Tayangan Khas Dokumentari Pelayaran Sang Maestro rungkai khazanah Sejarah
PEKAN, 17 Januari 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program Tayangan Khas Dokumentari (Pelayaran Sang Maestro) dan Sesi Dialog Cendekia yang mendedahkan perjalanan sejarah empayar Melayu bermula di Melaka sebagai sebuah pelabuhan perdagangan antarabangsa yang pesat, pusat pendidikan, ekonomi, penyebaran Islam dan kesenian Melayu.
Ini termasuklah kehebatan terhadap maritim Melayu, persenjataan Melayu dan perkembangan Islam di Melaka sebelum berkembang ke negeri lain.
Hadir menyaksikan tayangan khas dokumentari anjuran Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
Program turut dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Hajah Shahaniza Haji Shamsuddin.
Hadir sama Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang, Datuk Profesor Emeritus Dr. Haji Mohamad Mansor Abdullah dan Pengarah Perpustakaan Negeri Pahang, Nor Zahira Azmi.
Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz dalam ucaptamanya merakamkan ucapan tahniah kepada Roslan Madun yang baharu sahaja dilantik sebagai Felo Perunding, PSK UMP dan sudi berkongsi karyanya yang sangat menarik di samping berkongsi pengetahuan menerusi dokumentasi ini.
Ujarnya, tayangan ini sangat hebat yang mempamerkan orang-orang melayu terdahulu yang boleh mengembara seluruh dunia dan tamadun Melayu yang berasaskan pelayaran yang hebat.
“Negara kita pernah menjadi tarikan seluruh dunia dengan kekayaan hasil bumi dan rempah ratus yang pada masa itu menjadi alternatif dalam masakan.
“Kita akan meluaskan lagi citra-citra seperti ini untuk meningkatkan pemahaman kita, identiti-identiti kekuatan bangsa kita,” katanya.
Dalam pada itu, kewujudan ITKAS di UMP yang merupakan sebuah universiti teknologi ini bakal mengkaji pengaruh dan tamadun yang membentuk identiti khususnya di negeri Pahang dari segi pakaian, tenunan, makanan, tradisi, sejarah Sungai Pahang, ketokohan, batu bertulis dan lain-lain.
Turut berlangsung sesi forum yang menampilkan tiga panel hebat iaitu Pengarah Filem, Roslan Madun, pelakon Zaidi Omar dan Pengarah ITKAS, Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad.
Manakala Pegawai Penerbit Kanan UMP, Muhammad Azli Shukri pula merangkap sebagai moderator.
Menurut Roslan yang turut dikenali sebagai penyanyi lagu rakyat, perihal orang Melayu yang sangat cerdik, berani dan mempunyai semangat setiakawan yang tinggi perlu disebar luas agar generasi kita hari ini jangan mudah terpedaya dengan benda-benda negatif yang boleh melemahkan semangat Melayu.
“Berhentilah mempercayai Melayu malas, mudah lupa, dan sebagainya kerana istilah ini akan merosakkan generasi muda yang akan menjadi pemimpin negara suatu masa nanti.
“Sejarah Melayu perlu dikaji dengan sebaiknya dan semua kekuatan serta kehebatan ini kerana bangsa Melayu itu hidup berlandaskan agama Islam.
“Malahan, sejak dahulu Melayu itu menguasai laut di sepanjang Selat Melaka,” katanya.
Ujarnya lagi, Kerajaan Melayu menguasai perdagangan samudera yang membina tamadun bermula Srivijaya berkurun lampau sehingga kini di Kepulauan Melayu.
Beliau sendiri mengakui dalam penghasilan dokumentari Pelayaran Sang Maestro ini, pihaknya banyak merujuk beberapa pakar sejarah agar matlamat untuk menyampaikan tamadun sejarah itu tercapai.
Manakala menurut Zaidi Omar yang merupakan salah seorang pelakon yang terlibat dalam dokumentari Pelayaran Sang Maestro pula berkata, budaya dan adab sopan santun Melayu janganlah diambil ringan.
“Melayu sangat mementingkan tutur kata dan adab sopan dalam perbuatan seharian.
“Kini dilihat generasi muda kurang mengenali tokoh-tokoh sejarawan yang banyak berjasa kepada negara mungkin kerana kurangnya budaya minat membaca dalam kalangan mereka.
“Saya berharap generasi muda lebih cakna dengan perjuangan terdahulu dan menghayati perjuangan mereka seterusnya meneladani sikapnya,” ujarnya.
Manakala bagi Pengarah ITKAS, Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad pula berkata, ITKAS akan memperbanyakkan lagi program mengenai tamadun Melayu sebegini untuk memupuk minat generasi kini bukan bangsa yang lemah.
“Adalah menjadi tanggungjawab para pendidik untuk menyebarkan sejarah dengan pelbagai kaedah pendekatan.
“Malahan penulisan Sejarah amat penting kerana sejarawan ini akan menyelidiki rekod-rekod lalu bagi mengkaji Sejarah dan peristiwa yang telah berlalu,” katanya.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri.
- 115 views