Bakul Rahmah KPT-UMP bantu mangsa banjir Kota Tinggi
KOTA TINGGI, 30 Januari 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggerakkan Misi Sukarelawan Banjir Selatan dengan mengagihkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di Kampung Teluk Hutan Lesung, Tanjung Sedili, Kota Tinggi.
Sebanyak 100 sumbangan Bakul Rahmah KPT-UMP berbentuk makanan dan barang keperluan serta 200 set pakej makanan Ready to Eat melalui teknologi retort di bawah inisiatif food@campus (UMP Campus Pantry) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diagihkan bagi membantu mangsa banjir.
Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin hadir menyantuni penduduk dan menyampaikan sumbangan bantuan Bakul Rahmah KPT di Sekolah Kebangsaan Teluk Hutan Lesung, Kota Tinggi yang menempatkan 28 keluarga mangsa banjir.
Turut sama hadir Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Dr. Mohd Fo'ad Sakdan yang juga Pengerusi Majlis Sukarelawansiswa Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) dan Ketua Pusat Pemindahan Bencana Banjir, Neek Ahmad Suhaimi Neek Sazali.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, pada peringkat pertama sebelum ini sebanyak 3,500 pek makanan diagihkan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kepada mangsa banjir pantai Timur pada Disember lalu.
“Pada kali ini, kita turun padang mengagihkan keperluan makanan bagi membantu komuniti di Kota Tinggi yang masih terkesan akibat banjir dan masih berada di penempatan banjir.
“Bermatlamatkan Zero Hunger, kemudahan ini sebagai persediaan untuk menyediakan makanan semasa kecemasan bagi membolehkan mereka mendapatkan makanan yang sihat dan sedia untuk dimakan.
“Inisiatif hasil kerjasama UMP, Yayasan UMP dengan sokongan KPT ini bagi membolehkan mereka yang terkesan banjir di sini mendapat makanan yang dimasak menggunakan teknologi retot antaranya nasi berlaukkan ayam masak merah, daging masak kicap dan nasi goreng,” katanya.
Ujar beliau lagi, sukarekawan Kilau UMP dalam kalangan staf dan pelajar sentiasa bersiap siaga bagi membantu dalam aktiviti pascabanjir dalam meringankan beban keluarga.
Bagi Neek Ahmad, pihaknya menghargai kehadiran Dato' Seri Mohamed Khaled dan KPT serta sukarelawan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang hadir membantu mereka.
“Selain itu, banyak bantuan diterima daripada pelbagai agensi termasuklah bantuan makanan, pemeriksaan kesihatan dan membantu cari dari segi logistik terutamanya apabila terputus perhubungan disebabkan banjir berlanjutan selama beberapa hari,” katanya.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 162 views