Sijil Perakuan Bomba Jaminan Keselamatan Bangunan Beroperasi
Bangunan selamat untuk diduduki merupakan jaminan penghuni dalam keadaan selamat bagi mengadakan sebarang aktiviti. Sijil Perakuan Bomba (FC) atau ‘fire certificate’ merupakan satu dokumen yang merupakan satu talian hayat bagi mengiktirafkan sesebuah bangunan selamat untuk didiami. Perakuan bomba ini merupakan nadi bagi bangunan yang mana ketiadaan FC bagi sesebuah bangunan mengundang risiko tinggi terhadap kebakaran. Keperluan ini diperlukan bagi bangunan-bangunan yang sering dikunjungi oleh orang ramai dan aktif beroperasi seperti hospital, bangunan pejabat, sekolah dan lain-lain lagi. Selain itu, ketidakpatuhan mematuhi peraturan yang termaktub dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 juga menjadi punca penyebab kegagalan memperoleh FC.
Kebanyakan pemilik bangunan yang telah berusia tidak dapat menyediakan beberapa dokumen-dokumen utama iaitu pelan bangunan lengkap bagi menunjukkan keadaan semasa bangunan beroperasi. Selain itu, ketiadaan sistem keselamatan kebakaran dan kekurangan kemudahan penyelenggaraan yang baik antara penyebab kegagalan mendapatkan FC.
Kegagalan pemilik bangunan menyediakan FC umpama menempah bom jangka yang mungkin meletus bila-bila masa. Bangunan yang tidak diselenggara dengan baik antara mengundang risiko-risiko musibah terhadap penghuni bangunan. Kerancakkan pembangunan menjadikan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan dilakukan tanpa merujuk pihak-pihak yang berkelayakan iaitu pihak berkuasa tempatan bagi meluluskan dokumen-dokumen pengubahsuaian.
Persediaan untuk mendapatkan sijil perakuan bomba
Pereka bentuk bangunan professional seperti arkitek dan jurutera bangunan melakukan semakan bagi menilai rekabentuk bangunan dan struktur bangunan sebelum penyerahan bangunan dilakukan. Di samping itu, penelitian terhadap prosedur bagi memastikan bangunan berada ditahap yang terbaik sebelum diduduki dan beroperasi. Mengemaskini sistem pengurusan bangunan sedia ada bagi memastikan ianya di tahap yang terbaik.
Perlaksanaan pengurusan risiko kemalangan dapat menganalisa sebarang kemungkinan masa depan operasi bangunan. Dapatan kajian dan keberhasilan analisa dapat meramalkan ketidaklancaran dan membantu menambah baik sistem pengurusan sedia ada.
Banyak musibah yang melibatkan kebakaran telah berlaku dibeberapa bangunan awam. Ketiadaan sistem keselamatan kebakaran serta kegagalan melakukan penyelenggaraan kemudahan bangunan yang baik sebahagian penyebab utama. Kos yang tinggi bagi mengadakan peralatan keselamatan kebakaran dan melakukan aktiviti penyelenggaraan dijadikan alasan kesukaran bagi pemilik premis.
Justeru itu, penyelenggaraan bangunan perlu dijadikan sebagai salah satu prosedur keselamatan bagi meningkatkan keupayaan bangunan beroperasi dalam keadaan yang terbaik. Langkah awalan iaitu menyediakan lukisan seperti dibina (As built drawing). Dokumen ini merupakan sebuah lukisan yang dibuat apabila bangunan yang dibina telah siap berdasarkan kedudukannya yang sebenar di tapak binaan. Lukisan ini dirujuk untuk mengenalpasti masalah atau kerja–kerja tambahan yang di perlukan pada sesuatu bangunan yang telah siap di bina berdasarkan keadaan sebenar bangunan yang telah dibina. Antara keperluan dalam FC perlu ditunjukkan iaitu jalan keluar, pintu keluar, dinding pengasing, tangga, koridor dan dinding petak serta pepasangan keselamatan kebakaran. Rujukan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat perlu diadakan oleh pemilik bangunan sebagai sokongan bagi menyemak keperluan kebombaan.
Pemerhatian terhadap bangunan-bangunan yang telah beroperasi hampir dan lebih 100 tahun perlu mempertingkatkan dan menambahbaikan sistem pencegah kebakaran. Penarafan bangunan perlu diadakan bagi melabelkan jaminan bangunan selamat untuk diduduki. Penguatkuasaan tahap keselamatan bangunan perlu pertingkatkan bagi premis-premis yang tidak mematuhi syarat-syarat beroperasi. Kegagalan menyediakan FC seringkali kita menunding jari pada mana-mana pihak yang tidak mematuhi syarat-syarat menduduki bangunan. Jangan pejamkan mata dan menangis setelah berlakunya tragedi yang mana ianya berakar umbi dari kegagalan kita.
Disediakan oleh Ts Mohammad Affendy Omardin, Pensyarah, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Malaysia Pahang. Emel: affendi@ump.edu.my
- 4378 views