Skip to main content

Pelan Strategik UMPSA30 fokus 4 lonjakan strategik utama ke arah kecemerlangan berimpak

GAMBANG, 13 Februari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melancarkan Pelan Strategik 2026–2030 (UMPSA30) dengan memfokuskan 4 lonjakan strategik utama iaitu Pengantarabangsaan, Kemampanan, TVET Termaju dan Keusahawanan yang menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, khususnya dalam aspek kebolehpasaran graduan, kecemerlangan berimpak, kemampanan dan daya tahan institusi.

Pelan ini didokongi dengan enam kluster termasuk bakat, akademik, penyelidikan, mahasiswa dan alumni, kewangan dan ekouniversiti.

Majlis menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias hadir menyempurnakan Peluncuran Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 yang berlangsung di Dewan Astaka UMPSA Gambang.

Pelan Strategik UMPSA30 fokus 4 lonjakan strategik utama ke arah kecemerlangan berimpak

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, sebagai pemacu transformasi ke arah Universiti Teknologi Terunggul, UMPSA bakal memberi tumpuan terhadap agenda pengantarabangsaan bagi memperkukuh jaringan global, pembangunan bakat antarabangsa, mobiliti akademik serta kecemerlangan penyelidikan dan inovasi bagi meningkatkan kebolehlihatan dan reputasi universiti di peringkat antarabangsa.

“UMPSA30 juga menekankan pengukuhan kemampanan digital, alam sekitar dan kewangan, di samping pembangunan penyelidikan translasi, kesejahteraan warga universiti serta pembentukan ekosistem kampus yang inklusif dan berdaya tahan.

“Sebagai sebuah universiti berteraskan Kejuruteraan, Teknologi dan TVET Termaju, UMPSA30 akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi yang relevan, responsif dan berorientasikan industri.

“Bagi meletakkan UMPSA sebagai Hab Rujukan ASEAN bagi TVET Termaju, universiti akan mengadakan penstrukturan semula program dan kurikulum berasaskan industri, pengembangan penyelidikan gunaan, kerjasama strategik industri tempatan dan global serta peningkatan kebolehgajian dan kebolehkerjaan graduan selaras dengan keperluan ekonomi masa hadapan,” ujarnya. 

Tumpuan turut diberikan terhadap usaha membudayakan inovasi, keusahawanan dan pengkomersialan dalam pembelajaran, penyelidikan dan ekosistem kampus melalui pengukuhan hubungan industri, komuniti dan rakan strategik.

Pelan Strategik UMPSA30 fokus 4 lonjakan strategik utama ke arah kecemerlangan berimpak

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, misi universiti untuk cemerlang dalam penyampaian pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan teknologi aras tinggi yang berfokus kepada penyelesaian masalah sebenar industri dan masyarakat.

“Falsafah universiti ini meletakkan ilmu sebagai amanah dan nilai sebagai teras pembangunan insan menjadi asas kepada pembentukan graduan holistik yang berkemahiran, beretika dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa. 

“Selain itu, pelan ini berfungsi sebagai instrumen pelaksanaan di peringkat universiti di samping memastikan keterangkuman, kemampanan dan nilai menjadi asas kepada pembangunan institusi.

“Ia digubal dengan mengambil kira keperluan landskap nasional dan global, termasuk transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), perubahan struktur pekerjaan serta tuntutan kelestarian alam sekitar dan kewangan,” katanya yang turut menyampaikan Amanat Naib Canselor 2026.

Pelaksanaan UMPSA30 dipandu oleh Model Gading UMPSA30, yang mengintegrasikan nilai teras universiti, dasar nasional, kluster pengetahuan serta keutamaan strategik institusi dalam satu kerangka pembangunan yang menyeluruh dan berfasa.

Pendekatan ini bagi memastikan keselarasan antara hala tuju universiti dengan agenda nasional, di samping memperkukuh tadbir urus strategik, kecekapan pelaksanaan dan pemantauan prestasi berasaskan impak.

Setiap lonjakan strategik disokong oleh objektif strategik, strategi pelaksanaan, petunjuk prestasi utama (KPI) yang terukur serta pemilik tanggungjawab yang jelas bagi memastikan pelaksanaan berfokus, akauntabiliti tadbir urus dan pemantauan berterusan. 

Pendekatan ini sejajar dengan penekanan RPTM terhadap pengurusan berasaskan prestasi, keberhasilan (outcomes) dan impak nasional.

UMPSA30 merupakan instrumen transformasi universiti yang menyokong agenda nasional ke arah pembangunan pendidikan tinggi yang berkualiti, inklusif dan mampan.

Pelan untuk tempoh lima tahun ini menjadi panduan strategik kepada seluruh warga universiti dan pemegang taruh dalam merealisasikan peranan UMPSA sebagai peneraju pendidikan teknologi dan TVET termaju yang akan menyumbang kepada daya saing negara, kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran Malaysia secara mampan.

Sementara itu, dalam amanat yang disampaikan, Profesor Ts. Dr. Yatimah mengumumkan empat lonjakan bertemakan K.I.T.A iaitu Kelestarian, Kewangan, Keusahawanan (K), Inovasi dan Industri (I), TVET Termaju dan Bakat (T) dan Akademik, Antarabangsa dan Alumni (A) dalam memastikan UMPSA terus kekal relevan dan berdaya saing selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Empat elemen mendasari KITA adalah Kasih (Hati), Intelek (Minda), Tatakelola dan Amanah dan Akauntabiliti yang memainkan peranan yang penting dalam memastikan UMPSA terus cemerlang di persada antarabangsa.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri