NC UMPSA sasar 6 fokus utama untuk kekal cemerlang dan lebih berdaya saing
PEKAN, 12 Mac 2025 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dr. Yatimah Alias menyasarkan enam fokus utama untuk membentuk warga universiti yang berdaya saing dengan mengutamakan keupayaan untuk bertindak responsif terhadap perubahan teknologi, industri dan keperluan global.
Beliau yakin UMPSA yang mempunyai banyak potensi akan lebih cemerlang sebagai sebuah universiti teknologi terunggul.
“Saya ingin melihat setiap warga UMPSA meningkatkan kualiti kerja dan kemahiran melalui pembudayaan kerja yang berfokuskan SPIROS iaitu Kemahiran (Skills), Kesempurnaan (Perfection), Impak (Impact), Daya Tahan (Resilience), Pengoptimuman (Optimization) dan Kelestarian (Sustainability).
“Pendekatan yang seimbang dan menyeluruh ini berpotensi menjadikan UMPSA lebih cemerlang dan berdaya saing.
“Setiap warga UMPSA berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab berasaskan kemahiran dan bidang masing-masing yang diperkasakan oleh teknologi,” ujarnya.
Katanya lagi, proses kerja haruslah menitikberatkan tatakelola dan integriti bagi mengurangkan kesalahan atau pembaziran.
“Maka, hasil dan kualiti kerja perlulah memberi impak dan manfaat kepada universiti dan sejajar keperluan kerajaan, industri dan masyarakat.
“Penerangan terhadap kemahiran (skills) ini dapat meningkatkan kecekapan dan kepakaran yang diperlukan untuk terus mencapai kejayaan.
“Keduanya setiap kualiti kerja mestilah mendekati kesempurnaan, teliti dan zero error,” Katanya semasa sesi perjumpaan bersama barisan dekan dan pengurusan universiti di Dewan Bankuet UMPSA Pekan.
Tambahnya lagi, begitu juga dalam memastikan ‘Impact’ setiap sumbangan mestilah mempunyai magnitude impact terhadap kehendak masyarakat, industri dan negara.
“Tidak kurang pentingnya juga adalah ‘Resilience’ iaitu daya tahan menghadapi semua tekanan dan cabaran bersifat dalaman atau global.
“Justeru, untuk terus kekal relevan, dua lagi perkara iaitu ‘Optimization’ dan ‘Sustainability’, kita perlu sentiasa berpegang kepada prinsip penambaikan berterusan dan terus lestari dan berdaya saing dalam menguruskan sumber.
“SPIROS ini seiring dengan Nilai Teras (Core Value) UMPSA yang menjadi pegangan warga universiti ini,” jelasnya.
Lima Nilai Teras UMPSA ialah Hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta; Teguh dalam mempertahankan prinsip yang disepakati; Kreatif dalam membuat keputusan yang bijaksana; Cekal dalam menghadapi cabaran dan Proaktif dalam tindakan.
Ketika bercakap mengenai status pembangunan universiti, beliau turut memaklumkan bahawa UMPSA masih lagi sedang melengkapkan fasiliti pelajar, fasiliti pembelajaran dan juga kemudahan asrama.
“Dalam pada itu, UMPSA akan terus berusaha meningkatkan reputasi antarabangsa melalui program ijazah dual, kerjasama dengan universiti terkemuka dunia dan penyertaan dalam program pertukaran pelajar serta penyelidikan.
“Selain itu, kredibiliti UMPSA sebagai sebuah universiti teknikal terbaik akan terus diperkukuh melalui peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan dan tadbir urus.
“Tidak ketinggalan, UMPSA juga akan terus memberi tumpuan kepada sumbangan masyarakat melalui inisiatif tanggungjawab sosial universiti (CSR) berimpak terutamanya bersama komuniti dalam radius sekitar kampus,” ujarnya.
UMPSA kini sedang merangka Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 (UMPSA30) yang merupakan kesinambungan daripada Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 (UMPSA25).
Malahan katanya, UMPSA juga bakal menubuhkan pasukan Task Force bagi membangunkan Pelan Transformasi 2050 dengan mengambil kira hala tuju dan jangkauan prospek pada masa akan datang.
Untuk rekod, Profesor Dr. Yatimah juga telah melaksanakan lebih 20 sesi pertemuan libat urus bersama Pusat Tanggungjawab (PTJ) termasuk persatuan dan pensyarah muda sejak dilantik sebagai Naib Canselor pada 13 Januari 2025 yang lalu.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 52 views