UMP dan Volkswagen metrai kerjasama perkasa bidang Automotif dan TVET
Pekan, 30 April–Universiti teknologi bertaraf lima bintang, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan jenama automotif terbesar dunia, Volkswagen Group Malaysia (VGM) memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memaknakan kerjasama strategik dua hala.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) , Prof. Madya Dr. Nik Mohd Zuki Nik Mohamed menandatangani persefahaman manakala pihak Volkswagen diwakili Pengurus VGM, Danny Auerswald serta Pengurus Volkswagen Pekan, Nor Hayati Othman dalam acara yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan.
Menurut Profesor Dato' Sri Dr Daing Nasir, kerjasama ini bakal memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan teknologi terutamanya dalam bidang kejuruteraan autrotronik dengan tumpuan terhadap program automotif dan elektronik bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini.
"Kolaborasi ini bakal menyaksikan kedua-dua pihak akan bekerjasama erat dalam platform hubungan industri dan pembangunan akademik serta bidang penyelidikan termasuklah pertukaran staf, bahan akademik serta program yang dapat diterokai bersama terutamanya dalam memanfaatkan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET)," katanya.
Pihak VGM akan berkongsi kepakaran, sumber dan pengetahuan dalam teknologi kejuruteraan Jerman yang terkenal di dunia dengan industri pembuatan kereta. Menerusi perjanjian ini pihak Volkswagen di Pekan akan menawarkan penempatan latihan industri kepada pelajar dalam menimba pengetahuan di luar dewan kuliah. Begitu juga dengan seminar dan bengkel serta kajian penyelidikan berkaitan teknologi baharu.
"Kami mengalu-alukan kerjasama ini dan mengharapkan lebih banyak peluang kerjasama dapat dijalinkan dan kami yakin pelajar akan dapat banyak manfaat menerusi kerjasama ini," ujar Danny Auerswald.
UMP juga tersenarai dalam penarafan subjek terbaik dunia di QS World University by Subject Ranking 2019 bagi subjek Mekanikal, Aeronautik, Pembuatan, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan dan Teknologi yang mana pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di UMP yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi.
Tambah Dato' Sri Daing Nasir, pelajar berpeluang UMP bagi penempatan latihan industri serta peluang pekerjaan kepada pelajar khususnya dalam bidang berkaitan Kejuruteraan Mekatronik dan Automotif. Manakala sokongan pihak Volkswagen terhadap inisiatif akademik dan penyelidikan ini juga bakal melonjakkan universiti ini ke suatu tahap pencapaian yang lebih baik.
UMP semakin terserlah apabila mendapat pengiktirafan dan kepercayaan daripada pelbagai institusi pengajian dari Jerman dalam menawarkan program kejuruteraan bertaraf dunia secara dwi-ijazah dan dwi-sarjana dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HsKA) dan Reutlingen University (RU).
Pada masa ini terdapat empat model kereta yang dijual di Malaysia yang dipasang di kilang Volswagen Pekan di antaranya Polo, Vento, Passat dan Tiguan manakala turut berada di pasaran Malaysia adalah Golf dan Beetle.
- 161 views