UMP hargai jasa petugas barisan hadapan menjelang Hari Raya Aidilfitri
PEKAN, 23 April 2022 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghargai jasa dan sumbangan petugas barisan hadapan universiti yang akan terus berkhidmat di waktu kebanyakan staf lain bercuti menyambut raya tidak lama lagi.
Berlangsung baru-baru ini, Program Salam Kasih Lebaran anjuran Jabatan Pendaftar bagi menyerahkan sumbangan raya kepada seramai 50 staf UMP yang akan bertugas pada hari raya ini.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pendaftar UMP, Saiful Bahri Ahmad Bakarim yang turut dihadiri Pengarah Keselamatan, Mohd Nazri Samsudin dan Pengurus Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Pendaftar, Hajah Sabarehan Haji Ismail.
Menurut Saiful Bahri, sumbangan ini menunjukkan sokongan dan kebersamaan dengan petugas barisan hadapan UMP yang akan bertugas sepanjang cuti perayaan hari raya nanti.
“Pada masa yang sama, ia sebagai memberi sokongan kepada semua barisan hadapan yang sanggup berkorban menjaga keselamatan kampus sepanjang cuti berhari raya dan tidak dapat beraya bersama keluarga masing-masing.
“Jabatan yang memerlukan mereka bertugas pada hari perayaan terdiri daripada Bahagian Keselamatan, Pusat Pembangunan dan Pengurusan harta (PPPH), Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) dan Felo Kolej Kediaman Pelajar.
“Dalam masa yang sama saya ingin mengingatkan agar warga UMP dapat meraikan Aidilfitri dengan norma baharu, mematuhi peraturan penjarakan fizikal, meminimumkan amalan kunjung-mengunjung serta mengelakkan perhimpunan dalam jumlah yang ramai bagi memastikan tiada penularan wabak berlaku agar dapat kembali bertugas nanti,” ujarnya.
Katanya, pihak universiti amat menghargai peranan barisan hadapan yang sentiasa memastikan kampus berada dalam keadaan yang baik.
Bagi Pengarah Keselamatan, Mohd Nazri Samsudin pula mengucapkan terima kasih kepada UMP yang telah mengadakan inisiatif kepada staf keselamatan.
“Saya yakin ini akan memberikan suntikan semangat dan kegembiraan kepada anggota keselamatan.
“Namun, semua anggota akan tetap komited dalam melaksanakan tugas untuk memastikan keadaan kampus dan pelajar yang masih tinggal di dalam kampus berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Bagi salah seorang penerima yang merupakan Pengawal Keselamatan, Sheikh Mohd Firdaus Sheikh Abdul Rahman, 36, mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti.
Tahun ini merupakan tahun kelimanya yang tidak dapat bercuti raya.
Namun, baginya ia bukan satu beban tetapi amanah yang perlu dilaksanakan oleh seorang anggota keselamatan.
Begitu juga isterinya yang turut memahami tanggungjawabnya dan menyediakan juadah berhari raya.
Malahan anak-anak juga sudah terbiasa dan sekembalinya bertugas masih berpeluang menikmati suasana menyambut hari raya walaupun tidak dapat balik ke kampung di Temerloh, Pahang.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)