Skip to main content

Kencana Pawana UMPSA serikan himpunan anak Pahang MADANI 2026

KUANTAN, 3 April 2026 – Pusat Kebudayaan (PusKeb) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini telah dijemput untuk menjayakan persembahan ‘flashmob’ sempena Program Himpunan Anak Pahang MADANI 2026 bertempat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang.

Program yang diterajui oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang itu bertujuan untuk menjadikan golongan muda sebagai rakan strategik pembangunan negara melalui platform interaksi langsung bersama kepimpinan tertinggi. 

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkukuh nilai jati diri, kepimpinan dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. 

Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Menurut pelajar Tahun 3 Fakulti Komputeran (FK) UMPSA, Zulakmal Danish Zulfadzli yang merupakan salah seorang penari dalam program tersebut, penglibatan dalam persembahan bersempena dengan program ini merupakan satu pengalaman yang amat membanggakan. 

Kencana Pawana UMPSA serikan himpunan anak Pahang MADANI 2026

“Program bermula dengan tarian pembukaan 'Visit Malaysia 2026' yang mempamerkan gabungan elemen kebudayaan pelbagai etnik.

“Persembahan tarian tesebut turut dikagumi para jemputan yang hadir,” ujarnya. 

Momentum tenaga tersebut berjaya diteruskan menerusi persembahan 'Penglipur Lara' nyanyian Hazama, dan diakhiri dengan elemen kejutan ‘flashmob’ lagu 'Jodoh Lebaran' oleh Aisha Retno yang nyata membangkitkan keterujaan para tetamu yang hadir.

Tambah beliau lagi, namun, impak mendalam adalah semangat kesatuan Kelab Seni Tari Kencana Pawana. 

“Walaupun ahli kelab kami terbahagi kepada dua kampus iaitu Pekan dan Gambang, perbezaan lokasi langsung tidak menjadi penghalang. 

“Minat yang teguh terhadap seni warisan membolehkan kami bergabung menjadi satu pasukan yang sangat utuh. 
“Kesepakatan ini secara tidak langsung telah menterjemahkan semangat perpaduan dan nilai 'Madani' itu sendiri secara praktikal dalam gerak kerja serta persembahan kami,” katanya.  

Atur cara utama pada hari tersebut turut merangkumi sesi Dialog Awam Perdana bertajuk ‘Suara Anak Muda, Masa Depan Negara’ serta sesi dialog terbuka bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Kebudayaan (PusKeb)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri