Skip to main content

Pemimpin universiti perlu keluar daripada ‘silo’, bina legasi berasaskan ihsan

PEKAN, 4 September 2026 – Kepimpinan universiti masa kini tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pencapaian angka, kedudukan ranking atau sasaran petunjuk prestasi utama (KPI), sebaliknya perlu berpaksikan amanah, tujuan yang jelas, kerja berpasukan, kebijaksanaan dan ihsan dalam membangunkan manusia serta institusi.

Perkara itu ditekankan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Yang Hormat Dato' Haji Mohamad Sahfri Ab Aziz, menerusi sesi perkongsian ‘Leading Beyond Boundaries: Strategic Leadership for the Modern University’ di Dewan Kuliah Utama, Pusat Bahasa Moden (PBM), UMPSA Pekan hari ini.

Pemimpin universiti perlu keluar daripada ‘silo’, bina legasi berasaskan ihsan

Sesi yang berlangsung dari pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi itu mengetengahkan enam prinsip utama kepimpinan strategik yang perlu diterapkan dalam membentuk pemimpin universiti masa kini dan masa hadapan.

Antaranya, pemimpin perlu ‘Lead with Amanah’, iaitu melihat kepimpinan sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh kepercayaan, integriti dan rasa tanggungjawab terhadap warga serta institusi yang dipimpin.

Menurutnya, pemimpin juga perlu ‘Lead with Purpose’ dengan mempunyai tujuan dan hala tuju yang jelas, selain tidak terlalu terikat dengan usaha mengejar ranking semata-mata.

“Sebaliknya, kecemerlangan universiti perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dengan memberi tumpuan kepada nilai, sumbangan dan impak yang mampu diberikan kepada masyarakat serta pembangunan manusia,” ujarnya. 

Dalam masa sama, beliau turut menekankan pendekatan ‘Lead Beyond Silos’ dengan menyeru warga UMPSA supaya keluar daripada budaya bekerja secara terpisah mengikut jabatan atau bidang masing-masing.

“Pendekatan ‘From Silos to Human Impact’ menuntut warga universiti bekerja sebagai satu pasukan, berkongsi kepakaran dan merentas sempadan organisasi bagi menghasilkan impak yang lebih besar kepada manusia.

“Kepentingan ‘Lead with Data and Wisdom’ pula ialah apabila setiap keputusan perlu disokong data yang tepat, selain pemimpin perlu memahami bukan sahaja ‘what’ yang berlaku tetapi juga ‘why’ sesuatu perkara itu berlaku sebelum membuat keputusan,” katanya. 

Menurutnya, data semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai pengetahuan, pertimbangan dan kebijaksanaan dalam menentukan tindakan yang paling tepat untuk organisasi.

Sementara itu, prinsip ‘Lead with Ihsan’ pula mengajak pemimpin melihat kepimpinan bukan sekadar usaha mencapai angka dan kecemerlangan, tetapi turut melibatkan keprihatinan terhadap manusia.

Pemimpin universiti perlu keluar daripada ‘silo’, bina legasi berasaskan ihsan

Ihsan, katanya, perlu diterjemahkan melalui usaha melakukan yang terbaik, mengambil berat terhadap warga organisasi serta memastikan setiap tugas dilaksanakan dengan penuh integriti walaupun tidak diperhatikan.

“Pendekatan berkenaan sekali gus membawa perubahan daripada ‘From Power to Amanah’ dan ‘From KPI Mindset to Ihsan’, iaitu daripada sekadar menggunakan kuasa dan mengejar sasaran kepada kepimpinan yang membina kepercayaan, amanah dan nilai kemanusiaan. 

“Dalam konteks universiti moden, budaya ‘psychological safety’ juga penting bagi membolehkan warga berani menyuarakan pandangan, mengemukakan idea baharu dan mencabar kebiasaan tanpa rasa takut.

“Pendekatan ini amat signifikan dalam mendepani perubahan dunia yang semakin kompleks termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim dan keperluan kepada penyelesaian rentas bidang,” tambahnya lagi. 

Ujarnya, pada akhirnya, kepimpinan yang sebenar bukan sekadar mengenai mengurus organisasi, tetapi membina manusia, seterusnya membangunkan legasi dan institusi.

“Legasi kepimpinan tidak hanya diukur berdasarkan pencapaian ketika seseorang pemimpin berada dalam organisasi, tetapi turut dilihat melalui sejauh mana pemimpin berkenaan berjaya melahirkan generasi pemimpin baharu yang mampu meneruskan kecemerlangan institusi.

“Justeru, pemimpin universiti masa depan perlu berani melangkaui sempadan, meninggalkan budaya ‘silo’ dan bergerak sebagai satu pasukan dengan menjadikan amanah, tujuan, data, kebijaksanaan, ihsan dan pembangunan manusia sebagai asas dalam membentuk institusi yang bukan sahaja cemerlang, tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat,” jelas beliau. 

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Ketua Pustakawan, Kamariah Gono. 

Lebih 100 orang hadir dalam Siri Bicara Kepimpinan UMPSA Siri 2/2026 anjuran Jabatan Pendaftar itu yang diadakan bagi meningkatkan bakat kepimpinan dan pengurusan umjversiti. 

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Zaffaruddin Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
AINIEY