Skip to main content

Tayangan Dokumentari The Tun Razak Story terima sambutan baik warga UMPSA, sarat pengajaran nilai kepimpinan

PEKAN, 26 November 2026 - Tayangan dokumentari The Tun Razak Story dan Dialog Kepimpinan Tun Razak: The Man Who Walked The Talk – The Tun Razak Legacy anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mendapat sambutan baik daripada warga universiti yang menyifatkan program tersebut sebagai platform bermakna untuk menghayati sejarah perjuangan, pengorbanan serta legasi kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.


Program yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UMPSA Pekan itu bukan sahaja memberi peluang kepada warga universiti mengenali dengan lebih dekat perjalanan hidup negarawan tersebut, malah menyuntik inspirasi melalui nilai-nilai murni, semangat perpaduan dan keutamaan pembangunan negara yang diperjuangkannya.


Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad berkata, tayangan dokumentari tersebut memberikan banyak pengajaran berguna, khususnya dalam membentuk nilai-nilai murni dan jati diri melalui sorotan sejarah serta pengalaman kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak.


“Program seperti ini amat bermanfaat kerana kita bukan sekadar menonton dokumentari sejarah, tetapi turut mengambil iktibar daripada pengalaman dan pendekatan kepimpinan seorang tokoh negarawan.


“Banyak nilai murni yang boleh dipelajari, termasuk semangat pengorbanan, tanggungjawab, kebijaksanaan membuat keputusan dan keprihatinan terhadap rakyat. 


“Nilai-nilai ini wajar dicontohi dan diterapkan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Kewangan Kanan, Jabatan Bendahari,  Norliza Arshad berkata, beliau berasa amat terharu menyaksikan pengorbanan Allahyarham Tun Abdul Razak sepanjang tempoh kepimpinannya, khususnya dalam usaha membuka peluang pembangunan dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar.


“Sebagai anak yang membesar dalam keluarga berlatarbelakangkan generasi Felda, legasi kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak mempunyai nilai sentimental yang cukup dekat dengan dirinya.

“Melihat kembali segala pengorbanan dan usaha Allahyarham Tun Abdul Razak untuk membangunkan negara, khususnya masyarakat luar bandar, benar-benar menyentuh hati saya.


“Sebagai salah seorang anak daripada generasi Felda, saya merasakan jasa dan perjuangan beliau begitu dekat dengan kehidupan saya. 


“Saya amat menghargai segala usaha beliau dalam membuka peluang kepada masyarakat Felda untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang lebih terjamin,” ujarnya. 


Bagi mahasiswa Tahun 2, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Muhammad Arif Aiman Razak yang juga anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) UMPSA, dokumentari tersebut memberikan perspektif bermakna mengenai kepentingan keamanan dan kestabilan negara dalam memastikan pembangunan dapat diteruskan.


Menurutnya, perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak membuktikan bahawa keamanan negara merupakan asas penting yang perlu dipelihara oleh setiap lapisan masyarakat.


“Sebagai anggota PALAPES TUDM, saya melihat banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak, terutama dalam memastikan keamanan dan keharmonian negara sentiasa menjadi keutamaan.


“Sebagai mahasiswa bidang Kejuruteraan, saya percaya ilmu yang dipelajari bukan sahaja boleh dimanfaatkan dalam bidang profesional, malah boleh menyumbang kepada sektor pertahanan negara.


“Namun, perkara paling utama ialah memastikan keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara,” katanya.


Penganjuran program ini membuktikan bahawa penghayatan sejarah bukan sekadar mengimbau peristiwa lampau, sebaliknya menjadi ruang untuk memahami nilai perjuangan dan kepimpinan yang membentuk landskap pembangunan negara.


Pengalaman dan perkongsian yang diperoleh menerusi dokumentari serta dialog kepimpinan ini diharap dapat menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh jati diri serta menyuntik inspirasi kepada warga UMPSA untuk meneruskan legasi kecemerlangan demi agama, bangsa dan negara.


Lebih 1,000 pelajar dan staf hadir berpeluang menyaksikan dokumentari yang membawa penonton menyelami perwatakan, kebijaksanaan, wawasan serta ketajaman percaturan politik Allahyarham yang menjadikan beliau seorang pemimpin disegani oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.


Turut dipaparkan segala usaha Allahyarham dalam memperkukuh ekonomi negara, merangka dasar pembangunan serta meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar.


Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri