Kerusi Khas Buat Adik Muhammad Amirul
Pekan, 8 Januari - Jelas terpancar kegembiraan pada wajah Muhammad Amirul Fikri Mohamad Fazir yang merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar Pekan (SKIS) apabila menerima kerusi khas dinamakan GRIT Chair yang dihasilkan oleh mahasiswa dan sekumpulan pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) semalam.
Muhammad Amirul menghidap penyakit Achondroplasia sejak kecil yang melibatkan gangguan genetik pada pertumbuhan tulang sehingga menganggu perkembangan pembesarannya berbanding kanak-kanak lain yang seusia dengannya.
Ayahnya, Mohammad Fazir Osman, berkata sebagai ketua keluarga beliau amat berbesar hati dan berterima kasih kepada UMP dan pihak sekolah kerana menghasilkan kerusi yang bersesuaian dengan keadaan Amirul.
Dengan kerusi ini dapat memberi keselesaan kepada Amirul di dalam kelas seperti rakan-rakannya yang lain.
“Saya sangat menghargai sokongan dan bantuan guru yang banyak mengambil berat tentang Amirul.Sebelum ini sememangnya pihak guru telah mengubah suai meja untuk kegunaan Amirul, namun meja tersebut akan kelihatan lebih rendah berbanding meja lain,” katanya.
Dengan menggunakan GRIT Chair, Muhammad Amirul Fikri kini dapat duduk selaras dengan rakannya dengan menggunakan meja di kelas. Selain itu juga ianya lebih selesa kerana terdapat tempat pemijak untuk duduk di atas kerusi tersebut, katanya semasa program penyerahan kerusi di sekolah.
Hadir sama Ketua Program Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sebagai penasihat, Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris, Dr. Saiful Anwar Che Ghani, Muhammad Hadi Hassan, Guru Penolong Kanan (Pentadbiran) Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar, Nor Yanti Mohd Radzuan serta para guru kelas pendidikan khas SKIS.
Dalam pada itu, Dr. Daing Mohamad Nafiz berkata, idea ini bermula dengan perbincangan melibatkan pihak sekolah bersama pensyarah UMP untuk memikirkan cara untuk membantu adik Amirul yang menghadapi kesukaran menggunakan meja dan kerusi yang disediakan oleh pihak sekolah seperti pelajar lain.
Ujarnya, dalam tempoh dua bulan GRIT Chair berjaya disiapkan oleh empat pelajar iaitu Muhammad Syakir Mohd Isa, Nur Syafiq Azman, Muhammad Isyraf Hadi Mohamad Rozulan dan Muhammad Syazwan Sahimi
Kerusi ini juga direka dengan menggunakan gabungan kayu dan besi tahan karat. Ianya menggunakan konsep mekanikal yang mudah iaitu jackscrew untuk melaraskan ketinggian kerusi mengikut keperluan pengguna. Kerusi ini juga turut menekankan faktor keselamatan dan kemalangan.
“Kita jangkakan kerusi ini boleh digunakan oleh Amirul sehingga berusia 12 tahun atau kebarangkalian lebih pada umur tersebut.
Selain itu saya mengucapkan tahniah kepada pelajar yang telah menyiapkan GRIT Chair, saya berharap pelajar UMP bukan sahaja mempelajari bidang Kejuruteraan di dalam kelas malah turut menyumbang tenaga kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Manakala Nor Yanti Mohd Radzuan amat berbangga dengan kerjasama ini yang banyak memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan mengharapkan lebih banyak kerjasama dapat dijalankan untuk manfaat para pelajar.
Disediakan oleh Nor Salwana Muhammad idris dari Bahagian Komunikasi Korporat.
- 529 views