Skip to main content
Penyelidikan UMP raih 10 pingat dan anugerah khas “The Best Award for Consumer Electronics”

Penyelidikan UMP raih 10 pingat dan anugerah khas “The Best Award for Consumer Electronics”

Kuala Lumpur, 22 Februari- Sistem Lampu Diod Pemancar Cahaya (LED) bercekapan tinggi yang dikenali sebagai “UMP-Rediac LED Stick” dianugerahkan pingat emas dan anugerah khas “The Best Award for Consumer Electronics”  dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2020 yang diadakan selama tiga hari bermula 20 Februari 2020 baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dihasilkan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Ts. Ikram Mohd Rashid bersama Hisaji Noda, produk ini mempunyai keistimewaan tersendiri melalui ciptaan inovasi Sistem LED ini tidak mengeluarkan haba atau suhu yang tinggi berbanding produk yang ada di pasaran semasa juga tanpa memerlukan sirip penyejuk (heat sink).

“Kecekapan untuk sistem LED UMP Rediac ini adalah tinggi iaitu sebanyak 157 lm/w malahan sistem LED yang dicipta ini bukan sahaja boleh diaplikasikan untuk produk LED, malah ia juga boleh diaplikasi dalam lampu taman, lampu limpah, lampu jalan dan lain-lain aplikasi LED”, katanya. 

Selain itu, produk ini juga mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peniaga pasar malam, pengembara, mekanik dan pengguna untuk mendapatkan sumber cahaya pada waktu malam. Malahan alat ini senang untuk dibawa ke mana sahaja dan tidak memerlukan sumber tenaga dari utiliti.

Tiga lagi pingat emas UMP dimenangi oleh  pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Ir. Dr. Chin Siew Choo dengan kajian yang bertajuk “OHE-CRETE: Sustainable Building Materials”, Dr. Waheb Jabar dengan produk penyelidikan NB-IoT-FMWS dan Nor Azhar Ahmad daripada Fakulti Komputeran dengan produknya HeDoo Space, Teach & Learn - An Environmental IoT Analysis Modules & Generic Circuit Board.

Manakala enam pingat perak pula dimenangi oleh pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Profesor Madya Dr. Agus Geter Edy Sutjipto dengan produk penyelidikan “Development of Inert Ceramic for Industrial Application”, Dr. Mohd Shaiful Zaidi Mat Desa daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses dengan produk penyelidikan bertajuk “Development of Improved Durability and Low Cost Solid Ankle-Cushion Heel (SACH) Prosthetic Foot” dan Dr. Nadzirah Mohd Mokhtar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam dengan hasil kajian “MD Solution: MD Compact Unit for Industrial Wastewater Treatment” .

Lain-lain Profesor Madya Dr. Noraziah Ahmad (Fakulti Komputeran) dengan tajuk “Efficient Distributed Database Replication Systems for Online Selling Website”, Dr. Wan Isni Sofiah Wan Din, “Enhancement of Single Path to Multi Path Clustering in Wireless Sensor Network for Energy Conservation” dan Dr. Ahmad Firdaus Zainal Abidin dengan projek penyelidikan “Rex-Chain: Root Exploit Detection and Blockchain”. 

Hadir sama berkunjung melawat pameran adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad diiringi Dekan Penyelidikan UMP, Profesor Dr. Md. Mustafizur Rahman dan Pengurus Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Hazmin Aris bertemu para penyelidik UMP. 

Menurutnya, pameran ini merupakan medan buat para penyelidik mempamerkan dan mempertandingkan hasil kajian produk mereka kepada khayalak umum dan industri.

“UMP sangat bertuah mempunyai para penyelidik yang muda dan bermotivasi tinggi bagi menghasilkan produk penyelidikan dan inovasi. Pihak universiti sentiasa memainkan peranan dalam merangka strategi dan pelaksanaan inisiatif strategik untuk melonjakkan prestasi penyelidikan dan inovasi UMP melalui sokongan penyediaan geran universiti, nasional, industri dan swasta juga antarabangsa,” katanya.

Penyertaan serta kejayaan yang diperolehi oleh UMP adalah satu petanda positif dan membanggakan apabila penyelidikan mereka diiktiraf. Bukan itu sahaja, malahan penyertaan para penyelidik UMP ke pertandingan ini sedikit sebanyak membuka peluang kolaborasi bersama pihak industri, pihak industri kecil dan sederhana (SME) atau pihak yang berkaitan yang mana manfaat akhirnya bakal dinikmati oleh kumpulan sasar iaitu masyarakat umum bersesuaian dengan slogan UMP iaitu “Teknologi Untuk Masyarakat”.

Disediakan oleh Dina Diyana Rastam Tan daripada Jabatan Penyelidikan dan Inovasi 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri