NC UMPSA lancar Program Kembara Eksplorasi Asean
PEKAN, 27 Oktober 2023 –Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan UMP menyerahkan bendera UMPSA dan plakad kepada tiga orang Pengurus Projek Program Kembara Eksplorasi ASEAN di Dewan Bankuet, UMPSA Pekan.
Program yang bakal memulakan misi pada 11 hingga 17 November 2023 oleh Skuad Yayasan UMP itu disertai seramai 42 orang staf, pelajar dan alumni UMPSA.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie mengucapkan tahniah kepada Skuad Yayasan UMP.
“Tahniah kerana berani menyahut cabaran dalam menjayakan misi dengan objektif menimba pengalaman dan membentuk kepimpinan pelajar melalui program yang diadakan di luar negara khususnya negara Kemboja, Indonesia dan Vietnam.
“Semoga program ini akan dapat memberi pengalaman kepada pelajar untuk menyantuni komuniti dengan mewujudkan jaringan khidmat komuniti, menghulurkan sumbangan serta khidmat sukarelawan pada peringkat global secara strategik dan terarah,” katanya.
Menurut Pengurus Projek Kumpulan Kembara Surabaya@Indonesia yang juga pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) UMPSA, Fatin Najihah Mislin, mereka telah menerima beberapa tajaan iaitu daripada Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd., MSM Malaysia Holdings Berhad, Yayasan Mannah, ADABI dan tajaan individu.
“Pada masa yang sama, kami juga mempunyai beberapa rakan strategik dan kolaborasi di Indonesia yang turut menyumbang bagi melancarkan urusan dan atur cara program seperti ADEMOS Indonesia, Universiti Bojonegoro, Universitas Nadhlatul Ulama Sunan Giri, serta Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan Bojonegoro.
“Pihak Lostfood Bank juga turut menyumbang barangan makanan asas seperti susu, air kotak dan cereal,” ujarnya.
Tambah Pengurus Projek Kumpulan Kembara Phnom Penh@Cambodia yang juga pelajar Fakulti Komputeran (FK) UMPSA, Bayu Hanafi Norhazilan, jumlah keseluruhan wang terkumpul hasil pendanaan adalah sebanyak RM25,696.00.
“Bagi misi ke Kemboja, kami telah menerima tajaan daripada Yayasan Pahang, Yayasan Basmi Kemiskinan, ALP Teknik Sdn. Bhd., Pusat Adun Larkin, Yadim, Belati Wangsa Sdn. Bhd., beberapa syarikat lain, dan juga tajaan individu.
“Inisiatif penjanaan juga telah dijalankan melalui kutipan sumbangan, jualan amal dan sebagainya bagi mengumpul dana kegunaan program.
“Program ini akan dijalankan di perkampungan Chroy Ondeat, Madrasah Sulaimaniyah, Embassy Cambodia, Institute of Technology of Cambodi, dan di sekitar Phnom Penh,” katanya.
Menurut Pengurus Projek Kumpulan Kembara Tay Ninh@Vietnam yang juga pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) UMPSA, Muhammad Zubair Faiz Zulkefly, mereka telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM27,835.00 melalui sokongan tajaan daripada syarikat, agensi, individu, dan penjanaan dana.
“Kami ingin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada agensi dan syarikat yang sudi menjadi rakan strategik dan kolaborasi serta memberikan tajaan.
“Antaranya, Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia@Muslim Care Global (MCG), Regional Development Community (RDC), Anees Pharmacy, Rainbow Girl, Al Amin Jihas Venture, Seremban Sublimation, Nasyrul Quran, Klinik Pergigian Premium, Pretech Global, Ascenity Solution, dan Politeknik Kuala Terengganu,” katanya.
Diharap program ini akan dapat memperkasakan mahasiswa dalam memberi pendedahan dan pencambahan idea kepada mahasiswa dengan budaya masyarakat dalam dan luar negara di samping meningkatkan pembangunan sahsiah diri pelajar.
Ia juga akan dapat memupuk semangat sukarelawan yang perlu disemai kepada pelajar agar melahirkan pelajar yang prihatin dan bertanggungjawab.
Pihak Yayasan UMP merakamkan jutaan berterima kasih kepada penyumbang, individu serta usaha dan tenaga sukarelawan dalam usaha sama dan inisiatif pendanaan dan penjanaan dana.
Hasil kutipan keseluruhan Kembara Eksplorasi ASEAN adalah mencecah sehingga RM69,387.00 melalui inisiatif Skuad Yayasan UMP.
Disediakan oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Yayasan UMP
- 98 views