Kolaborasi industri-akademia dalam MIAD perkasakan bidang TVET termaju negara
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2024 – Program MTUN Industry-Academia Discourse on Advanced TVET (MIAD) 2024 anjuran Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) berjaya menghimpunkan kumpulan pakar dalam kalangan pemimpin, penggubal dasar, penyelidik dan pakar industri dunia bagi menerokai pencorakan TVET Termaju masa hadapan di peringkat global.
Program dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Menurut Dato' Seri Diraja Dr. Zambry, universiti seharusnya bukan sahaja menjadi tempat untuk mengasah bakat dan menimba pengetahuan, malah turut disaran untuk mengadakan program kajian berkaitan industri TVET Termaju (Advanced TVET) melalui hubungan kerjasama sesama institusi pendidikan tinggi (IPT), sektor kerajaan, mahupun pemain industri.
“Saya amat mengalu-alukan kolaborasi akademia-industri dalam misi melahirkan graduan yang memiliki kemahiran dan ilmu selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkap Pengerusi MTUN, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.
Profesor Datuk Ts. Dr. Massila berkata, program berimpak antarabangsa ini dilengkapkan dengan pengisian hebat antaranya sesi ucaptama yang disampaikan oleh Pengarah Kanan Alibaba (China) Education & Technology Com, Ltd., Zhang Lei yang bertajuk ‘Shaping Tomorrow: Unveiling Key Skills for the Future Workforce at the Intersection of Robotics, AI and TVET in Ali Baba Industry Success and Sustainability’.
“Sementara itu, forum akademia pula dibarisi oleh pakar dalam bidang TVET dalam kalangan ahli akademik dan industi yang mengupas tentang topik “Cross-Cultural Competence for a Globalized TVET Workforce: A Perspective,” ujarnya lagi.
Forum itu menampilkan moderator, Timbalan Presiden Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Mahalil Amin Abdul Malek bersama empat orang panel terdiri daripada Pengurus Besar STMicroelectronics, Dr. Tan Chun Seng, Senior Volunteer JICA, Nagae Yutaka, Counsellor (Edu & Res) Australian H. Commision, Fiona Morris dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Northport (M) Berhad, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof.
Manakala menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, penganjuran CEO Roundtable pula mengetengahkan kumpulan pengurusan atasan dalam kalangan syarikat-syarikat ternama dunia untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dalam aspek memacu pertumbuhan masa hadapan TVET.
“Keterlibatan universiti-industri memberi peluang pemain industri untuk berkongsi idea dan pandangan terutamanya dalam menerapkan program akademik berkonsepkan mod pengajian 2U2i.
“Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning) atau Perantisan (Apprenticeship) dilaksanakan agar graduan TVET daripada MTUN khasnya mampu untuk memiliki kemahiran yang diperlukan oleh industri, sekali gus memudahkan mereka mendapat pekerjaan yang ditawarkan oleh industri,” katanya.
“Saya percaya lebih banyak peluang kolaborasi dengan industri bersama institusi MTUN dalam program-program yang akan datang bagi memastikan hubungan baik dengan pihak industri dapat dimanfaatkan semua pihak,” katanya.
Manakala forum kedua pula menampilkan Deputy Secretary General's Office (Industrial Development) Ministry of Investment (MITI), Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Presiden Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd., Duong Ngan Leong, CeO Bosch Rexroth Sdn. Bhd., Darren Chan Chon Hoe dan CeO Oppstar Technology Sdn. Bhd., Hun Wan Cheah yang membincangkan tajuk berkaitan ‘On Global Competitiveness Beyond Boundaries: Nurturing Global Talents through TVET Excellence’ yang menyaksikan Ben Ibrahim sebagai moderator.
Pada masa yang sama juga turut berlangsung Majlis Pelancaran MTUN Advanced TVET 2030, Malaysia-China Kaiwu Workshop dan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan rakan strategik MTUN yang disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi.
Di samping itu, program seharian ini turut dimantapkan dengan pameran penyelidikan dari MTUN yang mempamerkan kecemerlangan projek-projek penyelidikan berlandaskan teknologi TVET terkini global.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 168 views