Skip to main content

3 penyelidik UMPSA terima geran SUSOA dan GPK pacu pengkomersialan serta kolaborasi penyelidikan

PUTRAJAYA, 18 November 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh ekosistem penyelidikan, inovasi dan keusahawanan apabila tiga penyelidiknya berjaya memperoleh geran penyelidikan di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dua penyelidik UMPSA, Felo Penyelidik Utama, Pusat Kelestarian Mineral & Teknologi Pemulihan Sumber dan Pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Profesor Madya Ts. Dr. Noormazlinah Ahmad dan Pensyarah, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Dr. Wan Muhammad Noor Sarbani Mat Daud berjaya memperoleh Geran Pemecutan Syarikat dan Syarikat Terbitan (Start-Up Spin-Off Accelerator – SUSOA).


Selain itu, seorang lagi penyelidik dan Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah), FTKMA, Profesor Ts. Dr. Syarifah Nur Aqida Syed Ahmad turut berjaya memperoleh Geran Penyelidikan Kolaboratif (GPK) yang memberi penekanan kepada pemerkasaan kerjasama strategik dalam penyelidikan.

Penyampaian geran telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Azlinda Azman dalam Majlis Penyampaian Geran Dana Kelestarian Penyelidikan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bersempena dengan Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026.

Geran SUSOA merupakan inisiatif KPT yang memberi fokus kepada usaha mempercepatkan pengkomersialan harta intelek universiti melalui penubuhan syarikat terbitan universiti (spin-off company) serta memperkukuh syarikat terbitan sedia ada agar lebih berdaya tahan dan kompetitif.

Inisiatif ini turut memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang antara penemuan penyelidikan dengan pengkomersialan yang dikenali sebagai valley of death menerusi pendekatan pemecutan keusahawanan yang lebih berstruktur.

Pendekatan ini penting bagi memastikan hasil penyelidikan yang mempunyai potensi komersial dapat dikembangkan menjadi produk, teknologi dan penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan industri serta memberikan manfaat kepada masyarakat.

Sementara itu, Geran GPK memberi penekanan kepada pemerkasaan sinergi kepakaran merentas sektor dan disiplin melalui kerjasama strategik antara institusi, industri, komuniti serta pelbagai pihak berkepentingan.

Pendekatan kolaboratif ini bukan sahaja memperkukuh kapasiti penyelidikan nasional, malah mempercepatkan penghasilan penyelesaian translasional yang dapat dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat dan industri, sekali gus meningkatkan keterlihatan serta pengaruh penyelidikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan penyelidik universiti dalam menghasilkan penyelidikan yang mempunyai nilai inovasi dan potensi untuk dimanfaatkan secara lebih meluas.

“Kita mahu setiap hasil penyelidikan bukan sekadar berakhir dengan penerbitan atau penemuan akademik, sebaliknya mampu diterjemahkan kepada produk, teknologi dan penyelesaian yang memenuhi keperluan sebenar industri serta masyarakat.

“UMPSA akan terus memperkukuh budaya penyelidikan berimpak tinggi melalui sokongan terhadap pengkomersialan hasil penyelidikan, pemerkasaan syarikat terbitan universiti serta peluasan kolaborasi strategik bersama industri dan rakan penyelidikan.

“Usaha ini penting bagi memastikan kepakaran dan inovasi yang dibangunkan di universiti dapat memberikan nilai tambah kepada pembangunan ekonomi negara serta meningkatkan daya saing UMPSA di peringkat global,” ujarnya.

Kejayaan tiga penyelidik UMPSA memperoleh geran tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa penyelidikan yang bukan sahaja menghasilkan penemuan baharu, malah berpotensi diterjemahkan kepada nilai ekonomi, penyelesaian inovatif dan manfaat yang lebih luas kepada industri serta masyarakat.

Seiring aspirasi untuk memperkukuh kedudukan sebagai institusi teknologi terunggul, UMPSA akan terus mempergiat usaha membangunkan ekosistem penyelidikan, inovasi dan keusahawanan yang mampan, di samping memperluas jaringan kerjasama strategik bagi memastikan hasil penyelidikan universiti dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
AINIEY