UMPSA: CIPTA, CINTA dan CITRA ke arah keunggulan peribadi
Sebagai seorang pensyarah di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sejak tahun 2019, adalah menjadi saat indah apabila tercipta sejarah memasuki sebuah universiti Gemilang dan Terunggul untuk berbakti kepada anak bangsa dan negara. UMPSA adalah tempat kerja pertamaku sebagai seorang pensyarah dan banyak pengalaman dan pengetahuan dapat dipelajari dan ditimba untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai seorang pensyarah dan Pengetua Kolej Kediaman adalah menjadi tanggung jawab utama membimbing dan memberikan inspirasi kepada generasi muda dalam mencapai keunggulan akademik dan pengembangan peribadi melalui pengembangan sahsiah dan jati diri mahasiswa. Dengan dedikasi untuk memberikan pendidikan berkualiti, penelitian inovatif, dan pengabdian masyarakat, pengalaman ini akan membawa dampak positif dalam membentuk masa depan mahasiswa dan mengukuhkan reputasi gemilang UMPSA. Sebagai seorang pensyarah, adalah menjadi keutamaan untuk memastikan elemen utama berikut memenuhi visi dan misi UMPSA.
1. Pendidikan berkualiti. Hal ini melibatkan penyampaian bahan pengajaran dengan kaedah menarik, interaktif dan relevan dengan pengembangan terkini. Penggunaan kaedah seperti kajian kes, projek berkumpulan, simulasi akan membantu membuat penerangan konsep yang sukar dan menambah minat belajar mahasiswa. Inisiatif ini adalah selari dengan seruan kerajaan agar membudayakan penggunaan inovasi dan teknologi.
2. Bimbingan akademik dan pengembangan kerjaya mahasiswa. Berperanan sebagai pembimbing kepada mahasiswa mengenai mata kuliah, rancangan belajar, dan membantu pelajar dalam pemilihan minat kerjaya agar dapat mencipta lingkungan pertumbuhan akademik yang baik.
3. Kajian ilmiah. Kajian ilmiah melibatkan pihak industri dan komuniti melalui penerbitan jurnal, persidangan dan seminar bagi meluaskan wawasan akademik dan mengaspirasikan mahasiswa.
4. Pengabdian kepada masyarakat. Menyediakan latihan, atau terlibat dalam projek yang memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat sekitar. Penglibatan ini juga melibatkan mahasiswa dalam membantu mereka memahami relevansi ilmu yang dipelajari dan mempersiapkan diri mereka dengan hubungan bersama komuniti.
Pengalaman dalam bidang akademik ditambah dengan kemahiran dalam mendidik mahasiswa untuk pembangunan kemajuan sahsiah di Kolej Kediaman pelajar. Menjadi seorang pengetua kolej sememangnya memerlukan kemahiran sampingan agar menjadi contoh teladan kepada semua mahasiswa terlibat. Pengetua Kolej Kediaman ibarat ibu bapa yang menjaga anak dengan pelbagai ragam dan akhlak. Penganjuran program secara berkala yang mempunyai pengisian dan dapat memberi kesan positif kepada pembangunan sahsiah pelajar adalah elemen yang diterapkan. Para pelajar dijaga emosi dan pemikiran melalui penerangan, ceramah, program ilmiah, program santai, dan kelengkapan infrastruktur yang memuaskan agar para pelajar tidak berasa bosan dan dapat membantu mereka mengawal stress belajar dan mendapat kemahiran lain selain bidang akademik. Mahasiswa dianggarkan berada di Kolej Kediaman hampir 70 peratus dari masa harian mereka. Oleh itu, perancangan program dan aktiviti di Kolej Kediaman perlu menerapkan kepada aspek kemahiran selain akademik yang boleh dipelajari oleh Mahasiswa terutama dalam menjadi seorang pemimpin.
Pengalaman menjadi seorang pengetua dalam menjaga anak pelajar daripada kepelbagaian kaum menjadi saat indah. Bukan hanya dapat berbakti kepada anak pelajar, malah sebagai seorang pengetua, kemahiran komunikasi, budaya dan interpersonal dapat ditingkatkan. Penglibatan dalam apa jua program atau aktiviti di Kolej Kediaman mesti melibatkan kepelbagaian kaum agar aktiviti tersebut lebih menyeronokkan dan rasa dihargai antara satu sama lain. Antara program terbaharu yang dijalankan adalah program mobiliti antarabangsa pelajar Kolej Kediaman ke Makassar Indonesia pada 18 hingga 25 Julai 2023. Program ini membawa 22 orang pelajar prasiswazah, seorang pelajar pascasiwazah. Program ini melibatkan kepelbagaian kaum iaitu Melayu, India dan Cina. Program ini juga memberi fokus membawa pelajar yang tidak pernah menaiki kapal terbang dan belum pernah berpengalaman ke luar negara. Melalui program sebegini, ia memberi saat yang sangat indah kepada peserta, mengeratkan silaturahim, saling membantu, saling menghargai dan membawa nama UMPSA di persada antarabangsa. Sejarah tercipta dengan elemen tersendiri. Oleh itu, melalui saat yang dicipta, maka lahirkan cinta dan citra untuk terus berbakti kepada anak bangsa demi keunggulan universiti kita iaitu UMPSA.
Secara keseluruhan, dalam membangunkan universiti gemilang, penting bagi kita untuk menggabungkan konsep cipta, cinta dan citra sebagai landasan utama. Cipta untuk menggali potensi mahasiswa dan pensyarah untuk mencari penyelesaian inovatif dalam mengendalikan sebarang situasi national dan global. Cinta terhadap pembelajaran dan pengembangan diri dan Citra yang gemilang melalui penceritaan dan keterlibatan dalam apa jua fungsi yang diamanahkan oleh pihak universiti. Dengan demikian, kita dapat mengutamakan inovasi, semangat belajar, dan sikap positif dalam mencipta lingkungan pendidikan yang mengilhami generasi mendatang untuk menyumbang pada perkembangan ilmu pengetahuan.
Penulis adalah pensyarah Fakulti Komputeran (FK) dan Pengetua (Residen Pelajar 1), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: yusnitanoor@umpsa.edu.my
- 343 views