Skip to main content

5 pensyarah UMPSA dilantik ke jawatan Profesor Gred VK7

GAMBANG, 19 Jun 2025 – Seramai lima pensyarah kanan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima surat kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Bilik Naib Canselor, Bangunan Canseleri UMPSA Kampus Gambang.

Surat pelantikan telah disampaikan oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias dalam satu sesi yang turut dihadiri oleh Dekan-dekan Fakulti, Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMPSA serta pegawai-pegawai dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia. 

Kenaikan pangkat itu berkuat kuasa mulai 30 Mei 2025.

Mereka adalah  Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham Ghazali, Profesor Ts. Dr. Syarifah Nur Aqida Syed Ahmad dan Profesor Ir. Ts. Dr. Wan Sharuzi Wan Harun dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA). 

Turut dilantik ialah Dekan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Ts. Dr. Hamzah Ahmad dan Profesor Ts. Dr. Khairusnisa Muthusamy dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA).

Profesor Dr. Yatimah merakamkan ucapan tahniah kepada kelima-lima orang Profesor dan menzahirkan harapan agar mereka terus memainkan peranan penting dalam pembangunan akademik dan reputasi UMPSA di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Tanggungjawab sebagai Profesor bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu amanah besar untuk memacu kecemerlangan universiti. 

“Saya berharap kesemua Profesor ini dapat menjadi sumber inspirasi, membimbing dan memotivasikan rakan-rakan pensyarah lain, khususnya dalam kalangan pensyarah kanan yang telah lama berkhidmat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa UMPSA baru-baru ini menerima berita baik berhubung peningkatan kedudukan dalam ranking Times Higher Education (THE), dan menegaskan bahawa usaha ke arah peningkatan kedudukan universiti mesti diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan industri.

Sementara itu, para Profesor yang dilantik turut meluahkan rasa syukur dan komitmen terhadap tanggungjawab baharu tersebut.

Menurut Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham, beliau akan terus komited untuk membangunkan FTKMA agar dapat menjadi Fakulti Mekanikal terbaik di Malaysia. 

“Malah, saya juga turut menyasarkan agar FTKMA UMPSA dapat mengatasi pencapaian universiti terkemuka termasuklah Universiti Malaya (UM),” ujarnya. 

Pada masa yang sama, Profesor Ts. Dr. Syarifah Nur Aqida dan Profesor Ir. Ts. Dr. Wan Sharuzi pula menyampaikan penghargaan atas kepercayaan pihak pengurusan universiti.

Ujar Profesor Ts. Dr. Khairusnisa, beliau akan terus komited untuk membangunkan dunia akademik dan dalam pada masa yang sama memperkasa gologngan wanita dalam bidang akademia menerusi bimbingan dam pemantauan yang berterusan. 

Manakala menurut Profesor Ts. Dr. Hamzah Ahmad pula, beliau berjanji akan berusaha untuk meningkatkan pencapaian dan reputasi UMPSA secara keseluruhan.

Mengambil kesempatan itu, Dekan FTKA, Profesor Madya Ir. Dr. Fadzil Mat Yahaya, turut mengucapkan tahniah dan menyeru agar rakan-rakan akademik yang lain terus menyumbang secara proaktif ke arah pencapaian universiti yang lebih cemerlang.

“Saya berharap pelantikan ini menjadi pemangkin kepada budaya kecemerlangan akademik yang mampan dan berimpak tinggi,” katanya. 

Tambah Dekan FTKMA, Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad, jawatan Profesor adalah satu tahap yang jauh lebih tinggi, dan ia hadir dengan tanggungjawab sebagai mentor yang perlu berkongsi ilmu serta membimbing generasi akademik akan datang. 

Seluruh warga UMPSA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Profesor yang telah dilantik dan berharap agar pelantikan ini menjadi pemangkin kepada budaya kecemerlangan akademik yang mampan dan berimpak tinggi.

Disediakan Oleh: Siti Sakinah Mohtar, Jabatan Pendaftar
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri