Skip to main content

500 Sertai Larian Amal UMP untuk Misi Kemanusiaan Palu

Kuantan, 23 Februari - Sebagai usaha bagi mengumpul dana bagi menjayakan Misi Kemanusiaan Palu di Indonesia, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) mengadakan Program Palu Charity Run. Program yang bermula seawal 7 pagi itu berlangsung di perkarangan Komplek Sukan UMP Kampus Gambang yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato Dr. Yuserrie Zainuddin.

Penyertaan larian yang dibuka oleh orang ramai ini turut mempromosikan gaya hidup sihat serta melahirkan mahasiswa yang mempunyai fizikal dan minda yang cerdas dan cergas.

Dalam pada itu, program larian amal ini adalah salah satu inisiatif untuk mengumpul  dana bagi Misi Kemanusiaan Palu anjuran Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UMP dan Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST) yang diketuai oleh Ezwan Shah Mohd Nordin yang juga Exco Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti Majlis Perwakilan Pelajar.

Pengarah program, Nur Amira Shafiqa Ismail berkata program ini bukan sahaja dapat dapat mengamalkan gaya hidup sihat melalui program larian yang dilakukan malah memberi peluang kepada peserta untuk menyumbang.

“Melalui program ini juga kita dapat memperkenalkan orang awam dengan persekitaran kampus UMP yang mana terdapat juga peserta luar seperti pelajar dari Kolej Matrikulasi Pahang yang turut terlibat dalam program ini,” katanya.

Sementara itu, Ezwan berkata, program ini berjaya mengumpulkan sebanyak RM4000 untuk disumbangkan ke Tabung Misi Kemanusiaan Palu yang dilancarkan baru-baru ini oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim.

Sehingga kini kutipan mencecah 20 ribu dan pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak 100 ribu bagi membina lebih banyak rumah sementara untuk membantu mangsa di Palu agar mereka dapat menyambut hari raya dalam keadaan lebih baik dan meriah.

Misi yang berlangsung pada pada 11 hingga 16 Mei depan bakal berlangsung tatkala umat Islam menunaikan ibadah puasa. Program mendapat kerjasama pihak Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan Rumah Zakat (badan bukan kerajaan dari Indonesia yang mempunyai pengalaman dalam membantu mangsa bencana bersiri iaitu gempa bumi, tsunami dan lifukfasi tanah.  

Disediakan oleh Siti Nur Azwin Binti Zulkapri dari Bahagian Komunikasi Korporat

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri