Sukarelawan UMP urus Campus Pantry manfaatkan pelajar
Kuantan, 13 Mac- Seramai 200 sukarelawan membabitkan 110 orang sukarelawan di UMP Gambang dan 90 sukarelawan di UMP Pekan terlibat dalam membangunkan UMP Campus Pantry di kedua-dua kampus. Mereka ini dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu menguruskan makanan kering termasuk keperluan harian seperti sabun basuh, berus gigi, sabun dan lain-lain manakala satu lagi kumpulan mengendalikan makanan basah yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan.
Menurut Ketua Sukarelawan UMP, Ikmal Shauqi Burhan, 20, seawal jam 7.30 pagi lagi sukarelawan akan dibawa ke Pasar Besar Kuantan untuk mendapatkan lebihan jualan sayuran yang akan diberikan oleh peniaga atau penyumbang.
“Bekalan makanan tersebut akan dibawa ke Masjid UMP untuk proses pengasingan dan menyiang sebelum diedarkan kepada pelajar UMP yang tinggal di luar kampus. Pada kebiasaannnya waktu edaran adalah sekitar jam 4.00 petang kerana pada waktu ini ada segelintir pelajar yang telah pulang dari sesi kuliah,” katanya.
Sukarelawan bertugas akan memastikan makanan seperti roti, biskut dan barangan keperluan berkeadaan baik dan disusun di tempat yang disediakan. Pihaknya mengucapkan terima kasih kepada UMP yang sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan pelajar di universiti.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yusserie Zainuddin berkata, UMP telah memulakan UMP Campus Pantry sejak awal lagi sebelum pihak Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan Food Bank di UMP.
UMP Campus Pantry ini memperuntukkan makanan basah dan kering dengan hasil kerjasama sumbangan daripada pelbagai agensi, warga kampus, orang persendirian dan pihak pasaraya yang datang untuk menyumbang kepada UMP. Pada masa yang sama kita turut mendapat sumbangan dari Yayasan UMP yang banyak membantu UMP Campus Pantry.
“Sehingga kini seramai 1500 pelajar yang telah menikmati kemudahan di UMP Campus Pantry, malah ianya semakin bertambah dari hari ke hari. Disebabkan kita mempunyai 60 peratus pelajar yang tergolong dalam golongan B40 iaitu yang berpendapatan bawah RM3000,” katanya.
Daripada jumlah tersebut juga sebanyak 28 peratus pelajar terdiri dari golongan yang berpendapatan isirumah kurang RM1000. Justeru ianya amat membantu meringankan bebanan yang ditanggung pelajar. UMP Campus Pantry kini dibuka pada sesi pagi dan sesi petang dan kebiasaannya barang habis diambil oleh pelajar.
Ujarnya, pelajar yang mempunyai masalah kewangan dan ingin mendapat bekalan makanan hanya perlu datang ke sini dan dapat mengambilnya dengan hanya mendaftar di sistem yang disediakan sahaja.
Bagi salah seorang penyumbang, Tan Kwai loon yang juga merupakan alumni UMP berkata, setiap minggu beliau akan menyumbangkan hampir 300 kg sayuran seperti timun,sawi, kangkung, peria, cili dan banyak lagi. Sayur-sayur ini bukan yang rosak tetapi lebihan jualan yang masih boleh digunakan dan ianya hasil tanaman di kebun sendiri.
Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) akan sentiasa memastikan mendapat bekalan yang mencukupi terutama untuk sampai ke penghujung semester, apabila pada saat inilah kebanyakan pelajar lebih memerlukan makanan dan kewangan. Beliau mengharapkan pelajar dapat mengambil peluang dan manfaat atas inisiatif yang disediakan ini.
Disediakan oleh Nor Salwana Mohd. Idris daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor
- 176 views