Konsep PULARA Masuk Kampung cipta pengalaman berharga buat mahasiswa UMPSA
SERI MANJUNG, 22 Oktober 2026 - Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) telah berjaya dilaksanakan di Seri Manjung Perak.
Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membawa kelainan dalam acara PULARA kali ni dengan konsep PULARA Masuk Kampung.
Setiap universiti awam (UA) dibahagikan kepada empat zon, iaitu Timur, Barat, Utara dan Selatan bagi menjayakan pelaksanaan program tersebut di seluruh negara.
Bagi zon yang terlibat, empat buah kampung di Lekir, Perak telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan, meliputi Kampung Sungai Wangi, Kampung Pasir Panjang Laut, Taman Samudera dan Kampung Tanjung Kepah.
Menariknya, pendekatan ini membawa seni dan budaya lebih dekat kepada masyarakat dengan mengangkatnya keluar daripada batas pentas persembahan, sekali gus menjadikan warisan seni sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian komuniti setempat.
Program ini bukan sekadar aktiviti kunjungan ke kampung, tetapi merupakan platform yang membolehkan mahasiswa menyelami kehidupan masyarakat secara lebih dekat melalui pengalaman, interaksi, perkongsian budaya dan penghayatan nilai kemasyarakatan.
Universiti Awam (UA) Zon Pantai Timur yang terdiri daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memilih Kampung Pasir Panjang Laut sebagai kampung angkat bagi menjayakan pelbagai pengisian program berteraskan seni, budaya dan warisan.
Antara aktiviti yang dirancang termasuklah pusat latihan tarian gabungan, pusat latihan Rentak Muda, Program Anak Angkat serta Malam Kemuncak yang bakal menghimpunkan pelbagai persembahan dan pengisian seni budaya.
Program turut dimeriahkan dengan Pertandingan Duet Lagu Asli/Rakyat, Sayembara Deklamasi Puisi, Warung Tradisi, Pameran Utama serta Bengkel Gendang Pahang menerusi slot Lestaria.
Tidak ketinggalan, persembahan Tari Silat Lenggang Mak Janda dan Malam Kalam Warisan turut menjadi antara tarikan utama dalam usaha menghidupkan seni tradisi serta mendekatkan khazanah budaya kepada masyarakat setempat.
Selain acara kebudayaan, acara sukan rakyat seperti sepak raga bulat, jaring bola serta pertandingan gubahan sejadah dan tuala serta masakan pulut kuning turut diadakan.
Program ini melibatkan penyertaan mahasiswa bersama komuniti kampung.
Manakala bertempat di Dataran Madani, Seri Manjung, kontinjen UMPSA juga terlibat dalam persembahan nyanyian lagu Lemak Manis dan puisi Gemalai PULARA Gurindam dalam slot Rentak Muda MAKUM.
Manakala tarian Joget 3 Negeri yang merupakan karya usaha bersama antara UMPSA, UMK, UMT dan UNiSZA dipersembahkan bersempena dengan Majlis Perasmian Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 bagi menyambut kehadiran tetamu kehormat Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bersama dif-dif jemputan.
Ketua kontinjen UMPSA, pelajar tahun 2 Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Muhammad Arafatulah Abdullah merumuskan bahawa program PULARA banyak memberi kesan positif kepadanya terutama dalam aspek kepimpinan.
“Dalam mengetuai sebuah kumpulan yang besar, banyak juga cabaran besar untuk saya terutama apabila berurusan dengan kominiti kampung.
“Komunikasi yang berkesan mampu mengelak sebarang salah faham,” ujarnya.
Muhammad Arafatulah bersama 30 orang peserta dari UMPSA mencipta pengalaman baharu sepanjang program berlangsung terutama Program Keluarga Angkat.
Katanya, keistimewaan PULARA Masuk Kampung juga terletak pada hubungan dua hala yang diwujudkan antara mahasiswa dengan komuniti.
“Pengalaman ini turut memberi nilai tambah kepada pembangunan mahasiswa dalam aspek kepimpinan, komunikasi, kerjasama, kreativiti, kematangan sosial dan keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” tambahnya.
Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan membuktikan bahawa seni mempunyai peranan yang lebih luas, bukan sekadar untuk hiburan, tetapi juga sebagai medium membina hubungan, menyampaikan nilai dan menyatukan masyarakat.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, turut meluangkan masa menyantuni masyarakat Kampung Pasir Panjang Laut, sekali gus merasai sendiri kemeriahan program yang mengangkat seni, budaya dan warisan tempatan.
Penyertaan UMPSA dalam pelbagai aktiviti turut membuahkan hasil apabila universiti itu berjaya membawa pulang beberapa kemenangan dalam pertandingan yang dianjurkan.
Antara kejayaan yang diraih termasuklah meraih Tempat Ketiga Pertandingan Nyanyian Solo Lagu Asli/Rakyat, Tempat Ketiga Sayembara Deklamasi Puisi, Johan Sepak Raga Individu, Tempat Ketiga Sepak Raga Berkumpulan IPTA Bersama Komuniti serta Johan Sotong Kereta Sarung.
Pada hari terakhir program, mahasiswa bersama komuniti Kampung Pasir Panjang Laut menyemarakkan suasana menerusi aktiviti Senamrobik Dondang Sayang berirama lagu rakyat yang menggabungkan elemen kecergasan, seni dan warisan tradisional.
Program yang berlangsung penuh kemeriahan itu melabuhkan tirainya dengan Majlis Perasmian Penutupan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang, sebelum mahasiswa mengakhiri pengalaman bermakna menerusi sesi perpisahan bersama keluarga angkat masing-masing.
Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Kebudayaan
- 25 views