Skip to main content

35 staf terima bantuan Yayasan UMP

PEKAN, 20 Januari 2021 – Atas dasar keprihatinan terhadap staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang ditimpa bencana banjir baru-baru ini, Yayasan UMP dan Jabatan Pendaftar telah mengorak langkah menghulurkan sumbangan kepada staf yang terjejas akibat bencana banjir.

Menurut salah seorang penerima yang merupakan Pembantu Tadbir Kanan di Jabatan Bendahari UMP, Azslinda Ibrahim, beliau amat terharu apabila menerima kunjungan wakil pengurusan UMP dan staf Jabatan Pendaftar ke rumahnya untuk menyerahkan sumbangan. 

“Keprihatinan pihak universiti ini amat bermakna di samping itu Pro-Pendaftar UMP, Abd. Rahman Haji Safie yang banyak memberi kata semangat kepada staf mengalami nasib yang sama seperti saya. 

“Tidak dapat dinafikan emosi amat terusik apabila mengenangkan rumah yang ditenggelami banjir dan kerosakan harta benda,” katanya.

Beliau dan suami ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan UMP atas sumbangan yang diberikan. 

“Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan yang sering bertanyakan khabar dan memberikan kata semangat,” katanya. 

Azslinda juga sempat menceritakan detik cemas, apabila air yang naik begitu pantas, hanya sempat menyelamatkan barang berharga,namun paras air yang tinggi masih ada barang-barang banyak yang rosak.  

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur, kerana semua ahli keluarganya selamat keluar daripada kawasan perumahan tersebut sebelum keadaan semakin teruk. 

Menurut Abd. Rahman, sehingga kini, seramai 35 staf menerima kit bantuan sumbangan. 

“Daripada jumlah tersebut, 30 staf merupakan mereka yang terjejas akibat banjir meliputi tiga daerah iaitu Pekan, Kuantan dan Maran.

“Selain itu, bantuan turut disalurkan kepada lima staf yang mengalami bencana akibat tanah runtuh di Taman Gambang Damai. 

“UMP juga turut menyediakan rumah sementara di dalam kampus  bagi staf yang rumahnya terkesan akibat tanah runtuh,” ujar beliau. 

Ujarnya, UMP sentiasa cakna dengan kebajikan staf.

“Terkini UMP juga sedang menggerakkan usaha mengumpul sumbangan Tabungan Bantuan Staf UMP yang menggalakkan staf membantu staf terutamanya bagi mereka yang menjadi mangsa banjir juga yang mempunyai masalah kesihatan sehingga memerlukan keperluan alat bantuan sokongan seperti kerusi roda, katil dan sebagainya.

“Pihak universiti amat simpati dengan apa yang staf tempuhi dan diharapkan staf terlibat tabah dalam menghadapi dugaan ini dengan penuh kesabaran. 

“Kami juga turut menggalakkan staf UMP untuk terus menyumbang sumbangan menerusi Yayasan UMP. 

“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Yayasan UMP MBB (556235317085),” katanya. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris