Kolaborasi strategik UMP-UTP dalam amalan terbaik pembangunan penyelidikan dan kecemerlangan akademik
SERI ISKANDAR, 16 Februari 2023 - Pertemuan antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) memberi peluang kedua-dua pihak berkongsi kepakaran dalam bidang akademik, pembelajaran, pembangunan penyelidikan, sumber manusia, pembangunan pelajar dan kelestarian kewangan.
Turut dibincangkan usaha memberikan sokongan terbaik dalam pengalaman pembelajaran pelajar bagi melahirkan graduan berkualiti tinggi serta bersedia pada peringkat global.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pertemuan ini memberi peluang kedua-dua pihak pengurusan universiti berkongsi amalan terbaik dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
“UMP akan memperkukuh usaha memaju dan mengembangkan pendidikan tinggi dengan memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.
“UMP juga bakal melaksanakan transformasi digital ke arah kampus pintar untuk kekal relevan dengan keperluan dan jangkaan semasa pihak berkepentingan berdasarkan sumber dan kepakaran yang ada dalam bidang data raya, internet benda (IoT), kampus hijau dan pendigitalan,” katanya dalam sesi kunjungan delegasi UMP ke UTP baru-baru ini.
Bagi Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTP, Profesor Ir. Dr. Hilmi Mukhtar, UTP telah menyertai inisiatif penarafan memandangkan ia merupakan sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan serta jenama universiti.
“Ia dapat mengukuhkan reputasi dan kepercayaan rakan akademik berwibawa bagi pendidikan tinggi terutamanya di peringkat antarabangsa juga rakan penyelidikan berkredibiliti kepada industri.
“Bagi merancakkan aktiviti penyelidikan, UTP mempunyai enam institut penyelidikan, dua HiCOE (CISIR & CBBR), lapan UTP’s COEs, enam pusat penyelidikan, tiga research group dan tujuh interest group melibatkan 300 orang staf akademik.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Pendaftar, Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Bendahari, Zainuddin Othman.
UTP pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Ts. Dr Nor Hisham Hamid, Pendaftar, Profesor Madya Dr. Ku Zilati Ku Shaari, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Profesor Madya Ir. Dr. Rosdiazli Ibrahim dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, Profesor Madya Dr. Jafreezal Jaafar.
Delegasi UMP turut berpeluang melawat Pusat Sumber Maklumat (IRC), Pusat Penyelidikan dan Pembangunan dan sekitar kampus UTP.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 120 views