Cabaran Pendakian Da’i Belantara ke Puncak Langsir
Dungun, 26 September 2020 – Setelah melalui sepuluh jam pendakian, seramai 19 pendaki yang terdiri daripada 16 peserta dan tiga petugas berjaya tiba di Puncak Langsir, Dungun tepat jam 8 malam pada ketinggian 2,628 kaki dalam Program Kembara Alam anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.
Lebih sepuluh anak sungai terpaksa direntasi para pendaki untuk tiba di enam lokasi (check point) iaitu Air Terjun Chemerong, Bukit Taubat, Kem Balak, Seraya Besar dan Sungai Bangan sebelum sampai ke Puncak Langsir yang dijadikan tempat perkhemahan untuk bermalam.
Pengarah Program Kembara Alam, Mohamad Hasnur Abdul Hamid berkata, program ini diilhamkan bagi memberikan pendedahan tentang pengetahuan asas falak berkenaan proses penentuan kiblat dan waktu solat selain fiqh musafir.
“Dalam program ini juga, para peserta dapat menikmati pemandangan indah flora dan fauna yang sangat menyegarkan dan mentadabbur kekuasaan Allah SWT sebagai Tuhan sekalian alam.
“Para peserta turut dapat menghilangkan tekanan kerja dan beriadah sebagai usaha berterusan untuk melahirkan pekerja yang dinamik.
“Pada peringkat awal sebelum memulakan pengembaraan, para peserta telah dibekalkan peralatan keperluan berbentuk makanan dan peralatan perkhemahan,” katanya.
Terdapat dalam kalangan peserta yang pertama kali menyertai pengembaraan ini begitu teruja untuk memulakan pendakian.
“Saya sendiri mengambil masa berhari-hari untuk mengemas beg sehinggakan terasa seperti ingin balik ke kampong,” ujar Mohamad Hasnur.
Apatah lagi kami semua terpaksa menambah kandungan beg dengan peralatan lain yang sesuai untuk aktiviti perkhemahan,” ujarnya sambil tertawa mengenangkan kandungan begnya yang telah terlalu penuh dan menyukarkan pergerakan.
Pendakian yang bermula seawal jam 10 pagi ini menguji mental dan fizikal para peserta untuk tetap teguh meneruskan pendakian walaupun diuji kegetiran memandangkan laluan trek yang begitu sukar dan curam.
Sepanjang pengembaraan tersebut, para peserta juga diberikan pendedahan berkaitan teknik menentukan arah kiblat menggunakan jari.
Turut sama menyertai program adalah Perunding Falak Profesional, Jabatan Mufti Negeri Pahang, Ghazali Jamali.
Beliau berkata, perkara asas yang perlu diketahui oleh pengembara adalah menentukan arah utara dan mengetahui magnitud arah kiblat Malaysia iaitu 292 darjah.
“Bagi penentuan waktu solat pula, kesemua tanda-tanda masuknya waktu solat merujuk kepada keadaan langit umpamanya waktu subuh dan peserta berpeluang mencerap langit dan melihat cahaya melintang di ufuk timur yang menandakan telah masuknya waktu subuh,” ujar beliau.
Pada hari ketiga pengembaraan, para peserta meneruskan pendakian ke puncak tertinggi Gunung Berembun pada ketinggian 3405 kaki dan tiba tepat pada jam 12 tengah hari setelah satu jam pendakian dari puncak Langsir.
Pada akhir pengembaraan, para peserta terus menuruni gunung untuk tiba ke kaki gunung dalam tempoh enam jam dari puncak Berembun.
Sementara itu, seorang peserta Halim Ahmad turut melahirkan keterujaan berkata, sepanjang penglibatannya dalam siri-siri pendakian ke gunung-gunung di seluruh Malaysia termasuklah Gunung Kinabalu, Chemerong-Berembun-Langsir (CBL) merupakan pendakian yang sangat mencabar dan begitu menguji mental dan fizikal.
“Namun apabila tiba di puncak, saya merasakan seolah berada di syurga dunia dan semua penat lelah mendaki hilang begitu sahaja,” katanya.
Program Kembara Alam ini merupakan lanjutan program seumpamanya yang telah dijalankan pada siri yang pertama pada 2017.
Disediakan Oleh: Mohamad Hasnur Abdul Hamid, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN)
- 123 views