Skip to main content

Inisiatif Tabung We Care PETAKOM: Women's Care diperluas ke seluruh UMPSA terus santuni mahasiswi

PEKAN, 14 Jun 2025 – Prihatin terhadap keperluan asas pelajar wanita, Persatuan Mahasiswa Teknologi Komputer (PETAKOM) dengan kerjasama Yayasan UMPSA telah memperluas pelaksanaan inisiatif Women’s Care sebagai salah satu inisiatif di bawah Tabung We Care PETAKOM. 

Pada sesi serahan bersiri yang diadakan baru-baru ini, sebanyak 2,560 unit tuala wanita telah disumbangkan kepada wakil Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar (PEKA) di UMPSA yang melibatkan PEKA1, PEKA3, PEKA5 dan PEKA6 di kedua-dua kampus Pekan dan Gambang.

Inisiatif itu digerakkan bagi menyokong kesejahteraan mahasiswi UMPSA dari aspek kebersihan diri dan kesihatan reproduktif, khususnya dalam kalangan pelajar yang memerlukan. 

Program itu turut menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kebersihan peribadi secara berterusan dalam kalangan warga kampus.

Sejak pelancarannya, lebih daripada 4,500 unit tuala wanita telah berjaya diagihkan termasuk di fakulti-fakulti di UMPSA seperti Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST) serta Pusat Sains dan Matematik (PSM) yang turut menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Menurut Timbalan Presiden 2 PEKA6, Aqilah Nabilah Mohd Hilmy, inisiatif ini merupakan langkah yang amat bermakna bagi menyantuni kebajikan pelajar wanita.

Inisiatif Tabung We Care PETAKOM

“Kami ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PETAKOM atas pelaksanaan inisiatif yang sangat bermanfaat ini. 

“Ia bukan sahaja membantu pelajar dari segi keperluan harian, malah mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti. 

“Semoga program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” ujar beliau.

PETAKOM optimis bahawa inisiatif Women’s Care akan terus menjadi platform berimpak tinggi dalam mendokong agenda kebajikan pelajar serta memperkukuh nilai empati dan kesejahteraan sosial dalam kalangan komuniti kampus.
 
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Yayasan Perkasa Siswa dan Syarikat Rainbow Girl atas sumbangan dan sokongan. 

PETAKOM dan Yayasan UMPSA berharap agar lebih banyak pihak tampil menyokong inisiatif kebajikan seperti ini demi kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.

Disediakan Oleh: Ainun Najihah Ahmad Anas, Mahasiswa Fakulti Komputeran

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri