20 pelajar B40 UMPSA terima komputer riba sumbangan Yayasan Taqwa MAWIP
BANGI, 13 November 2025, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited memastikan kebajikan pelajarnya terjamin apabila seramai 20 orang pelajar daripada kumpulan B40 telah terpilih menerima bantuan komputer riba melalui inisiatif Majlis Dekan-dekan Pengajian Islam, dengan pembiayaan penuh daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP).
Majlis penyerahan komputer riba ini diadakan bersempena dengan Konvensyen Pengajian Islam IPT Antarabangsa 2025 bertempat di Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Konvensyen ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim diiringi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yang Berhormat Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Mokhtar.
Program tersebut dianjurkan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM yang juga merupakan ahli Majlis Dekan-dekan Pengajian Islam dan menjadi penganjur utama konvensyen julung kali itu.
Menjelaskan mengenai inisiatif berkenaan, Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), UMPSA, Profesor Dr. Hasan Ahmad memaklumkan bahawa agihan komputer ini merupakan program menyeluruh yang diberikan kepada semua IPT yang menganggotai Majlis Dekan-dekan Pengajian Islam.

"Setiap institusi menerima peruntukan untuk 20 orang pelajar Muslim B40, hasil dana sumbangan Yayasan Taqwa MAWIP yang diperuntukkan khusus bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.
"Bagi UMPSA, sejumlah RM54,000 telah disalurkan untuk menyediakan 20 unit komputer riba yang diberikan sebagai hak milik terus kepada para penerima, bukan secara pinjaman.
"Langkah ini diharap dapat mengurangkan beban pelajar yang memerlukan peranti untuk pembelajaran harian, khususnya bagi tugasan akademik yang memerlukan akses digital," katanya.
Mengenai pemilihan penerima, Profesor Dr. Hasan menjelaskan bahawa pelajar UMPSA dipilih berdasarkan penglibatan aktif universiti sebagai salah sebuah universiti awam (UA) yang bergerak aktif dalam Majlis Dekan-dekan Pengajian Islam di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Pemilihan ini turut mengambil kira komitmen pelajar dalam bidang pengajian masing-masing dan latar belakang sosioekonomi keluarga," ujarnya.
Pelaksanaan agihan ini turut menzahirkan hubungan kerjasama yang erat antara pelbagai pihak, termasuk KPT, JAKIM serta Majlis Dekan-dekan Pengajian Islam yang bersama-sama memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Profesor Dr. Hasan turut mewakili UMPSA untuk merakamkan penghargaan kepada Yayasan Taqwa MAWIP sebagai penyumbang utama, selain mengucapkan terima kasih kepada Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam yang telah menggerakkan usaha ini dengan berkesan.
“Harapan kami ialah para penerima dapat memanfaatkan rezeki ini sebaik-baiknya dan menggunakan komputer riba tersebut untuk meningkatkan prestasi akademik serta menjadi pelajar yang sentiasa bersyukur serta berterima kasih kepada pihak penyumbang.
“Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi UMPSA dalam memperkukuh kesejahteraan pelajar," katanya.
Dengan terlaksananya agihan berkenaan, UMPSA berharap usaha ini dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik pelajar B40 dan membantu mereka mengikuti pengajian dengan lebih baik dalam era pembelajaran digital masa kini.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 20 views
Reports by: