Malam Antarabangsa Kongsi Budaya Pelbagai Negara
Kuantan, 19 Disember – Malam Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) anjuran Pejabat Antarabangsa dan Kelab Pelajar Antarabangsa berjaya menghimpunkan lebih 900 pelajar antarabangsa daripada 30 buah negara yang sedang mengikuti pengajian di universiti ini dalam suasana meriah di Blok W UMP Gambang.
Majlis diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan pengurusan universiti. Malam kebudayaan yang diraikan sejak tahun 2009 ini mampu menyatukan komuniti antarabangsa dari pelbagai negara untuk berkongsi kebudayaan yang unik, tarian, nyanyian dan juga kepelbagaian juadah masakan yang dihidangkan buat tetamu.
Menurut Profesor Dato' Sri Dr. Daing Nasir, dalam usaha bagi merapatkan jurang antara pelajar tempatan dengan pelajar antarabangsa, Pejabat Antarabangsa UMP telah memperkenalkan program kesukarelawan yang dikenali International Office Buddies.
Katanya, program ini memberi ruang dan pengalaman kepada pelajar untuk terus konsisten bekerjasama dalam pelbagai aktiviti khususnya untuk mempromosikan pengantarabangsaan yang menjadi agenda utama UMP.
“Kepelbagaian budaya yang datang dari setiap negara mencorakkan lagi lanskap kebudayaan dan kesenian di UMP. Ianya sekaligus memupuk sikap persefahaman dan toleransi yang tinggi dalam kalangan pelajar,” ujarnya.
Manakala Presiden Pelajar Antarabangsa, Mustaf Mohamad dari Somalia berkata, penganjuran program ini mampu menjadi wadah untuk para pelajar antarabangsa dan tempatan menonjolkan bakat dan budaya negara masing-masing selain meningkatkan pengetahuan serta berkongsi etnik budaya sesebuah negara.
Dalam masa yang sama memberi peluang pelajar mengeratkan hubungan dalam kalangan rakan senegara serta mengubat rindu untuk menikmati juadah dari negara masing–masing seperti Mutton Masala, Punjabi Pulav, Bhojpuri Chicken, Libya Dessert, Chicken Biryani, Naija Jell of Rice dan banyak lagi. Turut hadir memeriahkan majlis Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusof dan Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi.
Disediakan oleh Mohammad Hakimi Kamarudin dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 198 views