Program libat urus KPT bersama perwakilan negara ke arah pengantarabangsaan IPT
KUALA LUMPUR, 5 Februari 2024 - Program libat urus Menteri Pendidikan Tinggi bersama perwakilan negara luar yang berlangsung dalam Majlis Networking Luncheon with the Diplomatic Missions in Malaysia di Wyndham Grand Bangsar, Kuala Lumpur merupakan satu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mengeratkan hubungan di antara KPT dengan agensi yang terlibat bersama kedutaan negara luar di Malaysia.
Majlis dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman.
Turut hadir wakil Kementerian Luar Negeri (KLN), wakil Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), wakil IPTA/IPTS dan agensi KPT.
Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hadir bersama barisan Naib Canselor universiti awam (UA) serta agensi-agensi dari KPT bersama dengan duta-duta negara luar yang berada di Malaysia.
Dalam program ini, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut berkongsi mengenai polisi pendidikan tinggi yang sedia ada serta data-data pelajar luar negara yang sedang belajar di Malaysia termasuklah peluang dan ruang yang disediakan oleh kerajaan dalam usaha mengantarabangsakan pendidikan tinggi negara.
Pihaknya turut mengharapkan kedutaan luar yang ada di Malaysia dapat membantu KPT dalam mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bagi menarik lebih ramai pelajar luar negara sambung belajar di Malaysia.
Sementara itu, menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, program ini merupakan platform pengantarabangsaan yang berkesan dalam meningkatkan hubungan dengan komuniti antarabangsa.
“Ini adalah seiring dengan lima fokus utama KPT yang selari dengan matlamat dan hasrat kementerian seperti dirangkumkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM [PT]) dan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025,” katanya.
Lima fokus utama itu adalah penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu.
Bagi fokus keempat, ia membabitkan pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan terakhir membabitkan pemantapan ekosistem pemboleh daya seperti dalam Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 baru baru ini.
KPT turut menggariskan 20 landasan dalam meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara dan memantapkan lagi hala tuju IPT di Malaysia supaya lebih berdaya saing serta sentiasa proaktif bagi memastikan agenda melonjakkan aspirasi pengantarabangsaan pendidikan tinggi tercapai yang mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.
Sehingga kini, terdapat seramai 106,893 pelajar antarabangsa yang belajar di Malaysia iaitu seramai 43,175 pelajar berada di UA dan 63,718 di IPTS.
Kumpulan terbesar pelajar yang direkodkan adalah daripada negara China, Indonesia, Pakistan, Nigeria dan Iraq.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 273 views