KPT, UMPSA memperkukuh kepimpinan strategik melalui minda reformasi
JERANTUT, 12 April 2026 - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama strategik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan Program Revitalisasi Pengurusan Tertinggi KPT Tahun 2026 bertemakan ‘Revitalisasi Minda, Reformasi Tindakan’ baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 April itu melibatkan seramai 77 orang peserta yang terdiri daripada pengurusan tertinggi KPT.
Program itu berjaya memperkukuh kepimpinan strategik dalam kalangan barisan pengurusan tertinggi kementerian.
Antara yang hadir menyertai program adalah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin.
Turut hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan pengurusan tertinggi KPT melalui aktiviti yang menekankan kesihatan fizikal, memperbaharui motivasi dan iltizam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim, semangat kebersamaan serta jalinan kerjasama strategik.
Sepanjang tiga hari, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan yang mana hari pertama dimulakan dengan sesi 'ice breaking' dan aktiviti di dalam kumpulan bagi memupuk interaksi awal dan mengeratkan hubungan sesama peserta.
Hari kedua pula diteruskan dengan aktiviti lapangan berteraskan elemen alam semula jadi dan kemasyarakatan.
Para peserta mengadakan lawatan ke Air Terjun Lata Berkoh dan Santuari Kelah sebagai sebahagian daripada aktiviti pengukuhan pasukan serta penghargaan terhadap khazanah alam.
Seterusnya, para peserta berpeluang mengunjungi perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq di Kuala Tahan, Taman Negara dan dapat mempelajari budaya serta adat resam komuniti ini.
Dalam lawatan tersebut juga, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim turut menyampaikan sumbangan KPT MADANI, manakala Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias turut menyampaikan sumbangan Yayasan UMPSA kepada komuniti setempat.
Turut berlangsung majlis makan malam dan diadakan sesi penghargaan khas buat Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang akan bersara wajib pada 10 Mei 2026.
Program diakhiri dengan sesi ‘learning loop’ yang bertujuan merumuskan dapatan, perkongsian pengalaman serta refleksi sepanjang program, sekali gus memperkukuh pemahaman peserta terhadap objektif program.
Menurut Datuk Dr. Anesee Ibrahim, kepimpinan strategik yang dinamik adalah tunjang utama kejayaan sesebuah organisasi.
“Revitalisasi minda bukan sekadar perubahan cara berfikir, tetapi ia adalah keperluan mendesak bagi membentuk kepimpinan yang adaptif dan berdaya saing.
“Saya berharap agar program ini menjadi pemangkin kepada reformasi tindakan dalam setiap aspek pengurusan KPT,” ujar beliau.
Beliau turut menyatakan rasa bangga dan tahniah atas komitmen padu daripada semua peserta serta merakamkan penghargaan kepada UMPSA selaku rakan kerjasama strategik yang telah menjayakan program ini.
Manakala Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan kepada KPT atas kepercayaan kepada UMPSA sebagai rakan strategik bagi program ini.
"Program ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dalam melahirkan pemimpin yang berwibawa, berdaya saing dan berpandangan jauh.
“Malah, ia juga menjadi platform penting bagi memperkukuh jalinan kerjasama dan sinergi ke arah meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan" katanya.
Turut hadir Pendaftar UMPSA, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Pengarah Pusat Pembangunan Bakat UMPSA, Juliana Mohd Ali yang juga merupakan Ketua Sekretariat Bersama Program.
Disediakan Oleh: Juliana Mohd Ali Dan Mohd Mukhriz Awang, Jabatan Pendaftar Serta Mohd Ferdaus Musa, Pusat Komunikasi Korporat
- 21 views
Reports by: