Skip to main content

Hari Bertemu Pelanggan UMPSA memperkukuh hubungan di antara jabatan dengan pelanggan

PEKAN, 16 Oktober 2024 - Seramai 400 orang pengunjung hadir bagi memeriahkan program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Jabatan Pendaftar, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang bertemakan ‘Keunggulan Perkhidmatan’ di UMPSA Pekan. 

Program yang bertujuan memperkukuhkan hubungan di antara jabatan dengan pelanggan itu dirasmikan oleh Pendaftar atau Ketua Pegawai Operasi UMPSA, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato' Saiful Bahri merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pengunjung yang hadir dan kepada semua pihak yang terlibat.

Hari Bertemu Pelanggan UMPSA

“Jabatan Pendaftar amat menggalakkan lebih banyak interaksi terbuka seperti ini pada masa akan datang dan berharap agar program ini menjadi titik permulaan dalam memperbaiki serta memperkemas perkhidmatan yang diberikan kepada para pemegang taruh UMPSA.

“Jabatan Pendaftar juga akan sentiasa terbuka untuk menerima cadangan dan teguran konstruktif dalam semua aspek perkhidmatan di UMPSA. 

“Pelaksanaan program ini adalah sebagai medium penyampaian maklumat dan informasi terkini yang penting kepada warga UMPSA,” ujarnya. 

Manakala menurut Eksekutif Kanan, Pusat TVET Termaju, Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal, Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Pendaftar merupakan satu program yang sangat baik kerana warga kerja dan pelajar UMPSA boleh berinteraksi secara langsung dengan setiap unit di bawah jabatan ini. 

Hari Bertemu Pelanggan UMPSA

“Antara urusan yang boleh dilaksanakan adalah seperti semakan dan pengemaskinian HRMIS, urusan kontrak pengajian, dan permohonan pelekat kenderaan UMPSA 2025. 

“Terdapat juga kaunter rakan kerjasama seperti semakan wang tidak dituntut oleh Jabatan Akauntan Negara, Program Derma Darah anjuran Hospital Pekan, dan Pameran Kelestarian oleh Pusat Kelestarian. 

“Di samping itu juga, terdapat ceramah kesedaran bahaya penipuan dalam talian dan bahaya rasuah,” katanya. 

Turut diadakan Taklimat Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan Ceramah Kesedaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Pekan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan ceramah daripada Profesor Ts. Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab berkenaan kesedaran tentang pentingnya warga kerja yang girang dalam memacu UMPSA yang cemerlang.

Sebanyak 14 reruai telah dibuka oleh pelbagai jabatan dari dalam dan luar UMPSA seperti Jabatan Pendaftar, Pusat Komunikasi Korporat, Pusat Sejahtera, Pusat Kesihatan Universiti, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Hospital Pekan dan banyak lagi yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan maklumat terus kepada pelanggan. 

Disediakan Oleh: Sakinah Mohtar, Jabatan Pendaftar

Reports by:
Admin UMP News