Skip to main content

Meminati bidang teknikal, Zek Aman mampu cipta dron

PEKAN, 12 Mei 2021 - Sering kali kita melihat ramai yang menjadikan pengendalian dron bukan sahaja sebagai hobi namun digunakan secara meluas bagi tujuan lain seperti aktiviti mencari dan menyelamat, pengawasan, pemantauan trafik dan cuaca, bantuan memadamkan kebakaran dan pertanian.
Maka tidak hairanlah jika mereka sanggup berhabisan ribuan ringgit untuk membeli dron demi memenuhi keperluan dan minat mereka.
Namun berbeza pula dengan staf Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Zek Aman Abd Ghani yang bertugas sebagai pemandu kenderaan.
Beliau yang cenderung mencipta dron sebagai minatnya sejak lapan tahun lalu telah menghasilkan lebih 50 unit dron dalam pelbagai saiz.
Dron yang dihasilkan itu dapat mengangkat bebanan sehingga 15 kilogram.
Menurut Zek Aman, “Sebenarnya sekiranya kita mempunyai modal yang besar, kita dapat menghasilkan dron untuk bebanan yang lebih berat.
“Alhamdulillah, sejak lima tahun lepas saya mendapat pemintaan menghasilkan dron untuk kegunaan dalam pertanian sama ada untuk mengangkat barang, meracun dan sebagainya.
“Tetapi pada masa itu, tidak semua permintaan dapat dipenuhi kerana modal yang besar diperlukan untuk menghasilkan sebuah dron,” katanya.
Selain menghasilkan dron, beliau juga mahir dalam mengendalikan dron di udara.
Ujarnya, tip penting untuk menerbangkan dron adalah kita kena berani kerana dron yang berada di pasaran berbeza dengan hasil ciptaannya.
“Saya akan memastikan dron dapat dikendalikan dengan sebaiknya sebelum diserahkan kepada pembeli.
“Bagi pengguna tegar, mereka akan mengetahui sama ada sesebuah dron stabil atau tidak ketika di udara,” ujarnya. 
Bercerita tentang pengalamannya, beliau juga pernah mendapat gelaran Paku Di Langit apabila dapat ‘menjinakkan’ flight controller di udara dengan menambah baik tetapan dalam perisian dan perkakasannya pada suatu masa dahulu.
“Cabaran di awal penghasilan dron ini ialah apabila dron yang dihasilkan itu terjatuh.
“Bagi saya itu perkara biasa di awal pembabitan penggunaan dron.
“Namun disebabkan saya menghasilkan sendiri dron tersebut, ia bukan halangan untuk saya terus meminati bidang dron ini,” katanya.
Beliau akan membaik pulih semula dron itu sehingga berjaya dan sentiasa mencabar diri dengan menghasilkan pelbagai jenis dron.
Nasihatnya kepada peminat dron yang baharu atau telah lama menceburi dalam dron ini ialah kita kena berani untuk mencuba dan jangan mudah putus asa.
Katanya, “Kita terbangkan dengan yakin dan patuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Bersabar dan buat sampai jadi. Walaupun ia melibatkan kos yang tinggi namun bidang dron ini boleh dijadikan sumber pendapatan.
“Kalau kita minat, teruskan belajar dalam bidang ini dan jangan malu untuk bertanya kepada yang lebih berpengalaman.
“Kita perlu sentiasa belajar dan saya sendiri sentiasa belajar dengan perkembangan teknologi yang semakin pantas ketika ini,” katanya.
Menurut Zek, minat yang mendalam dalam reka cipta dan bidang elektrik dan elektronik ini telah bermula sejak usia sembilan tahun apabila sering melihat arwah ayahnya yang juga mempunyai minat yang sama.
Masih segar dalam ingatannya, beliau mula belajar mengenali bidang elektrik menerusi sebuah buku berjudul Asas Elektronik yang dijual di sebuah akhbar pada suatu masa dahulu.
Ujarnya, pada masa itu, tiada internet sebagai rujukan. Hanya berpandukan buku dan bermula dari situ, minatnya semakin berkembang dengan mempelajari dan mempraktikkan membaiki peralatan elektronik yang terdapat di rumahnya.
Beliau yang merupakan alumni pelajar Sekolah Menengah Vokasional Kuantan itu berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau tidak dapat menyambung pelajarannya di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT). Namun tanpa putus asa, beliau memulakan kerjaya sebagai juruteknik di sebuah kedai komputer.
Kepakarannya dalam bidang elektronik telah menjadikan beliau mahir dalam membaik pulih komputer.
Minat yang mendalam dalam bidang elektronik menjadikan beliau dapat mempelajari dalam bidang perisian dan perkakasan komputer dengan mudah.
Tidak lama kemudian, beliau ditawarkan bekerja sebagai pemandu di UMP dan pada masa itu teknologi GPS Garmin sedang popular.
Beliau merupakan antara yang terawal menggunakan aplikasi GPS Garmin untuk membawa staf ke destinasi yang dikehendaki.
“Memang kita yang membeli aplikasi tersebut, namun ia memerlukan pengetahuan berkenaan perisian yang digunakan.
“Selain itu, jika di pejabat mempunyai masalah kerosakan komputer, saya akan membaikinya tanpa perlu menghantar ke Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) UMP,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada UMP yang menghargai kemahirannya dengan melantiknya sebagai tenaga pengajar dalam aktiviti kokurikulum pelajar melalui program UMP Talent bagi mengajar para pelajar yang meminati bidang dron.
Beliau juga sering dilantik untuk mengajar ahli akademik yang berminat untuk mempelajari bidang dron tersebut.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris