Skip to main content

26 penyelidik UMPSA terima geran GET berjumlah RM3.21 juta

PUTRAJAYA, 17 November 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kecemerlangan penyelidikan apabila seramai 26 penyelidiknya berjaya memperoleh Geran Penyelidikan Eksploratori dan Transformatif (GET) Fasa 1 dan Fasa 2 Tahun 2026 dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3,212,631.60.

Kejayaan tersebut diumumkan menerusi Majlis Penyampaian Geran Dana Kelestarian Penyelidikan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bersempena dengan Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026.

Penyampaian geran telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Azlinda Azman.

Geran GET merupakan inisiatif strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi penekanan kepada pemerkasaan penyelidikan asas bagi menjana ilmu baharu beracuan Malaysia, di samping meneroka pendekatan transformatif dalam menambah baik proses, sistem dan amalan sedia ada.


Inisiatif ini turut membuka peluang kepada penyelidik untuk meneroka idea baharu, membangunkan teori dan konsep serta menghasilkan penemuan yang berpotensi memberikan impak signifikan kepada perkembangan ilmu dan kemajuan negara.

Pencapaian ini mencerminkan keupayaan penyelidik UMPSA dalam meneroka ilmu baharu serta memperluas jaringan kerjasama strategik bagi menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi.

Kejayaan memperoleh geran ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada budaya penyelidikan yang lebih dinamik dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh peranan UMPSA sebagai universiti teknologi yang menyumbang kepada pembangunan ilmu, industri dan negara.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
AINIEY