Naib canselor UMPSA serah surat kenaikan pangkat kepada lima pensyarah universiti
PEKAN, 7 APRIL 2026 - Seramai lima orang staf akademik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima kenaikan pangkat dalam satu sesi penyerahan yang berlangsung pada hari ini.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias hadir menyerahkan surat kenaikan pangkat kepada Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Dr. Rizalman Mamat yang menerima kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas B (VK6).
Turut menerima surat kenaikan pangkat, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Ts. Dr. Muzamir Hasan dan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Ts. Dr. Mohd Herwan Sulaiman yang masing-masing dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7).
Begitu juga Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor Madya Chm. Dr. Izan Izwan Misnon dan Profesor Madya Dr. Rasidi Roslan dinaikkan pangkat sebagai Pensyarah Universiti Gred DS14 (Profesor Madya).
Dalam ucapan, Profesor Ts. Dr. Yatimah menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima.
Beliau menyifatkan kenaikan pangkat ini sebagai sesuatu yang sangat berharga dan merupakan kejayaan bersama buat individu dan Universiti.
“Usaha dan kecemerlangan yang ditunjukkan selama ini perlu diteruskan serta terus diperjuangkan.
“Saya amat berharap agar barisan Profesor dan Profesor Madya kita dapat memperbanyakkan usaha pementoran dan bimbingan (coaching and mentoring).
“Semoga lebih banyak bakat-bakat kepimpinan akademik agar bakal menjadi pakar rujuk yang terus membimbing generasi pelapis ke arah kecemerlangan pada masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, proses terbuka bagi urusan kenaikan pangkat di UMPSA ini pada asasnya bertujuan untuk memberi motivasi dan galakan yang berterusan kepada semua pegawai agar melihat ia sebagai satu peluang bagi pembangunan kerjaya ke hadapan.
Sementara itu, bagi Profesor Dr. Rizalman menyifatkan pengiktirafan ini sebagai satu manifestasi kepercayaan universiti terhadap sumbangannya.
“Terima kasih atas sokongan berterusan.
“Saya melihat kenaikan pangkat ini sebagai satu tanggungjawab besar untuk saya terus menyumbang bukan sahaja kepada Universiti, malah kepada negara,” ujarnya.
Manakala bagi Profesor Ts. Dr. Muzamir, kenaikan pangkat ini sangat signifikan memandangkan beliau genap 20 tahun mencurahkan bakti di UMPSA.
Selain itu, mengakui ia hadir dengan tanggungjawab yang lebih besar.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Profesor Ts. Dr. Mohd Herwan yang menyifatkan peluang ini sebagai motivasi untuk beliau melebarkan sayap kerjaya akademik serta berkongsi kepakaran dengan lebih ramai ahli akademik di UMPSA untuk manfaat bersama.
Manakala bagi Profesor Madya Chm. Dr. Izan Izwan nekad untuk kekal berdedikasi dalam menyumbang kepada universiti.
Begitu juga Profesor Madya Dr. Rasidi berazam untuk mengangkat nama UMPSA ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya akan meningkatkan aktiviti pementoran khususnya dengan memanfaatkan kepakaran dan jaringan hubungan bersama pihak industri dan luar.
“Inisiatif ini turut disokong penuh oleh naib canselor,” katanya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Ir. Dr Mohd Fairusham Bin Ghazali menzahirkan komitmen bahawa pihak fakulti akan terus menyediakan platform dan sokongan penuh kepada perkembangan karier ahli akademiknya.
Malahan, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Dr. Noram Irwan Bin Ramli berkeyakinan terhadap kelayakan para penerima dan meletakkan harapan yang tinggi agar pengiktirafan ini melonjakkan lagi inisiatif perolehan geran luar buat universiti.
Kenaikan pangkat ini bukan sahaja menjadi saksi kepada kecemerlangan individu, tetapi turut memperkukuh aspirasi UMPSA untuk terus melahirkan ilmuan yang berwibawa dan relevan di persada pendidikan tinggi negara seiring Pelan Strategik UMPSA 2026-2030.
Disediakan Oleh: Siti Sakinah Mohtar, Jabatan Pendaftar
- 192 views
Reports by: