SIR Corner dan Bantuan Awal Pengajian YBR manfaat buat pelajar UMP
PAYA BESAR, 12 Jun 2023 - Kewujudan Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner di Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal menjadi nilai tambah yang penting bagi meningkatkan keboleh capaian akses sumber maklumat yang menyeluruh untuk pendidikan dan penyelidikan di UMP.
Melalui kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Perpustakaan UMP ini mampu menyediakan peluang kepada para pelajar untuk meneroka pelbagai sumber pengetahuan secara digital.
Majlis menyaksikan SIR Corner dirasmikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersama Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Abdul Ghani dan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Kamariah Gono yang menjalankan fungsi Ketua Pustakawan UMP.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, dengan adanya SIR Corner ini, koleksi karya-karya terkemuka para cendekiawan dan pakar industri yang terkemuka di seluruh dunia boleh diakses di hujung jari melalui 100 ribu koleksi digital yang bermutu tinggi.
“Koleksi digital yang tersedia mencakupi berbagai topik seperti kejuruteraan, perniagaan, ekonomi, kewangan, sosial dan pelbagai lagi.
“Usaha ini juga merupakan kesinambungan bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals’ (SDG) keempat dalam memastikan pendidikan berkualiti secara inklusif dan saksama dan menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua,” katanya.
Selain itu katanya, dalam memastikan pelajar dilengkapi pengetahuan dan kemahiran seiring era digital dan revolusi industri 4.0, pengurusan UMP sentiasa menyokong usaha dalam menyesuaikan koleksi dan sumber bagi memenuhi keperluan bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), Sains Data, Robotik dan Keselamatan Siber.
“Malahan penyediaan akses kepada sumber termaju dalam bidang ini, menunjukkan Perpustakaan menyumbang kepada pembangunan pengetahuan dan kemahiran khusus dalam kalangan pelajar UMP,” ujarnya.
Pada masa yang sama turut berlangsung inisiatif pemberian Bantuan Awal Pendidikan (BAP) berjumlah RM100,000 kepada 100 orang pelajar UMP yang terpilih melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) bagi mengurangkan beban kewangan pelajar serta memastikan setiap pelajar mendapat akses pendidikan berkualiti.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 46 views