Skip to main content

ChM. Dr. Wan Norfazilah dilantik sebagai Penasihat Inovasi Sekolah Menengah hingga ke peringkat antarabangsa

JERTEH, 30 Mei 2025 – Komitmen terhadap pembangunan inovasi pada peringkat sekolah menengah terus diperkukuhkan apabila Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), ChM. Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail dilantik sebagai penasihat inovasi kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Pelagat, Jerteh, Terengganu sejak tahun 2023 dan terus membimbing pasukan sekolah sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menurut ChM. Dr. Wan Norfazilah, sejak pelantikan tersebut, beliau telah membimbing pelajar dalam menghasilkan projek inovasi berimpak tinggi. 

“Projek pertama mereka bertajuk ‘myGTPot’, bekas semaian anak pokok pengganti polibeg plastik telah mencipta kejayaan luar biasa pada pelbagai peringkat pertandingan termasuklah johan Young Innovators Fair, Karnival STEM Peringkat Daerah Besut 2023 (Kategori Sekolah Menengah), johan Karnival STEM Peringkat Negeri Terengganu 2023 (Kategori Young Innovators Fair - Sekolah Menengah dan Young STEMist Conference), pingat emas (Teknokrat Muda) dalam International STEM Invention and Innovation Competition 2023, dan Anugerah Emas Karnival TVET Kebangsaan 2023 (Kategori Young Innovators Showcase - Sekolah Menengah). 

ChM. Dr. Wan Norfazilah dilantik sebagai Penasihat Inovasi Sekolah Menengah hingga ke peringkat antarabangsa

“Terkini, saya telah turun padang ke SMK Pelagat untuk memberi bimbingan kepada pasukan inovasi bagi projek baharu bertajuk ‘MyRiBoard’, papan notis pengganti polisterin yang bakal menyertai pertandingan inovasi peringkat daerah tidak lama lagi dan memberi tumpuan kepada bidang pengkhususan sains serta menyokong matlamat pembangunan mampan SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab.

“Penglibatan akademik dalam membimbing inovasi pelajar sekolah bukan sahaja dapat menyemai minat terhadap penyelidikan dan pembangunan lestari, malah membantu membentuk generasi muda yang kreatif, kritis dan celik teknologi.

“Hubungan di antara universiti dengan sekolah adalah penting bagi memastikan ilmu dan kepakaran dapat disalurkan kepada masyarakat akar umbi. 

“Projek MyRiBoard telah mendapat tempat pertama dan bakal mewakili daerah Besut ke pertandingan peringkat negeri Terengganu pada 25 hingga 26 Jun 2025.

“Saya amat berbangga dengan komitmen guru dan pelajar SMK Pelagat yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap sesi bimbingan,” katanya.

ChM. Dr. Wan Norfazilah dilantik sebagai Penasihat Inovasi Sekolah Menengah hingga ke peringkat antarabangsa

UMPSA melalui warga akademiknya terus menyokong agenda inovasi pendidikan negara dan komited memperluas jaringan kolaborasi komuniti melalui penglibatan aktif dalam program pemindahan ilmu dan khidmat masyarakat.

Disediakan Oleh: Chm. Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri