Kerjasama strategik UMP dan Briged Tenggara PGA dalam memanfaatkan kepakaran dan inovasi
PEKAN, 25 Mac 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkongsi kepakaran dalam bidang teknologi dan inovasi bersama Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam penciptaan alat yang mampu membantu pihak anggota pasukan keselamatan menjalankan tugas dan tanggungjawab terhadap negara dengan lebih efisien.
Bersempena Sambutan Hari Polis Ke-214 baru-baru ini, UMP menerima kunjungan delegasi PGA dan lebih yang bermakna telah berlangsungnya kerjasama yang dimeterai antara UMP dan PGA.
Majlis menyaksikan Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner, Hasan Basri Ahmad Safar menandatangani Nota Persefahaman (NoU) bersama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal dalam acara yang berlangsung di Lounge Eksekutif, Perpustakaan UMP.
Menurut Profesor Madya Dr. Hamdan, kerjasama dengan PGA ini terjalin sejak Oktober tahun lalu apabila pihak Briged Tenggara PGA memerlukan khidmat pakar menggunakan teknologi terkini dalam membanteras jenayah.
“Ia juga sebagai usaha dalam mengurangkan risiko ancaman keselamatan terhadap pasukan Briged Tenggara PGA semasa bertugas di persempadanan. Teknologi yang terhasil ini juga bakal dipertandingkan dalam Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) di bawah kategori penciptaan dalam masa terdekat.
“Melalui jalinan kerjasama ini juga, para penyelidik di FTKEE UMP dapat menyerlahkan lagi kemampuan dalam mengadaptasi teknologi terkini melalui pendekatan inovasi.
“Projek ini diketuai oleh Dr. Saifudin Razali bersama beberapa penyelidik lain iaitu Mohd Falfazli Mat Jusoh, Haji Amran Abdul Hadi dan pasukannya,” katanya.
Selain itu juga, menurut beliau, slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ juga dapat dizahirkan dengan kerjasama sepanjang projek ini dijalankan.
Turut sama hadir pegawai kanan PGA dan ahli Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) Briged Tenggara.
Kolaborasi ini juga bakal membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan agensi-agensi lain bagi merealisasikan agenda ‘Teknologi Untuk Masyarakat’.
Disediakan Oleh: Muhammad Fauzi Ali, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE)
- 220 views