Skip to main content

Hari Kualiti dan Inovasi UMPSA 2025 memperkukuh budaya kerja cemerlang dan inovatif

PEKAN, 13 Jun 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh budaya kecemerlangan dan inovasi dalam kalangan warganya menerusi penganjuran Majlis Hari Kualiti dan Inovasi (HKI) 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan. 

Majlis yang bertemakan ’Kewibawaan Diperkasa, Menjulang Kecemerlangan’ itu menyaksikan pengiktirafan terhadap individu dan entiti yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang.

Majlis berprestij itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

Menurut Profesor Dr. Yatimah, pengiktirafan terhadap bakat bukan hanya sekadar menghargai keupayaan semula jadi seseorang, tetapi juga mencerminkan kepimpinan berwibawa dan keupayaan mencipta impak berkekalan kepada universiti dan negara.

Hari Kualiti dan Inovasi UMPSA 2025 memperkukuh budaya kerja cemerlang dan inovatif

“Sambutan ini pada hemat saya amatlah penting sebagai salah satu agenda untuk mengukuhkan lagi nilai-nilai budaya kualiti di universiti ini dan membolehkan kita bersama-sama mengingati tanggungjawab dalam meningkatkan kesedaran terhadap pengurusan serta pengamalan kualiti.

"Malah, hari ini kita bukan hanya meraikan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai, tetapi lebih penting, kita meraikan nilai-nilai yang menghidupkan UMPSA yang berpaksikan kepada lima nilai teras yang menjadi nadi kepada kecemerlangan UMPSA.

"Excellence is not a skill, it is an attitude.

“Sikap inilah yang membentuk siapa kita hari ini, UMPSA yang progresif, berdaya cipta dan berwibawa,” ujarnya.

Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias turut menyeru seluruh warga UMPSA agar terus berganding bahu menjayakan Agenda Transformasi Universiti termasuk memperkukuh potensi individu, memajukan program akademik dan membangunkan ekosistem kampus yang lestari serta berdaya saing.

Majlis HKI 2025 turut menyaksikan penyampaian 12 kategori anugerah, antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Kualiti Naib Canselor, Anugerah Akademik Universiti, Anugerah Penyelidikan, Inovasi dan Komersial, Anugerah e-Pembelajaran Universiti dan Anugerah Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di UMPSA.

Hari Kualiti dan Inovasi UMPSA 2025 memperkukuh budaya kerja cemerlang dan inovatif

Lain-lain adalah Anugerah Penulisan Rencana Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam, Anugerah Sukan, Anugerah Personaliti Masyarakat dan Anugerah Kecemerlangan Industri dan Masyarakat.

Antara penerima Anugerah Kualiti Naib Canselor termasuklah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Jabatan Pendaftar dan Fakulti Komputeran. 

Ketiga-tiga Pusat Tanggungjawab ini menerima insentif merit sebanyak RM5,000 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan operasi dan tadbir urus. 

Pusat Bahasa Moden (PBM) pula menyerlah sebagai penerima anugerah dalam pelbagai kategori termasuk e-Pembelajaran dan Akademik Universiti yang membuktikan kecemerlangan holistik dalam penyampaian pendidikan berkualiti.

Manakala bagi Anugerah APC pula, seramai 147 orang staf yang mencapai prestasi cemerlang bagi tahun 2024 turut diraikan. 

Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj dan persembahan selingan yang membangkitkan semangat kebersamaan serta penghargaan terhadap usaha dan komitmen warga UMPSA.

Sebagai simbolik kerjasama industri-akademia, PROTON telah menyerahkan dua unit Proton X50 kepada UMPSA bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA). 

Penyerahan rasmi ini dilaksanakan sempena Majlis HKI 2025 oleh wakil PROTON iiatu Naib Presiden, Sumber Manusia dan Pentadbiran, Amran Mohd Tomin serta Pegawai Khas HCA & HRBP, Megat Iskandar Megat Nor Hashim.

Menurut Profesor Dr. Yatimah Alias, sumbangan ini akan membuka ruang kepada pelajar untuk memahami teknologi automotif terkini secara langsung dan praktikal sejajar dengan aspirasi UMPSA melahirkan tenaga pakar yang relevan dengan keperluan industri semasa, sekali gus memacu matlamat UMPSA sebagai ASEAN Advanced TVET Hub dalam tempoh lima tahun akan datang.

Majlis Hari Kualiti dan Inovasi 2025 bukan sekadar acara penghargaan tetapi mencerminkan komitmen UMPSA dalam membudayakan kecemerlangan serta memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal bertaraf dunia yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri