam bidang Kejuruteraan dan Teknikal. Sebagai sebahagian daripada komitmen ke arah pembelajaran imersif, UMPSA juga telah membangunkan tiga kursus dalam persekitaran metaverse, iaitu Artificial Intelligence, Data Structure & Algorithm, dan System Analysis & Design. Kursus-kursus ini menawarkan pengalaman pembelajaran yang futuristik, membolehkan pelajar berinteraksi dalam persekitaran maya yang mensimulasikan situasi dunia sebenar. Inisiatif ini bukan sahaja memberikan pendedahan langsung kepada aplikasi industri tetapi juga melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknologi terkini, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan moden.
4. Pembelajaran Teradun (Blended Learning)
UMPSA mengintegrasikan pendekatan Pembelajaran Teradun (Blended Learning) secara meluas dalam hampir keseluruhan kursus yang ditawarkan. Pendekatan ini menggabungkan elemen pembelajaran fizikal dan dalam talian bagi memastikan pelajar memperoleh manfaat terbaik daripada kedua-dua kaedah. Bahan pembelajaran digital disusun untuk melengkapi sesi interaksi kelas tradisional, menjadikan proses pembelajaran lebih fleksibel dan berkesan. Selain itu, UMPSA turut memperkenalkan elemen micro-credentials yang boleh dilaksanakan melalui kaedah pembelajaran teradun. Micro-credentials ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengambil modul tertentu secara berasingan, sama ada sebagai sebahagian daripada program utama atau untuk menambah kemahiran secara khusus. Dengan sokongan teknologi dan platform pembelajaran dalam talian, pendekatan ini membolehkan pelajar memilih masa dan tempat belajar yang lebih fleksibel. Strategi ini bukan sahaja meningkatkan hasil pembelajaran, tetapi juga membantu pelajar menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi pendidikan, sekaligus melengkapkan mereka dengan kemahiran yang relevan untuk keperluan industri moden.
5. Perancangan ke Arah Pembelajaran Jarak Jauh Terbuka (ODL)
Dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi, UMPSA sedang giat membangunkan Program Pembelajaran Jarak Jauh Terbuka (ODL) yang fleksibel dan bersesuaian dengan keperluan pelajar dewasa, pekerja profesional, serta komuniti yang mencari peluang pembelajaran sepanjang hayat. Sebagai langkah strategik, UMPSA merancang untuk menawarkan program pascasiswazah melalui pendekatan ODL, termasuk Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Pengurusan Projek yang akan dikendalikan oleh Fakulti Pengurusan Industri (FPI). Di samping itu juga, Fakulti Komputeran (FK) akan menawarkan Sarjana Transformasi Digital sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat dalam bidang Teknologi dan Pendigitalan. Program ODL ini akan memberikan kebebasan kepada pelajar untuk mengikuti pengajian secara fleksibel, tanpa perlu terikat dengan lokasi atau waktu tertentu. Pendekatan ini juga direka untuk memenuhi keperluan golongan yang mempunyai komitmen kerja atau keluarga, membolehkan mereka meningkatkan kelayakan akademik tanpa menjejaskan tanggungjawab semasa. Pengenalan program ODL ini bukan sahaja memperluas akses kepada pendidikan, tetapi juga menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat, sejajar dengan aspirasi negara untuk memperkukuh daya saing bakat tempatan di peringkat global. Program ini dijangka ditawarkan mulai tahun hadapan, menjadikan UMPSA sebagai salah satu penyedia utama dalam menawarkan pendidikan fleksibel yang berkualiti tinggi.
Ke arah pendidikan masa depan, hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 turut menyediakan kerangka strategik yang kukuh untuk universiti teknikal seperti UMPSA dalam memacu pendidikan tinggi ke arah fleksibiliti, inovasi, dan integrasi teknologi. Sebagai sebahagian daripada MTUN, UMPSA komited untuk merealisasikan sasaran peningkatan enrolmen pelajar TVET seramai 150,000 menjelang tahun 2030, selaras dengan usaha memperluas akses kepada pendidikan yang relevan dengan keperluan industri global. Dengan inisiatif e-Pembelajaran yang komprehensif, termasuk pelaksanaan micro-credentials, global classroom, pembangunan kursus berasaskan metaverse, dan akan menawarkan program ODL, UMPSA telah memperkukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan fleksibel yang responsif terhadap perubahan teknologi. Sokongan fasiliti dan infrastruktur yang ada di UMPSA seperti Hyflex EduSpot, Immersive Lab, dan studio hibrid memperlihatkan kesediaan UMPSA dalam menyediakan persekitaran pembelajaran masa depan yang inovatif dan dinamik. Pelaburan strategik ini tidak hanya bertujuan memenuhi permintaan industri semasa tetapi juga untuk mempersiapkan graduan menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang lebih kompleks. Dengan mengekalkan momentum inovasi dan dedikasi, UMPSA yakin mampu menjadikan pendidikan fleksibel sebagai asas kecemerlangan akademik dan pembangunan modal insan negara, seiring aspirasi MTUN TVET Termaju 2030.
Perluasan Akses TVET Borneo UMPSA
Pelaksanaan konsep Malaysia Madani turut menyentuh keperluan meneroka aspek pendidikan adalah usaha meningkatkan martabat rakyat dan negara ini bagi memastikan ilmu menjadi keutamaan sekali gus melahirkan masyarakat yang tinggi dengan budaya ilmu. Ini termasuklah melaksanakan program TVET berimpak tinggi secara holistik. UMPSA yang merupakan salah sebuah universiti teknikal di bawah MTUN berperanan sebagai teras kepada sistem universiti teknikal negara seterusnya melengkapkan aliran pendidikan teknikal Malaysia. Bagi menggalas cabaran besar sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada tidak mudah. Walaupun masa bergerak pantas seiring mencapahnya (berkembang) teknologi terkini, namun persepsi sebagai pilihan kedua, yang secara langsung turut menghukum bersama TVET memerlukan MTUN terus berjuang tanpa kenal erti putus asa untuk mengangkasa kecemerlangan TVET demi menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia. Lantas, strategi dan pelbagai inisiatif penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) tidak boleh bertemu noktah, terus bugar digerakkan agar amanah besar negara ini dapat dilunaskan sebaiknya. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sangat memberi perhatian dan komitmen besar terhadap bidang pendidikan tinggi terutama di Borneo agar setiap agenda pendidikan tinggi negara tidak tercicir dan dapat dinikmati setiap rakyat di Sabah dan Sarawak.
Ini termasuk komitmen KPT dalam melebar-luaskan agenda pendidikan TVET peringkat tinggi (Sarjana Muda, Sarjana dan PhD) yang sedang dilaksanakan oleh empat buah universiti teknikal di bawah MTUN dapat dimaksimakan. Di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengesyorkan agar MTUN mempertingkatkan peratusan pelajar mengikuti program berasaskan TVET dengan mempertimbangkan penawaran program-program akademik berasaskan TVET di UMPSA dan MTUN ke Sabah dan Sarawak. Ia sebagai salah satu usaha untuk memberi kemudahan dan melebarkan akses pendidikan kepada anak-anak di negeri itu bagi mengikuti program-program berasaskan TVET melalui pelbagai kaedah termasuk penubuhan kampus pesisir di Sabah dan Sarawak. Hasil saranan itu, KPT menetapkan satu hala tuju yang jelas di bawah hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 di bawah dasar perluasan kampus dan perluasan akses kemasukan pelajar TVET.
Di bawah hala tuju ini, KPT telah menetapkan enrolmen 150,000 pelajar TVET sehingga tahun 2030. Bagi mencapai tujuan ini, dasar perluasan kampus melalui kampus pesisir perlu dilaksanakan bagi memberikan maksimum akses kepada pelajar-pelajar di luar bandar dan golongan B40 di Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan akses pendidikan TVET ini. Sebelum tahun 2019, peluang pelajar lepasan diploma TVET iaitu Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di universiti awam (UA) adalah amat terhad. Merujuk Pekeliling MQA Bil.9/2019, Pelaksanaan Laluan Pendidikan Graduan TVET: Penambahbaikan Laluan Pendidikan Graduan TVET, lepasan diploma TVET berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi berdasarkan kesesuaian bidang dengan pindaan Syarat Kemasukan yang diluluskan oleh Senat Universiti. UMPSA selaku MTUN universiti menyambut baik langkah ini dengan menawarkan pelbagai program Sarjana Muda Teknologi (BTech) yang bersesuaian dan khusus untuk pelajar lepasan Diploma TVET seperti bidang yang berkaitan dengan Teknologi Pembinaan Bangunan, Teknologi Automasi Elektronik Industri, Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik, Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas, Teknologi Kimpalan, Teknologi Pemesinan Industri dan Teknologi Automotif.
Pelajar lepasan diploma politeknik melalui kolaborasi strategik MTUN dan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah membuka peluang dan kesinambungan laluan akademik kepada pelajar Politeknik untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda (Teknologi Kejuruteraan) dalam bidang TVET. Bidang TVET seperti Teknologi Kejuruteraan Awam, Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik dan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif adalah antara program yang ditawarkan oleh pihak UMPSA. Inisiatif ini telah direalisasikan melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPPKK dan MTUN di Hotel Tenera, Bangi pada 2 Jun 2022. MTUN juga perlu meningkatkan peratusan kemasukan para pelajar Lepasan Diploma Politeknik dan tidak hanya tertumpu kepada para pelajar Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi sahaja.
UMPSA telah mengorak langkah awal dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan Yayasan Sabah dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk akademik, penyelidikan dan pemerkasaan mahasiswa. Bagi mencapai hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 ini, UMPSA telah memulakan gerakerja awal bersama UMS bagi penubuhan kampus pesisir di UMS bagi penawaran program-program akademik berteraskan TVET yang ditawarkan hanya di MTUN. Terdapat tujuh buah Kolej Vokasional (KV) di Sabah iaitu KV Sandakan, KV Kudat, KV Labuan, KV Beaufort, KV Tawau, KV Keningau dan KV Likas manakala enam KV di Sarawak iaitu KV Sibu, KV Kuching, KV Bintulu, KV Matang, KV Betong dan KV Miri menawarkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM). Lepasan DVM ini akan mengisi keperluan program akademik berasaskan TVET secara pesisir di kampus UMS dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Sarawak. UMPSA juga telah mengadakan sesi libat urus bersama UMS, UNIMAS, KV dan Majlis Pegawai Kaunseling Pendidikan Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik Malaysia (MAPEKA) bagi perlaksanaan penawaran program akademik berasaskan TVET ini di Borneo. Sementara itu, pihak MAPEKA sangat mengalu-alukan inisiatif penawaran di Borneo kerana ia akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak terutamanya dari segi penjimatan kos perjalanan pelajar luar bandar ke semenanjung. MAPEKA juga bersedia bekerjasama bersama UMPSA, UMS dan UNIMAS dengan menjadikan KV yang ada di Sabah dan Sarawak sebagai makmal pesisir bagi melaksanakan agenda ini.
Selain daripada KV, terdapat tiga buah politeknik di Sabah iaitu Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Tawau, Politeknik Sandakan manakala di Sarawak tiga politeknik iaitu Politeknik Metro Betong, Politeknik Mukah Sarawak dan Politeknik Kuching, Sarawak akan mengisi keperluan program akademik berasaskan TVET di Borneo. Penawaran Program Asasi TVET di Politeknik merupakan program persediaan bagi pelajar-pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang TVET. Asasi TVET ini bertujuan untuk memperluas akses pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan untuk mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda khususnya dalam Ijazah Teknologi Kejuruteraan di MTUN. Melalui program ini, persediaan awal dan berfokus dapat diberikan kepada pelajar yang cenderung dalam bidang TVET. Sebagai permulaan, lima buah politeknik akan menjadi perintis bagi pengambilan pertama pada Sesi I 2023/2024 dengan 500 pelajar sebagai kumpulan pertama. Pembangunan Kurikulum Program Asasi TVET direka bentuk dengan memberi penekanan kepada elemen amali dan praktikal manakala fokus bidang Asasi TVET yang ditawarkan mengikut keperluan industri semasa.
Dengan adanya inisiatif TVET Borneo, penawaran program asasi TVET dapat dilaksanakan melalui politeknik-politeknik sebelum pelajar menyambung pengajian di kampus pesisir di Sabah dan Sarawak. Sinergi ini amat penting dalam konteks kolaborasi strategik kepakaran tenaga akademik, peralatan dan teknologi antara UMS, UNIMAS, KV dan Politeknik dengan institusi TVET bersama pihak berkuasa wilayah ekonomi (Yayasan Sabah, Yayasan Sarawak) dan industri. Simbiosis ekosistem TVET ini juga diyakini berupaya mengecilkan jurang permintaan dan meluaskan akses penawaran pekerjaan, penawaran gaji premium serta pastinya akan berupaya memperkukuh jenama TVET yang lebih berdaya saing sebagai pilihan generasi muda serta ibu bapa.

TVET Business School (GET-BS) UMPSA
UMPSA telah menubuhkan Sekolah Pengajian Siswazah dalam Ekosistem program TVET pertama di Malaysia dengan penubuhan Graduate Engineering & Technological Business School (GET-BS). Justeru, UMPSA menjadi Sekolah Pengajian Siswazah yang berteraskan pengurusan dan perniagaan dengan penekanan kepada elemen teknologi dan kejuruteraan. Penubuhan GET-BS di bawah Fakulti Pengurusan Industri (FPI) UMPSA mampu melahirkan pemimpin perniagaan masa hadapan yang berlatarbelakangkan kemahiran yang mampu memacu transformasi teknologi dengan inovasi tanpa mengabaikan matlamat kelestarian dan tanggungjawab sosial. GET-BS menawarkan program akademik, latihan, penyelidikan, dan konsultasi dengan menekankan elemen Sustainable Business Innovation serta TVET Termaju. TVET Termaju dalam konteks GET-BS merangkumi kemahiran pengurusan dan keusahawanan untuk mengurus ekosistem teknologi tinggi, bukan sahaja teknologi tetapi termasuk juga aspek sumber manusia, pemegang taruh dan komuniti. Selain itu, kurikulum GET-BS akan diintegrasikan dengan prinsip Environmental, Social, and Governance (ESG) bagi memperkukuh pengurusan ekosistem teknologi tinggi.
GET-BS juga menyediakan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan penyelidik UMPSA, pihak industri, dan komuniti. GET-BS menyokong UMPSA untuk terus mempergiatkan agenda dalam pembangunan kelestarian bagi menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 menyediakan kerangka strategik yang kukuh untuk universiti teknikal seperti UMPSA dalam memacu pendidikan tinggi ke arah fleksibiliti, inovasi, dan integrasi teknologi. Sebagai MTUN, UMPSA komited untuk merealisasikan sasaran peningkatan enrolmen pelajar TVET seramai 150,000 menjelang tahun 2030, selaras dengan usaha memperluas akses kepada pendidikan yang relevan dengan keperluan industri global. Dengan inisiatif GET-BS yang berekosistemkan TVET dan inovasi perniagaan lestari akan menyokong kepada usaha pencapaian hala tuju MTUN TVET termaju 2030 yang komprehensif, termasuk pelaksanaan inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pelaburan strategik ini tidak hanya bertujuan memenuhi permintaan industri semasa, tetapi juga untuk mempersiapkan graduan menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang lebih kompleks. Dengan mengekalkan momentum inovasi dan dedikasi, UMPSA yakin mampu menjadikan Sekolah Perniagaan yang pertama di Malaysia berasaskan ekosistem TVET ini sebagai asas kecemerlangan akademik dan pembangunan modal insan negara, seiring aspirasi MTUN TVET Termaju 2030. UMPSA telah menerima kelulusan KPT khususnya Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang menyokong usaha penubuhan GET-BS.

Oleh: Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Bin Sulaiman
E-mel: ahmadziad@umpsa.edu.my
Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 32 views
Reports by: