Skip to main content

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMPSA meriah dan penuh warna-warni

PEKAN,  9 Oktober 2024 - Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) disambut penuh meriah dengan perarakan berwarna-warni bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’. 

Majlis bermula dengan perarakan warga universiti dari Perpustakaan ke Masjid UMPSA yang disertai seramai 700 warga universiti melibatkan 28 kontinjen daripada setiap Pusat Tanggungjawab yang berselawat sambil membawa sepanduk menggambarkan perasaan kasih dan cinta terhadap Nabi Muhammad SAW. 

Sambutan turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMPSA,  Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang turut menyantuni para peserta perarakan dan kemudian merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMPSA di Masjid. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie dalam ucapannya berkata, sambutan Maulidur Rasul pada kali ini merujuk kepada konsep kejayaan yang holistik yang melibatkan kesejahteraan, keseimbangan, dan pembangunan berterusan. 

“Dalam usaha untuk mencapai Malaysia Madani, Al-Falah mengajak masyarakat untuk berkolaborasi untuk membina negara yang sejahtera, berintegriti, dan berkeadilan mencakupi Kesejahteraan Sosial, Ekonomi Berdaya Saing, Kelestarian Alam dan Keharmonian Komuniti yang menggalakkan nilai-nilai murni serta perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum,” katanya. 

“Semangat Maulidur Rasul ini turut mendorong semua pihak untuk terus berusaha mencapai kejayaan dan kemajuan, bukan hanya dalam kehidupan duniawi tetapi juga ukhrawi di samping beristiqamah dalam meneladani Baginda. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Pendaftar, Dato' Saiful Bahari Ahmad Bakarim, Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dan Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr. Rashidi Abas.  

Program menyaksikan pemenang bagi pertandingan perarakan dimenangi oleh Jabatan Bendahari, manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing telah dimenangi oleh Jabatan Canseleri dan Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik. 

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMPSA meriah dan penuh warna-warni

Pada masa yang sama, turut berlangsung Ceramah Khas yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad