Skip to main content

Penyatuan 16 Stesen Automasi Perkukuh Pembelajaran Industri dan Digital Twin di FTKEE

PEKAN, 6 Februari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya dalam menyokong agenda ekonomi digital negara dan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) menerusi pelaksanaan projek penyatuan 16 stesen automasi yang dibangunkan oleh pelajar Program Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri (BVI) Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).

Projek tersebut telah berjaya direalisasikan empat orang pelajar BVI , Muhammad Amirul Adly Mohamad Rashidi, Afiq Farhan Abdul Khamis, Muhammad Adib Afham Mat Zaki, dan Adil Azfar Amran sebagai sebahagian daripada usaha naik taraf Makmal Automasi Industri FTKEE.

Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamzah Ahmad berkata, inisiatif ini memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan teknologi yang dipelajari sepanjang pengajian melalui proses-proses kritikal dalam menyelesaikan permasalahan sebenar industri, khususnya melibatkan integrasi sistem kawalan berskala besar dan rangkaian automasi.

 “Walaupun pelajar tidak mempunyai pengalaman khusus dalam pembangunan sistem berskala besar, mereka berjaya menunjukkan tahap kompetensi yang baik melalui kemahiran analisis, penyelesaian berasaskan masalah, selain keupayaan memperkasa kreativiti dan inovasi dalam mengintegrasikan kesemua 16 stesen automasi dengan bimbingan tenaga pengajar.

“Selain menyokong pembelajaran berasaskan industri, sistem yang dibangunkan ini berpotensi menjadi model kepada teknologi digital twin yang sangat penting kepada industri, malah boleh dimanfaatkan oleh program-program akademik di FTKEE,” katanya.

Penyatuan 16 Stesen Automasi Perkukuh Pembelajaran Industri dan Digital Twin di FTKEE

Projek ini turut dilaksanakan dengan sokongan tiga orang fasilitator berpengalaman iaitu Pegawai Latihan Vokasional FTKEE, Ir. Ts. Mohamad Rahimi Mohamed Rodzi bersama-sama Penolong Pegawai Latihan Vokasional FTKEE, Mohd Azlan Sayuti dan Ir. Ts. Nik Mohd Zaitul Akmal Mustafa selaras dengan aspirasi Industry 4.0 serta keperluan semasa industri automasi.

Sesi penyerahan projek telah berlangsung pada 6 Februari 2026 dan telah diterima oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) FTKEE, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Herwan Sulaiman bersama Ketua Jabatan (Teknologi Elektrik dan Elektronik), Ts. Dr. Md Rizal Othman serta barisan pengajar Makmal Automasi Industri.

Kejayaan pelaksanaan projek ini membuktikan keupayaan FTKEE dan UMPSA dalam membangunkan ekosistem pembelajaran berasaskan integrasi sistem automasi dan teknologi digital, sekali gus memperkukuh imej universiti sebagai institusi teknikal unggul dalam melahirkan graduan berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri