UMPSA 24 Tahun: Memacu Kecemerlangan di Pentas Asean
Dalam landskap pendidikan serantau yang semakin kompetitif, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tidak sekadar menyertai ASEAN, tetapi membentuknya. Ketika ASEAN memasuki fasa baharu pembangunan serantau, universiti ini menandakan kehadirannya bukan sebagai pemerhati, sebaliknya sebagai rakan strategik pendidikan yang aktif dan berpengaruh. Menjelang ulang tahun ke-24 penubuhannya pada 16 Februari 2026, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya di pentas ASEAN sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi berteraskan teknologi yang berdaya saing. Pencapaian dan penglibatan aktif universiti di peringkat serantau menjadi saksi kepada kematangan serta kewibawaan UMPSA, yang melangkah dengan azam dan iltizam dalam memacu kecemerlangan merentasi bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan kolaborasi strategik, seiring aspirasi nasional serta tuntutan pembangunan serantau.
Malaysia secara rasmi menjadi Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'. Ini merupakan kali kelima Malaysia mengambil giliran sebagai pengerusi negara ASEAN, iaitu bermula pada tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015 sebelum ini. Umum mengetahui bahawa ASEAN terdiri daripada negara-negara anggota berikut: Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam, manakala Timor-Leste telah diterima secara prinsip sebagai anggota ASEAN dan sedang melalui proses keahlian penuh.
Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) berperanan sebagai wadah penting dalam memelihara kestabilan politik, ekonomi dan sosial rantau ini, dengan sektor pendidikan diangkat sebagai salah satu teras utama yang merajut jalinan kerjasama serantau. Melalui pendidikan, negara-negara ASEAN berupaya membina modal insan berdaya saing dan memacu pertumbuhan inovasi teknologi yang berteraskan ilmu serta kemahiran. Dalam landskap ini, Malaysia tampil menzahirkan iltizam berterusan dalam merangka dan melaksanakan dasar pendidikan serantau yang bukan sahaja memperluas akses kepada pendidikan berkualiti, malah memperkukuh kebolehpasaran graduan melalui ekonomi digital, program mobiliti akademik pelajar serta penyelidikan rentas sempadan, selaras dengan pelaksanaan ASEAN Work Plan on Education 2021–2025.
Di samping itu, Malaysia turut membuka ruang dan peluang yang luas kepada pelajar dari negara-negara ASEAN untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan melalui inisiatif seperti Malaysia–ASEAN Higher Education Cooperation dan ASEAN International Mobility for Students (AIMS). Pendekatan ini bukan sekadar mempertingkat mutu pendidikan, bahkan menyemai kesefahaman, integrasi dan rasa kebersamaan serantau dalam membentuk generasi muda ASEAN yang berdaya saing dan berwawasan global. Namun demikian, usaha ini turut berdepan cabaran yang menuntut penyesuaian berterusan, khususnya dalam penyelarasan kurikulum agar lebih sejajar dengan keperluan industri ASEAN dan tuntutan pasaran kerja serantau yang kian mencabar.
Dalam konteks usaha memperkukuh kerjasama pendidikan serantau ini, kedudukan UMPSA dalam kelompok 20 universiti terbaik Asia, dengan kedudukan ke-19 dalam QS World University Rankings: Asia 2026, bukan sekadar pengiktirafan, malah menjadi petunjuk jelas keupayaan universiti ini untuk berperanan sebagai rakan strategik yang berwibawa dalam memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan di peringkat ASEAN. Pencapaian ini turut mencerminkan kedudukan UMPSA sebagai antara institusi terkemuka dalam rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang berkeupayaan mendukung agenda pendidikan serantau secara berkesan dan berimpak tinggi.
Selaras dengan kedudukan dan keupayaan tersebut, dalam kerangka Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia menumpukan usaha kepada pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045 sebagai panduan hala tuju jangka panjang rantau ini. Sebagai negara hos, Malaysia turut mengemudi perbincangan pelbagai isu strategik serantau merangkumi kerjasama ekonomi, keselamatan, perubahan iklim dan integrasi nasional. Seiring dengan itu, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh ASEAN Centrality melalui dialog strategik bersama rakan luar ASEAN, termasuk China, bagi mengeratkan hubungan serantau di peringkat global.
Bertitik tolak daripada hala tuju nasional tersebut, UMPSA tampil sebagai antara universiti peneraju dalam memperkukuh mobiliti dan kolaborasi akademik serantau melalui pelbagai inisiatif strategik yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia bersama rakan universiti ASEAN. Keupayaan UMPSA sebagai universiti hos terserlah menerusi penganjuran ASEAN Student Mobility Programme sempena ASEAN Universities Exhibition and Forum 2025 (AEF2025), yang menghimpunkan penyertaan pelajar dari Indonesia, Vietnam, Filipina, Kemboja dan Thailand.
Sebagai kesinambungan usaha ini, program tersebut dilaksanakan secara hibrid pada tahun 2025, merangkumi sesi dalam talian dan bersemuka di universiti hos masing-masing. Dalam kerangka kepimpinan UMPSA sebagai penganjur utama, universiti ini turut menerajui Young Innovators Challenge dengan memilih Tema 3: ASEAN Climate Action: Pathways to Sustainability and Resilience sebagai fokus perbincangan, sekali gus memupuk budaya inovasi, pemikiran lestari dan kerjasama berimpak tinggi dalam kalangan universiti ASEAN.
Selain itu, UMPSA terus memperkukuh peranan strategiknya dalam pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di peringkat ASEAN selaras dengan agenda pembangunan bakat serantau. Pada tahun 2025, pelajar dan staf UMPSA telah mempamerkan inovasi berteras TVET di ASEAN TVET Conference 2025 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur, antaranya melalui projek DreBar, DewBoard dan Soccer Robot, sekali gus menarik perhatian pelbagai institusi serantau serta kepimpinan negara. Penyertaan ini mencerminkan keupayaan UMPSA dalam mengangkat inovasi TVET ke pentas ASEAN serta memperlihatkan daya saing universiti dalam ekosistem pendidikan teknikal serantau.
Seiring dengan itu, UMPSA turut merangka langkah strategik jangka panjang dengan merancang penubuhan UMPSA Kuala Lumpur Learning Centre (UMPSA KL) sebagai sebahagian daripada aspirasi menjadikan universiti ini sebagai hab TVET termaju di rantau ASEAN. Inisiatif ini bukan sahaja memperluas akses pendidikan tinggi berteraskan TVET, malah mengukuhkan peranan UMPSA sebagai peneraju pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang relevan dengan keperluan industri serantau dan global.
Melangkah seterusnya, selaras dengan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi, UMPSA melaksanakan inisiatif Global Classroom sebagai sebahagian daripada pendekatan Transnational Education (TNE) bagi memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran rentas sempadan bersama rakan universiti, termasuk di peringkat ASEAN. Dengan memanfaatkan kekuatan UMPSA sebagai universiti teknologi terunggul, penggunaan platform digital serta pedagogi berasaskan teknologi membolehkan perkongsian ilmu dilaksanakan secara dinamik tanpa kekangan sempadan geografi dan masa. Pendekatan ini bukan sahaja memperluas akses pembelajaran global dan meningkatkan kompetensi antarabangsa graduan, malah memperkasa jaringan kerjasama akademik serantau, sekali gus mengukuhkan peranan UMPSA sebagai rakan strategik pendidikan di pentas ASEAN.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2018 sehingga kini, inisiatif ini telah membuktikan keberkesanannya apabila beberapa negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Brunei dan Vietnam terus menjalin kerjasama akademik secara berterusan dengan UMPSA melalui pelaksanaan Global Classroom.
Dalam memperkukuh dimensi keilmuan di peringkat serantau, UMPSA secara konsisten memperluas kerjasama penyelidikan bersama rakan universiti dan institusi di negara-negara ASEAN dalam bidang teknologi, kelestarian, kejuruteraan gunaan dan pembangunan mampan, selaras dengan keutamaan pembangunan serantau. Kerjasama ini merangkumi kolaborasi akademik dan penyelidikan bersama rakan institusi di Thailand dan Indonesia melalui perbincangan rasmi, program mobiliti akademik serta penerokaan projek penyelidikan bersama. Jaringan ini diperluas ke Vietnam menerusi pendekatan strategik bersama pihak kedutaan, manakala dimensi inovasi dan pemindahan teknologi diperkasakan melalui kerjasama dengan rakan industri di Filipina. Keupayaan akademik UMPSA diperkukuh lagi apabila seramai 25 orang pensyarah universiti ini tersenarai dalam pengiktirafan Stanford–Elsevier Top 2% Scientist 2025, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan dan daya tarikan UMPSA sebagai rakan penyelidikan serantau. Secara keseluruhannya, kolaborasi ini menegaskan peranan UMPSA sebagai universiti berteras teknologi yang menyumbang kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta keperluan industri ASEAN secara berterusan.
Dari sudut impak langsung kepada pelajar dan staf, antara inisiatif yang acap kali mencuri tumpuan warga UMPSA ialah pelaksanaan program mobiliti bersama rakan institusi di negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam, Filipina, Kemboja dan Thailand. Bagi program mobiliti staf, beberapa orang staf UMPSA telah menyertai program mobiliti, antaranya Wan Muslimin Wan Nawang, Eksekutif Kanan, Jabatan Pendaftar dan Mohd Khairulnazri Saidi, Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni telah menyertai program mobiliti di Universitas Indonesia, Indonesia pada tahun 2025. Program sangkutan tersebut merupakan inisiatif kolaboratif bagi meningkatkan kepakaran akademik serta memperluas jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan antarabangsa di antara kedua-dua institusi.
Manakala bagi program mobiliti pelajar, seramai 25 orang pelajar UMPSA telah menyertai program ‘Melangkaui Teknologi: Program Mobiliti ke Indonesia’ di Universitas Multimedia Nusantara (UMN) pada tahun yang sama. Program ini meninggalkan impak yang signifikan kepada kedua-dua universiti, bukan sekadar memperkaya pengalaman akademik dan pendedahan budaya, malah memperluas cakrawala pemikiran pelajar terhadap isu global serta peri pentingnya kerjasama antarabangsa. Seiring dengan matlamat tersebut, aktiviti pengukuhan hubungan bersama pelajar dan pensyarah UMN telah berhasil merintis jaringan profesional yang berterusan, sekali gus membuka ruang dan peluang kepada kerjasama masa hadapan dalam meningkatkan pencapaian akademik dan pemerkasaan kemahiran insaniah.
Keseluruhannya, inisiatif yang digerakkan ini menegaskan bahawa UMPSA bukan sekadar sebuah universiti teknikal dan vokasional, tetapi rakan strategik pendidikan yang memainkan peranan bermakna dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi serantau. Melalui komitmen berterusan terhadap pembangunan bakat, inovasi dan kolaborasi rentas sempadan, UMPSA memastikan graduannya bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja tempatan. Malah, graduan UMPSA turut berkeupayaan bersaing dan menyumbang di peringkat antarabangsa, selaras dengan nilai kemampanan, keterangkuman dan kesejahteraan yang menjadi teras Malaysia MADANI. Menjelang ulang tahun ke-24 penubuhannya, UMPSA meneguhkan kedudukan sebagai institusi berteras teknologi yang relevan, berwibawa dan berpengaruh dalam membentuk hala tuju pendidikan ASEAN pada masa hadapan.

Oleh: Zahiruddin Mohd Zain
E-mel: zahiruddin@umpsa.edu.my
Eksekutif Kanan
Pusat Jaminan Kualiti Akademik, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Oleh: Jamilah Bebe Mohamad
E-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my
Guru Bahasa Kanan
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 88 views
Reports by: