Senandika buka panggung serlahkan bakat baharu mahasiswa
PEKAN, 20 Disember 2025 – Baru-baru ini telah berlangsungnya sebuah program teater Senandika Buka Panggung (SBP) bertempat di Dewan Peperiksaan Mekanikal (DPM), Fakulti Teknikal Kejuruteraan Mekanikal dan Automatif (FTKMA) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
SBP adalah penjenamaan semula acara tahunan yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Senandika Show Time’ yang merupakan salah satu inisiatif untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Program ini terbuka khas kepada mahasiswa baharu yang telah melalui 'casting call' (uji bakat) sebagai langkah permulaan dan pendedahan mengenai pembikinan sebuah produksi teater.
Sebanyak lima buah naskhah telah dipentaskan dalam program ini.
Tiga daripada nashkah ini adalah karya mahasiswa sendiri.
Seramai 75 orang tenaga produksi terlibat yang terdiri daripada mentor, pengurus produksi, pengarah, pengurus pentas, krew busana dan tatarias, pereka set dan hiasan, penata audio dan pencahayaan, publisiti dan hebahan, serta para pelakon bagi lima produksi pementasan.

Set pentas yang diusahakan adalah secara eksperimental dan minimalis dengan konsep pementasan ‘black-box’ (bilik sempit).
Pengarah program merangkap pengurus produksi, Nor Sofea Zamri memanjatkan rasa kesyukuran kerana sepanjang menjadi pengarah program beliau dapat mempelajari ilmu pengurusan dan kepimpinan melalui penasihat, majlis tertinggi kelab, mentor serta alumni.
“Saya dapat meningkatkan kemahiran insani dalam mengendalikan ahli-ahli produksi yang berbeza personaliti dan komitmen.
"Di sini, saya belajar untuk bersabar, menerima teguran, memaafkan dan bertolak ansur.
“Pengalaman ini mengajar saya erti memanusiakan manusia,” ujarnya.
Pelajar tahun dua Fakulti Komputeran ini mengakui cabaran sepanjang mengendalikan program ini tidak mudah namun cabaran ini membantu beliau untuk nekad berjuang hingga selesai.
Beliau bersyukur dengan rezeki dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Ia secara langsung membantu saya memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih bertanggungjawab dan mempunyai sifat empeti yang tinggi," katanya.
Melalui program SBP ini, pelajar dapat mengenali dan mendalami ilmu pementasan teater sekali gus membuka peluang bagi mencungkil dan mengembangkan bakat dalam diri serta memupuk minat terhadap dunia teater.
Aktiviti teater dapat mengajar mahasiswa dalam mengendalikan sesebuah program yang berimpak tinggi, penyelesaian masalah serta dapat meningkatkan ciri-ciri kepimpinan dan kemahiran insaniah dalam diri.

Seramai 300 orang penonton hadir pada kedua-dua hari pementasan yang terdiri daripada ahli keluarga produksi, pensyarah, orang awam dan mahasiswa UMPSA.
Turut hadir meraikan pementasan adalah Pengarah Pusat Kebudayaan (PusKeb) UMPSA, Mohd Zaki Ahmad.
Program SBP ini akan terus menjadi acara tahunan dan platfom bagi persediaan pengurusan produksi dan persembahan untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Kebudayaan
- 19 views