CITREX 2024 UMPSA rai penyelidik berinovasi
GAMBANG, 9 Mei 2024 - Pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2024 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) penganjuran edisi ke-14 menyaksikan seramai 93 pemenang emas, 126 pemenang perak dan 35 pemenang gangsa membabitkan 255 penyertaan daripada kategori staf, pelajar IPT dan pelajar sekolah.
Sebanyak sepuluh kategori dan 30 anugerah khas dipertandingkan pada tahun ini.
Ia telah disumbangkan oleh pusat tanggungjawab UMPSA sebagai menyokong dan menggalakkan kreativiti serta inovasi para penyelidik dalam bidang penyelidikan di sekolah mahupun di universiti, di samping dapat memberikan impak dalam merealisasikan visi dan misi penyelidikan nasional negara.
Hadir merasmikan program Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman yang mewakili Naib Canselor UMPSA.
Turut hadir Profesor Dr. Chm Mohd Hasbi Ab Rahim, yang menjalankan fungsi Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI), dan Pengarah Kanan (Pusat Pengurusan Kecemerlangan Penyelidikan) Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Chm. Dr. Chong Kwok Feng.
Hadir sama Pengurus Kanan JPI. Rosilavi Mat Jusoh.
Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman berkata, program CITREX yang dianjurkan oleh JPI ini membuktikan kesungguhan UMPSA dalam memaknakan kewujudannya sebagai universiti awam (UA) yang mengambil serius dalam melahirkan penyelidik yang hebat dan juga sebagai medium penghasilan serta pengumpulan karya-karya yang dapat dimanfaatkan kepada penyelesaian masalah yang dihadapi oleh masyarakat sejagat selaras dengan slogan UMPSA iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
“Penyelidik perlu lebih kreatif serta inovatif dalam mendepani cabaran masa kini serta perlu memacu momentum dalam bidang penyelidikan.
“Daripada 255 penyertaan itu, saya bagi pihak UMPSA amat menghargai penglibatan daripada rakan-rakan UA dan para pelajar sekolah,” ujarnya.
Beliau juga turut menggalakkan agar semua penyelidik dapat menyambut inisiatif kerajaan dalam bidang penyelidikan khususnya bidang Teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
“AI sebuah teknologi yang boleh membawa manfaat yang besar kepada kita sebagai individu, masyarakat dan seterusnya negara,” katanya.
Program menyaksikan anugerah Best of the Best kategori staf dimenangi oleh Dr. Nadzirah Mohd Mokhtar, Profesor Madya Dr. Roshahliza M Ramli, Razman Mohd Maulot, Ts. Joharizal Johari dan Jehovah Yii Zui Hon dengan tajuk projek ‘Distilwise IoT: Compact Membrane Distillation with IoT Monitoring System’.
Manakala bagi anugerah Best of the Best kategori pelajar pula dimenangi oleh pelajar UMPSA iaitu Subash Rao Pothorajoo, Nur Aliya Mohd Nadzri, Aghilan Ganesan, Ainin Sofea Qistina Mohd Riduan dan, Nazman Izam di bawah seliaan Profesor Madya Ts. Dr. Ruzinah Isha dengan tajuk projek ‘Zero Waste: Transforming Municipal Waste into Gasoline’ .
Disediakan oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 161 views