Skip to main content

Tengku Mahkota Pahang titah beri tumpuan khusus kepada kepentingan dan pemerkasaan TVET

GAMBANG, 1 Jun 2024 - Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertitah agar memberi tumpuan khusus kepada kepentingan dan pemerkasaan TVET.

“TVET dan perkembangan teknologi buatan (AI) memainkan peranan yang penting dalam pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global. 

“TVET menyediakan peluang buat pelajar memperoleh kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan industri sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kadar pengangguran serta menghasilkan graduan yang bergaji premium.

“Pemerkasaan TVET ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri untuk melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berwibawa, inovatif dan bernilai tinggi,” titah baginda.

Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bertitah demikian ketika merasmikan Program Jom Masuk U 2024 Zon Timur II di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang hari ini.

Tengku Mahkota Pahang titah beri tumpuan khusus kepada kepentingan dan pemerkasaan TVET

Baginda dalam titahnya turut menyeru agar para pelajar mendapatkan keputusan yang cemerlang dan penuhkan diri dengan pelbagai soft skills agar menjadi rebutan dalam pasaran kerja kelak. 

“Begitu juga dengan UMPSA, tahniah dan syabas kerana turut menjadi Universiti Teknikal terbaik di Malaysia dan Top Three dalam kalangan semua universiti,” titah baginda. 

Manakala menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman, terdapat sebanyak 504 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 1,114 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan Sijil Tinggi Perlajaran Malaysia (STPM)/Setaraf oleh university awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara. 

“Keseluruhannya, sebanyak 1,618 program akademik ditawarkan melalui UPUOnline®.

“Berdasarkan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira 90 peratus markah akademik dan sepuluh peratus markah kokurikulum tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup tempat tinggal, calon diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA dan ILKA. 

“Dasar meritokrasi ini telah dilaksanakan sejak 2002 lagi,” ujarnya. 

Tengku Mahkota Pahang titah beri tumpuan khusus kepada kepentingan dan pemerkasaan TVET

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, Jom Masuk U pada hari ini bukan sekadar memberi petunjuk kepada pelajar mengenai laluan masa depan mereka, malah merupakan platform bagi menyediakan modal insan yang terdidik dan terlatih bagi meneruskan pembangunan dan kejayaan dalam pelbagai bidang.

Turut sama hadir Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Dr. Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah. 

Tengku Hassanal turut berkenan menyerahkan surat lantikan Faculty@School kepada lapan buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan, Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan, MRSM Tun Abdul Razak, Sekolah Menengah Teknik Kuantan dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Baginda juga turut berkenan melawat reruai TVET@UMPSA, Kementerian Pendidikan Tinggi, IPTA, IPTS dan lain-lain. 

Terdapat lebih 70 reruai berkaitan pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah KPT yang merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Di samping itu juga, terdapat reruai agensi penajaan, sesi konsultasi UPUOnline️, konsultasi penajaan/ biasiswa/ pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi.

UMPSA menjadi tuan rumah bagi siri jelajah Jom Masuk U (JMU) Zon Timur II yang berlangsung selama dua hari mulai 1 hingga 2 Jun 2024.

Siri jelajah JMU 2024 sejak 4 Mei 2024 hingga 9 Jun 2024 di sepuluh zon terpilih seluruh negara merupakan pusat sehenti pendidikan tinggi negara yang menghimpunkan institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta; Institusi Latihan Kemahiran Awam & Swasta; agensi-agensi pembiayaan dan penajaan; pengesahan kelayakan; termasuk siri-siri perkongsian yang berfaedah kepada semua.

UMPSA turut menganjurkan pelbagai program menarik antaranya Hari Terbuka UMPSA, Minggu TVET@UMPSA, persembahan pelajar, forum dan bual bicara bersama alumni, Podcast TVET, pameran TVET dan STEM dan lain-lain.

 Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Naqiah Puaad