Legasi kepimpinan Tun Razak, generasi muda perlu hayati nilai integriti dan khidmat
PEKAN, 26 November 2026 – Generasi muda perlu memahami dan menghayati nilai kepimpinan, integriti serta pendekatan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan dalam menangani cabaran negara, berbanding sekadar mengagungkan tokoh atau mewarisi dasar yang pernah dilaksanakan pada zamannya.
Perkara itu dikongsikan oleh Pengerusi Yayasan Tun Razak, Tan Sri Nazir Razak dalam Dialog Kepimpinan Tun Razak: The Man Who Walked the Talk – The Tun Razak Legacy yang berlangsung bersempena dengan tayangan dokumentari The Tun Razak Story di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), hari ini.
Menurut beliau, legasi Tun Abdul Razak bukan hanya terletak pada dasar dan institusi yang diperkenalkan ketika menerajui negara, sebaliknya nilai kepimpinan, keupayaan memahami permasalahan rakyat serta keberanian membuat keputusan demi kepentingan negara merupakan warisan yang lebih penting untuk dipelajari.
"Dasar seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB), penubuhan Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS), FELDA dan institusi kewangan merupakan antara legasi tersurat yang perlu dinilai semula mengikut perubahan serta keperluan semasa negara.
“Yang lebih penting ialah memahami nilai dan cara beliau memimpin, bagaimana beliau melihat sesuatu permasalahan serta mencari penyelesaian,” jelas beliau ketika berkongsi pandangan mengenai kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak.
Mengulas mengenai kepimpinan bapanya, beliau turut mengetengahkan tiga nilai utama yang menjadi kekuatan Tun Abdul Razak, iaitu integriti, empati dan keberanian dalam membuat keputusan.
Beliau berkongsi satu kisah bagaimana Tun Abdul Razak pernah menegur seorang kakitangan selepas mengetahui kos pembelian ubat gigi untuk kegunaan peribadinya dimasukkan dalam tuntutan perbelanjaan kerajaan.
Menurutnya, perkara itu menggambarkan ketegasan Tun Abdul Razak dalam membezakan kepentingan peribadi dengan tanggungjawab menggunakan wang kerajaan.
Selain itu, beliau menyifatkan Tun Abdul Razak sebagai seorang pemimpin yang memberikan perhatian penuh kepada individu yang berinteraksi dengannya, sekali gus membuatkan seseorang berasa dihargai dan diberikan keutamaan.
Dalam sesi dialog yang turut melibatkan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan moderator mahasiswa, Mohamad Dirian Bishal Ikram, Nazir turut berkongsi pengalaman perjalanan hidup serta kerjaya yang banyak membentuk pemikiran dan prinsip dirinya.
Beliau menceritakan pengalaman melanjutkan persekolahan di United Kingdom pada usia 13 tahun yang penuh cabaran, termasuk berhadapan dengan persekitaran baharu dan pengalaman diskriminasi.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi dan politik di Universiti Bristol serta pengajian pascasiswazah di Universiti Cambridge, beliau kembali ke Malaysia pada 1989 dan memulakan kerjaya dalam sektor perbankan.
Beliau turut berkongsi pengalaman awal menyertai CIMB yang pada mulanya menolak permohonan kerjanya sebelum beliau membuat rayuan untuk diberikan peluang.
Pengalaman bekerja sehingga 16 jam sehari, enam hingga tujuh hari seminggu pada peringkat awal kerjaya turut membentuk disiplin dan ketahanan dirinya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan mahasiswa supaya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri serta membina kerjaya berdasarkan kebolehan masing-masing.
“Kenali kekuatan dan kelemahan diri. Kembangkan kekuatan yang ada dan cari individu yang boleh membantu melengkapkan kelemahan kita,” katanya.
Menyentuh mengenai hubungan Tun Abdul Razak dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tan Sri Nazir menyifatkan kedua-dua tokoh itu sebagai sahabat rapat yang mempunyai hubungan erat sejak berada di United Kingdom.
Dalam membincangkan masa depan perpaduan negara, beliau berpandangan bahawa usaha membina identiti kebangsaan masih memerlukan perhatian serius, khususnya dalam membentuk masyarakat yang melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa terlalu dibatasi perbezaan kaum.
Beliau turut mengingatkan bahawa Rukun Negara dan DEB yang diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 perlu difahami berdasarkan konteks sejarah serta dinilai semula agar terus relevan dengan keperluan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, penubuhan Majlis Perundingan Negara pada 1971 merupakan antara pendekatan penting Tun Abdul Razak dalam mendapatkan pandangan pelbagai pihak bagi membincangkan isu perpaduan, punca konflik serta hala tuju negara.
Beliau turut menggesa generasi muda supaya mula memikirkan bentuk Malaysia yang ingin dibangunkan menjelang tahun 2040 dan 2050.
Mengulas mengenai perancangan penubuhan Pusat Legasi dan Strategi Razak di UMPSA, Tan Sri Nazir menyambut baik inisiatif berkenaan sebagai platform untuk masyarakat, khususnya mahasiswa, memahami sejarah, pemikiran dan pendekatan kepimpinan Tun Razak secara lebih mendalam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pusat berkenaan tidak seharusnya menjadi ruang untuk mengagungkan seseorang tokoh, sebaliknya berperanan sebagai tempat pembelajaran yang membolehkan generasi baharu mengambil pengajaran daripada pengalaman kepimpinan terdahulu.
Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah dalam rumusannya berkata, nilai integriti, kepimpinan dan pembangunan insan perlu bergerak seiring dengan penguasaan ilmu serta kemajuan teknologi dalam membentuk generasi masa depan.
"UMPSA komited mengintegrasikan bidang kejuruteraan dan teknologi dengan sains sosial serta pembangunan insan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang masing-masing, malah mempunyai nilai dan keupayaan menghadapi cabaran masyarakat.
"Saya berharap penubuhan Pusat Legasi dan Strategi Razak dapat menjadi wadah penyelidikan dan perkongsian ilmu yang menghubungkan sejarah, pengalaman masa lalu serta cabaran masa hadapan melalui pendekatan rentas disiplin," katanya.
Beliau menghargai kerjasama dengan pihak Yayasan Tun Razak atas peluang yang dapat memberi manfaat buat warga UMPSA.
Program yang terbuka kepada mahasiswa dan warga kerja UMPSA itu turut menjadi ruang interaksi antara kepimpinan universiti, tokoh negara dan mahasiswa dalam memahami sejarah pembinaan negara serta mengambil inspirasi daripada legasi kepimpinan Tun Abdul Razak.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 30 views
Reports by: