UMP perkenalkan budaya Malaysia kepada pelajar luar negara melalui ‘jendela maya’
Meskipun cuma mampu berhubung melalui paparan skrin alat komunikasi masing-masing kerana terpisah dek jarak fizikal, Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA) dengan kerjasama Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menganjurkan kursus secara dalam talian, Camp Rasa Sayang 2022: Destination Malaysia untuk pelajar-pelajar dari universiti luar negara pada 5 hingga 6 September dan 12 hingga 13 September 2022 yang lalu.
Penyertaan para pelajar antarabangsa adalah terbuka kepada penuntut dari universiti-universiti yang merupakan rakan kerjasama UMP yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hasil kerjasama PuHA dan pusat hubungan antarabangsa universiti berkenaan.
Camp Rasa Sayang ini telah memberikan peluang kepada peserta-peserta untuk berinteraksi dengan peserta dari negara lain dalam bahasa Inggeris. Ini sekali gus dapat meningkatkan tahap keyakinan diri para peserta untuk berinteraksi dalam bahasa antarabangsa tersebut. Melalui aktiviti yang dijalankan sepanjang kem bertemakan mengenali Malaysia, para peserta berpeluang mempelajari budaya negara kita dan juga memperkenalkan budaya mereka serta mempelajari budaya rakan-rakan dari negara lain.
Kem musim panas pada kali ini telah mendapat penyertaan seramai 25 orang penuntut-penuntut dari universiti-universiti di Jepun, China dan Indonesia. Seramai 14 orang pelajar adalah dari Indonesia yang merupakan penuntut di Universitas Islam Sultan Agung, Universitas Multi Data Palembang dan Universitas Muhamadiyah Surabaya. Manakala seramai enam orang penuntut adalah dari China yang merupakan penuntut dari Tianjin Normal University dan Ningxia University. Dari Jepun pula, seramai lima penuntut adalah dari Iwate University.
Peserta kem telah didedahkan kepada topik yang berkaitan dengan budaya masyarakat Malaysia iaitu masyarakat Melayu, Cina dan India serta kaum etnik dari Sabah dan Sarawak termasuklah pakaian dan tarian tradisional. Mereka juga diperkenalkan dengan makanan popular masyarakat di Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, dan tosai serta diberi peluang untuk berkongsi makanan popular pilihan mereka melalui sesi yang dinamakan ‘Breakfast Bash’. Melalui perkongsian secara maya ini, peserta kem, pengajar dan fasilitator yang merupakan penuntut UMP menikmati juadah masing-masing dan berkongsi rasa, tekstur, dan cara penyediaan makanan tersebut.
Pada hari terakhir, peserta kem juga mempelajari tentang perayaan di Malaysia dan turut diperkenalkan kepada seni dan kraf seperti batik. Sepanjang penganjuran kem ini, peserta kem hanya menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi agar memberi peluang kepada mereka untuk berlatih dan meningkatkan kualiti penggunaan dan keyakinan untuk menggunakan bahasa Inggeris.
Menurut Pengarah PuHA UMP, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari, beliau sangat teruja kerana dapat melihat para peserta antarabangsa kelihatan seronok menyertai aktiviti sepanjang kem dan keupayaan mereka menyelami budaya yang diperkenalkan meskipun kem ini hanya berlangsung selama empat hari sangat mengagumkan. Beliau turut mengharapkan lebih banyak program seperti ini dapat dijalankan untuk merapatkan hubungan UMP dengan rakan kerjasama di seluruh dunia serta memperkenalkan Malaysia secara umumnya dan UMP secara khususnya di persada antarabangsa.
Bagi peserta kem, Jelvin Krisna Putra yang merupakan penuntut dari Universitas Multi Data Palembang, beliau sangat berpuas hati dengan penganjuran kem ini kerana walaupun kem diadakan secara virtual, aktiviti yang dianjurkan melalui pelbagai platform seperti aplikasi Zoom, Canva, Kahoot sangat interaktif dan menarik. Ia sekali gus dapat memupuk hubungan yang baik di antara peserta dengan pengajar dan fasilitator. Bagi Rei Oikawa dari Iwate University pula, pakaian tradisi kaum etnik dari Sabah dan Sarawak yang kami hasilkan melalui kem ini menggunakan bahan kitar semula bukan sahaja mencipta memori indah tetapi menjadi sesuatu yang amat bernilai untuk kami.”
Dekan PBM, Professor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi berharap semua peserta dan fasilitator dapat bertemu secara bersemuka dan mereka berpeluang untuk melawat Malaysia dan merasai sendiri keunikan budaya masyarakat negara ini.
Penulis adalah pensyarah kanan, guru bahasa dan ketua program (bahasa asing) Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: adnan@ump.edu.my, amyzulaikha@ump.edu.my, jumani@ump.edu.my
- 250 views