Program Profesor Turun Padang: Merdeka Scavenger Hunt pupuk semangat cinta negara dan berbahasa Inggeris melalui gamifikasi
PEKAN, 18 September 2024 - Bersempena dengan Inisiatif Profesor Turun Padang di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pusat Bahasa Moden (PBM) dengan kerjasama MELTA Pahang Chapter (MPC) dan Persatuan Matahari telah menganjurkan program Merdeka Scavenger Hunt yang dilaksanakan di kampus Pekan dan Gambang pada 18 dan 19 September 2024.
Program ini melibatkan pelajar-pelajar sekolah daripada Tahun 4 sehingga Tingkatan 3 sekitar Kuantan dan Pekan yang bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dan memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris secara kreatif dan berkesan dalam kalangan pelajar.
Merdeka Scavenger Hunt merupakan program Signature bagi MELTA Pahang Chapter yang diasaskan pada tahun 2021 ketika Pandemik Covid- 19.
Permainan ini telah diadakan secara maya pada ketika itu bagi menyuntik semangat kemerdekaan dan pada masa yang sama bagi menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang menyertainya.
Pada tahun 2023, Merdeka Scavenger Hunt buat julung kalinya diadakan di DRB Hicom University dan disertai oleh pelajar sekolah menengah di sekitar Pekan.
Keunikan program ini adalah dengan pengisian pelbagai permainan di dalam satu program yang menggunakan bahasa Inggeris bertemakan kemerdekaan.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar, malah turut memberi fokus kepada penguasaan bahasa Inggeris melalui aktiviti-aktiviti yang menarik dan interaktif. Dengan semangat Hari Kemerdekaan, pelajar dapat menghayati makna kemerdekaan melalui gamifikasi berasaskan pengetahuan sejarah Malaysia, sekali gus meningkatkan kemahiran bahasa mereka.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Matahari UMPSA, Hazlina Faizal, program Merdeka Scavenger Hunt 2024 merupakan program interaktif yang dapat merangsang minat pelajar dan membina keyakinan diri dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
“Program yang dijalankan dengan menggunakan format bermain sambil belajar ini amat membantu dalam memastikan semua peserta mengambil bahagian secara aktif di dalam setiap seksyen permainan,” ujarnya.
Program ini juga turut diserikan dengan aktiviti sambutan kemerdekaan bagi membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan peserta yang terlibat iaitu ia bertepatan sekali dengan sambutan Hari Malaysia yang baharu sahaja disambut pada 16 September yang lalu.
Manakala menurut pensyarah dari Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology Pahang (TAR UMT), Norherizan Abd Moen yang juga merupakan salah seorang fasilitator yang mewakili MELTA Pahang Chapter (MPC) dalam program Merdeka Scavenger Hunt di UMPSA Pekan menyatakan pengalaman ini amat bermakna bagi beliau.
“Peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar dari pelbagai peringkat iaitu dari Tahun 4 hingga Tingkatan 3, yang begitu bersemangat tatkala menyertai aktiviti yang dianjurkan ini amatlah bermakna.
“Melalui program ini juga, saya dapat menyaksikan bagaimana pendekatan kreatif dalam penggunaan bahasa Inggeris mampu untuk membantu mereka meningkatkan keyakinan dan kemahiran berkomunikasi.
“Selain itu, semangat patriotisme yang diterapkan melalui aktiviti-aktiviti berpasukan menjadikan pengalaman ini lebih berkesan, bukan sahaja untuk para pelajar, tetapi juga bagi saya sebagai seorang fasilitator,” katanya.
Menurut Dr. Ruhil Amal Azmuddin, ibu kepada pelajar Isa Amin Riza, Tahun 4 yang menyertai Merdeka Scavenger Hunt, aktiviti yang diadakan melalui inisiatif Profesor Turun Padang ini merupakan usaha yang baik dalam mendekatkan golongan profesional khususnya di peringkat universiti awam dengan pihak komuniti terutamanya para pelajar sekolah.
“Kecekapan dan kebolehan yang terdapat di universiti dapat dikongsi dengan cara yang menyeronokkan dan lebih menyeluruh.
“Selain berpeluang belajar dengan tenaga profesional universiti penyertaan anak saya pada kali ini lebih bermakna apabila cuti sekolah beliau lebih bermanfaat.
“Anak saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan dan mencuba melalukan aktiviti yang baharu,” ujarnya.
Beliau berasa gembira dan berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
Secara keseluruhannya, Merdeka Scavenger Hunt melalui inisiatif Profesor Turun Padang di UMPSA telah berjaya membentuk satu platform yang efektif dalam menggabungkan semangat cintakan negara dengan penggunaan bahasa Inggeris.
Gamifikasi dalam pembelajaran bahasa Inggeris telah memainkan peranan yang sangat berkesan.
Program ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menarik, bermakna, dan berkesan, tetapi juga memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar.
Dengan gabungan elemen patriotisme dan pembelajaran bahasa yang interaktif, pelajar dapat meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka dengan cara yang menyeronokkan dan relevan serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang lebih baik.
Hal ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang lebih peka dan berdaya saing di peringkat global.
Salam Malaysia Madani: Jiwa Merdeka
Disediakan Oleh: Noor Azlinda Zainal Abidin, Jamilah Bebe Mohamad dan Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 247 views