Skip to main content

Jurnal IJAME UMPSA terima Scopus Journal CREME (Current Research Malaysia) Award

PUTRAJAYA, 29 November 2024 - International Journal of Automotive and Mechanical Engineering (IJAME), jurnal terbitan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini telah menerima Scopus Journal CREME (Current Research Malaysia) Award.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan KPT- ELSEVIER 2024 itu telah berlangsung di Hotel Double Tree by Hilton, Putrajaya.

Majlis itu adalah anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Elsevier iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di Belanda yang memainkan peranan penting dalam penyelidikan dan penerbitan di peringkat antarabangsa.

Acara ini yang merupakan sebahagian daripada Festival Idea Putrajaya (FOI) 2024 yang  bertujuan mengiktiraf penyelidik dan jurnal tempatan atas sumbangan mereka terhadap pembangunan ilmu, teknologi, dan masyarakat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dalam ucapannya turut menekankan mengenai peranan penyelidikan berkualiti tinggi dalam memacu transformasi tinggi Malaysia.

“Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026-2035 yang sedang dirangka akan memberi fokus kepada bidang baharu seperti matlamat pembangunan lestari (SDG), kesihatan planet dan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya. 

Pada majlis itu juga, sebanyak dua kategori utama anugerah telah disampaikan iaitu Malaysia Scopus Research Excellence Awards dan Scopus Journal CREME Award.

Penyelidik UMPSA, Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil Faisae Ab Rashid yang merupakan Ketua Editor IJAME, hadir bagi menerima Scopus Journal CREME Award bagi IJAME. 

Jurnal IJAME UMPSA terima Scopus Journal CREME (Current Research Malaysia) Award

Anugerah ini merupakan satu usaha kementerian untuk mengiktiraf penyelidik dan jurnal tempatan dalam penghasilan karya ilmiah yang berimpak tinggi dan dirujuk oleh dunia serta pengiktirafan kepada jurnal Malaysia yang telah memperlihatkan prestasi tinggi dalam pangkalan data antarabangsa iaitu Scopus.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri